Archive for 20 April 2010

Kafir Quraisy juga serang peribadi sahabat bila peluk Islam

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 20 April: Ahli Parlimen Baling, Ustaz Taib Azamuddin Md Taib (gambar) menyelar tindakan pemimpin Umno/Barisan Nasional (BN) menyerang peribadi calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim dengan mengungkit segala perkara yang dilakukan sewaktu menjadi menteri kabinet dahulu.

Menyoroti sirah, Taib berkata, serangan yang dibuat Umno/BN terhadap Zaid tidak ubah seperti apa yang dilakukan oleh kafir Quraisy terhadap sahabat Rasulullah s.a.w., Khalid Ibnu Walid.

Menurutnya, setelah Khalid memeluk Islam dan menjadi sahabat Rasululullah s.a.w., kafir Quraisy menyerang peribadi Khalid sebelum memeluk Islam dan menghasut para pengikut Rasulullah s.a.w. agar tidak memberikan kepaercayaan kepada Khalid.

“Dari sudut Islam, apabila khalid Ibnu Walid memeluk Islam dan beriman kepada Allah S.W.T., perkara ini yang dimainkan oleh kafir Quraisy dengan mencungkil balik sejarah buruk Khalid.

“Kita tahu Khalid merupakan orang yang bersungguh-sungguh ingin membunuh nabi sehingga masa peperangan Uhud, yang memimpin perang di kalangan kafir Quraisy ialah Khalid dan beliau bersiap sedia dengan pedang untuk membunuh Nabi.

“Tapi setelah beriman dia menjadi sahabat kanan Rasulullah s.a.w. dan orang yang dijamin syurga. Kedudukan ini yang diperoleh oleh Khalid dengan taubat dia dan sebagainya, maka kafir Quraisy bertindak menyerang peribadi beliau,” katanya.

Taib mempersoalkan sikap pemimpin Umno/BN yang seolah-olah bersetuju dengan tindakan kafir Quraisy dan melakukan perkara yang sama dalam kempen mereka untuk memenangkan calon BN di Hulu Selangor.

“Bagi saya apa yang dimainkan oleh Umno dengan menyerang Zaid secara peribad, ini adalah rentak tari lama yang dimainkan oleh musyrikin. Oleh itu, para pengundi boleh bertanya, apakah Umno dan Barisan Nasional hari ini sama juga perangai dengan musyrikin dulu?”

“Apakah mainan Umno semacam ini, orang Melayu dan orang Islam boleh berpegang kepada perbuatan ini dan adakah orang Umno seronok sangat dengan rentak tari yang dimainkan oleh musyrikin dahulu?” soalnya.

Beliau juga berkata, Zaid sendiri telah mengaku kesalahan dan sewajarnya sebagai orang Islam berbaik sangka dan menerima pengakuannya dengan hati yang terbuka.

“Sekarang ini Zaid sendiri mengaku dan dia pun dah insaf jadi dalam konteks itu secara baik sangkanya. Kita sebagai muslim bahawa kita yakin bahawa beliau telah bertaubat kepada Alah dan jika Allah membuka pintu taubat kepada semua orang, kenapa kita tidak boleh terima secara rasional,” katanya lagi.

Beliau turut mempersoal Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) yang mewar-warkan membela nasib Melayu tetapi menyokong calon MIC di Hulu Selangor.

“Mana letak duduk Perkasa yang menyokong orang Melayu. Dalam hal ini dia menyokong MIC.

“Apa yang ada pada kredibilti Perkasa. Untuk mendapatkan sokongan Melayu, mereka mendendangkan lagu Melayu tapi dalam meraih politik BN mereka menyokong MIC,” katanya.

Tanpa gasoline Iran akan lumpuh – Benjamin Netanyahu

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 20 April 20: Selepas beberapa hari Malaysia mengumumkan langkahnya menghentikan eksport gasoline – petroleum bertapis – kepada Iran, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu hari ini mendesak dunia agar menghentikan eksport gasoline ke Iran untuk menghentikan negara itu dari meneruskan projek nukleurnya.

Gesaan itu dibuat Netanyahu melalui rancangan “Good Morning America” (Selamat Pagi Amerika) di saluran tv ABC yang dipancar di Amerika.

“Jika anda menghentikan Iran dari mengimport petroleum bertapis (refined petroleum) – nama fency untuk gasoline – regim ini akan lumpuh kerana Iran tidak mempunyai kepakaran penapisan,” kata Netanyahu dalam rancangan itu sebagaimana yang dipetik oleh agensi berita hari ini.

Amerika sedang menjalankan kempen besar-besaran untuk menekan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) agar mengenakan sekatan ke atas Iran yang disifatkan oleh negara barat sebagai sedang membina senjata nukleur.

Bagaimanapun Iran mendakwa, apa yang dibuat oleh negara itu adalah menggunakan tenaga nukleur untuk menghasilkan tenaga elektrik untuk kegunaan awam di negara itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan tindakan menghentikan eksport gasoline ke Iran selepas tiga hari berjumpa dengan Presiden Amerika, Barack Obama baru-baru ini.

“Sekatan tambahan tidak boleh dielakkan di masa terdekat kecuali satu tindakan yang betul diambil oleh Iran,” kata Najib kepada wartawan di Washington, lapor agensi berita antarabangsa.

“Ia terletak kepada Iran sekarang untuk bertindak bagi mengelakkan lebih sekatan dikenakan,” tambahnya.

Bagaimanapun, laporan itu dinafikan oleh Najib. Penafian itu dibuat kepada wartawan Malaysia yang menyertai lawatan beliau ke Amerika itu.

Najib menyatakan bahawa laporan media asing yang memetik beliau sebagai berkata Malaysia sudah menghentikan bekalan gasoline ke Iran, sebagai tidak tepat.

“Ia tidak betul dan keputusan itu bukan diambil bersendirian oleh Petronas. Ia membabitkan jualan setempat dan ia tidak lagi diperlukan, oleh itu mereka tidak lagi melakukannya (menjual),” katanya kepada wartawan Malaysia pada Jumaat.

Najib berkata ia merupakan transaksi komersil semata-mata dan jika ada permintaan untuk jualan setempat, terpulang kepada pihak-pihak terbabit memutuskannya.

Namun begitu, agensi berita antarabangsa itu mempertahankan laporannya.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah melantik firma perhubungan awam yang berpusat di Washington, APCO Worlwide menjadi penasihat kerajaan Malaysia dan seterusnya menghasilkan slogan 1 Malaysia.

Anwar menunjukan bukti di Parlimen bahawa APCO juga adalah syarikat yang terlibat dalam membina imej Ehud Barack melalui projek One Israel.

Beliau juga menunjukkan bukti bahawa APCO adalah syarikat yang dikuasai oleh orang Yahudi termasuk para bekas perisik kanan Isreal.

Tak wajib lurus jari telunjuk ketika tahiyyat

SAYA ingin tahu bagaimanakah kedudukan jari telunjuk yang sebenar ketika tahiyyat dalam solat kerana saya mendengar banyak pandangan mengenainya. Saya harap ustaz dapat merungkai persoalan ini dengan memberikan jawapan yang sewajarnya.

Azrul,

SEBENARNYA terdapat beberapa perselisihan pandangan ulama dalam perkara ini. Mazhab Malik mengajar supaya menutup semua jari-jari tangan kecuali jari telunjuk dan ibu jari kemudian menggerak-gerakkan ibu jari secara perlahan ke kiri dan ke kanan sejak awal tahiyyat (tasyahud) hingga akhir (baik tasyahud pertama atau tasyahud kedua).

Mazhab Hanafi pula menganjurkan agar meluruskan jari telunjuk ketika membaca syahadat saja, iaitu ketika membaca Lailaha dan menghentikannya ketika membaca illallah.

Imam Syafi’i pula menganjurkan agar menutup semua jari tangan kanan kecuali jari telunjuk dan hendaklah diluruskan jari telunjuk ketika membaca illallah.
Pendapat ini ada persamaan dengan mazhab Hambali. Kemungkinan hal ini untuk menunjukkan keesaaan Allah SWT yang dikukuhkan dalam hati, diucapkan dengan lidah seterusnya ditunjukkan dengan perbuatan yang ketika solat ditunjuk dilambangkan dengan jari telunjuk yang diluruskan itu. Inilah cara yang biasa saya lakukan. Apa-apa pun, semua sepakat perkara itu tidak wajib. Wallahualam.