Archive for Mac 2010

Hukum isteri poligami tinggal serumah

Dalam berpoligami, bolehkah kedua-dua isteri tinggal dalam satu rumah yang sama?

Jawapan:

Harus bagi yang berpoligami tinggal sebumbung tetapi tidak berkongsi bilik tidur. Sebaik-baiknya tinggallah secara berasingan demi menjaga keharmonian rumahtangga.

Dalam perkara ini, perlu difahami bahawa antara kemampuan suami berpoligami termasuklah kemampuan menyediakan tempat kediaman.

Persamaan antara 1Israel dengan 1Malaysia

Sekadar penilaian dan perbandingan pihak tuan berhubung persamaan di antara 1Malaysia dan 1Israel:

a. 1Israel adalah parti gabungan yang dipimpin oleh Ehud Barak yang menang pilihanraya Israel pada tahun 1999. Ia pada asalnya mengumpulkan Parti Buruh, Gesher dan Meimad dan kemudiannya bergabung dengan parti-parti agama Yahudi dan sayap kanan seperti Shas, Meretz dan beberapa parti lain.

b. 1Israel menandakan beralihnya dasar Parti Buruh menjadi lebih keras dan bersayap kanan; dengan kemasukan parti-parti lain di dalam gabungan. Ia merupakan gabungan pilihanraya yang mengumpulkan parti-parti perkauman bersayap kanan yang berbeza ideologi dan kepentingannya.

c. Sebab itu pendekatan yang diambil oleh Ehud Barak adalah dengan menumpukan kepada perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan oleh 1Israel kepada rakyat untuk mengalih perhatian pengundi daripada perbezaan ideologi parti-parti di dalam 1Israel.

d. Platform 1Israel menjanjikan perkhidmatan-perkhidmatan yang lebih baik terutamanya di dalam pendidikan dan kesihatan yang terpampang di papan tanda besar.

e. Mesej-mesej yang konsisten di papan tanda besar ini adalah tumpuan 1Israel untuk mendahulukan rakyat; dengan mendahulukan perkhidmatan seperti pendidikan dan kesihatan sebelum meluaskan kawasan penempatan Israel.

f. Jadi mesej 1Israel adalah “rakyat didahulukan”, mesej 1Malaysia adalah “rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”.

g. Satu lagi inisiatif utama kerajaan 1Israel adalah dengan merombak sistem kesihatan. Di bawah 1Israel, fungsi Kementerian Kesihatan diubah dengan menjadi perancang dan mengurangkan penekanan kepada rawatan wad dan hospital – sebaliknya rakyat digalakkan mendapatkan rawatan pencegahan sebelum ke hospital; sama ada di klinik atau dengan ubat-ubatan yang diberikan.

h. Maka 1Israel penekanannya adalah klinik, di Malaysia kita ada Klinik 1Malaysia.

i. Selain itu di bawah 1Israel pelbagai tabung, yayasan dan kempen dilancarkan secara bertubi-tubi; semuanya di bawah payung 1Israel. Begitulah juga di Malaysia tiap-tiap hari kita disuap dengan pelancaran, yayasan (contohnya Yayasan 1Malaysia), tabung, kampung dan pelbagai lagi – semuanya konsep 1Malaysia

Sukar terima dalil

Ustaz Zaharudin

“BILA saya masuk blog ustaz, saya dapati semuanya haram, itu haram ini haram, naik pening kepala,” rungut seorang pelawat.

“Ustaz, elok berhati-hati menentukan hukum, usah sampai menutup rezeki orang, menzalimi orang, dosa tau,” kata seorang pedagang mata wang asing tegar.
“Selagi belum ada hukum haram yang jelas daripada badan berwajib, selagi itu harus bagi aku,” tegas ‘leader’ syarikat MLM.
“Ustaz, saya nasihat jangan la dengki dengan kami, kan elok jika senyap je, ini tidak, asyik menyusah dan memeningkan kami dengan penilaian ustaz,” kata seseorang lagi.
Inilah antara luahan dan ketidakpuasan hati beberapa individu dengan kandungan tulisan saya.

  • ASAL HUKUM MUAMALAT ADALAH HARUS Memang benar, asal hukum bagi hal ehwal muamalat perniagaan dan jual-beli adalah harus sehingga dibuktikan ia haram
  • Kerana itu, kajian saya sememangnya HANYA mencari sama ada wujud unsur haram atau tidak. Unsur harus tidak perlu dicari lagi kerana hukum asalnya memang harus selagi belum dibuktikan haram.
    Justeru, tidak wajar saya tanya anda: “Apakah dalil urus niaga anda ini halal?” Kerana itu, saya tidak patut marah jika ada yang sambil mendengus meluru kepada saya lalu bertanya: “Mengapa ustaz kata ini haram?” Lalu menjadi tanggung jawab saya untuk menyatakan apakah unsur haram dan unsur yang boleh membawa kepada haram atau syubhah di dalam sesuatu perniagaan itu, menurut kajian dan ilmu yang saya miliki.
    Saya akan menjawab persoalannya dengan jawapan dan dalil, namun secara ringkas disebabkan kekangan masa ada kalanya menghalang untuk saya menulis dan membentangkan semua hujah serta dalilnya.
    Cuma saya mungkin tidak melayan sebarang persoalan apabila penyoal tidak beradab ketika ingin mendapatkan penjelasan ilmu atau soalannya berulang dan sudah dijelaskan sebelum ini.
    Kemudian jika ada kesempatan masa, saya mungkin membaca maklum balas pihak sebelah sana yang berusaha mematikan setiap hujah dan dalil yang saya gunakan.
    Malangnya, kebanyakan hujah diberi bukan dengan bimbingan ilmu dan akal sihat, tetapi dengan emosi atau kefahaman ilmu Fiqh Muamalat yang sangat pincang.
    Jika hujahnya mematikan setiap hujah pokok dan dalil yang saya gunakan dengan baik, nescaya hukum urus niaga tadi akan kembali menjadi harus seperti asalnya. Saya juga pasti gembira jika ia harus dan halal, malah mungkin turut menyertainya.
    Jika sebaliknya, saya mungkin memadam saja komentar serta ulasan emosi dan tiada nilai bagi mengelak kekeliruan di kalangan pembaca lain. Ibarat kereta baru sebelum dikeluarkan dari kilang, perlu dihujani pelbagai ujian demi memastikan ia selamat untuk dipandu.
    Maka individu berpengajian syariah seperti saya dalam hal ini, ibarat tukang uji produk dan urus niaga kewangan dari sudut syariah, jika ia berjaya dan lulus, mari kita kempen kerana ia selamat digunakan.
    Jika tiada saya dapati hujah balas yang logik dan kukuh, jika tidak haram sekalipun, paling kurang perniagaan, program, MLM, produk dan skim berkaitan akan duduk di tangga syubhah.Tatkala itu, terpulang kepada pembaca untuk menggunakan akal, kemampuan memahami hujah saya dan bertanya kepada iman di dalam hati: “Siapa yang patut aku turuti.” Namun, tidak mudah untuk menyongsang arus wang yang masuk ke poket orang, saya masih ingat betapa ramainya orang tidak puas hati masuk ke blog saya dengan bahasa biadap dan kotor. Kebanyakannya dipadam tanpa siar dan baca.
  • MAKLUM BALAS BIASA Biasanya hujah dan dalil saya tidak berbalas dengan sesuatu yang ilmiah tetapi dengan hal dan ayat yang tidak berkaitan serta langsung tidak boleh dijadikan hujah seperti: “Saya minta ustaz kaji dengan lebih halus,” “Ustaz tidak faham,” “Habis, ramai orang masuk ini, termasuk ustaz di Jabatan Fiqh sebuah universiti, takkan semua mereka tak tahu dan hanya ustaz seorang yang tahu,” “Ia sama dengan senarai yang dilulus oleh Suruhanjaya Sekuriti, apa ulasan ustaz,” dan banyak lagi.
    Itulah ayat lazim maklum balas terhadap hujah permulaan saya, belum lagi dibawa hujah yang mungkin lebih berat dan teknikal.
    Biasanya, tulisan yang saya sertakan adalah ulasan yang saya permudahkan sedaya mampu supaya mampu difahami, jika tidak mampu memahaminya baris demi baris, paling kurang pembaca dapat menangkap maksud utama secara umum.
    Malangnya, ramai juga yang sebelum membaca sehingga habis setiap dalil dan ulasan, mereka terus bertempik marah dan merungut. Ada rakan saya berkata: “Kita nak tolong dia supaya selamat daripada riba, dosa dan azab alam barzakh sedaya mampu berlandaskan panduan ulama, kita pula dimarahi.” Namun itulah sunnah dalam mencegah kemungkaran dan mengajak kebaikan. Perjuangan sukar dianggap sebagai perjuangan tanpanya.
  • KELUAR MULUT HARIMAU, MASUK MULUT BUAYA Tidak dinafikan ada juga yang berhujah tetapi ibarat kata pepatah: “Keluar mulut harimau, masuk mulut buaya.” Sebagai contoh dalam isu skim cepat kaya Internet.
    Selepas saya berhujah dan kemudian difatwakan haram secara rasmi oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, pesertanya yang dulu terjebak kini mula sedar, namun akibat berterusan dalam tahap ilmu yang cetek, akhirnya mereka terus terpesona pula dengan beberapa skim lain.
    Sedangkan ia juga skim cepat kaya dan piramid yang haram, cuma sekadar berubah nama dan sedikit bentuknya. Malangnya perubahan sebegitu pun tidak dapat mereka kenali dan akhirnya terus terperangkap di dalam mulut buaya, selepas terselamat dari mulut harimau.
    Keadaan ini akan berterusan sehingga individu berkaitan melengkapkan dirinya dengan ilmu dan kesedaran yang cukup. Akhirnya ramai mendesak untuk saya mengulas lagi dan apabila saya menulis, sekali lagi individu sama meneruskan cercaan dan makiannya.
    Sehingga ia bertemu pula skim lain yang boleh menggantikannya. Begitulah berterusan. Tidak mengapa, saya sudah lali dengan keadaan seperti itu dan setiap kali saya menulis sesuatu hukum berkaitan urus niaga baru, saya faham ia hanya pendapat peribadi saya, bukan fatwa dan ia tidak mengikat sesiapa.
    Masing-masing boleh mengkaji dan membaca ulasan saya dan kemudian membuat penilaian sendiri. Kemudian, ia urusan anda dengan Allah SWT. Saya hanya cuba menggunakan sedikit ilmu kurniaan Allah SWT disulami dengan niat baik untuk menyelamatkan umat daripada dosa riba.
    Itu tugas saya sebagai orang yang belajar, khalifah Allah di muka bumi dan juga sebagai ahli akademik. Saya tidak mahu menjadi ahli akademik yang hebat dengan kajian dan tulisan bertahap tinggi yang tidak mampu difahami oleh 90 peratus manusia, sedangkan ramai manusia di luar sana terbiar dalam kegelapan.
    Saya berusaha menjadi ahli akademik yang mampu menyumbang kepada manusia ramai yang 90 peratus biar pun tulisan dan hasil kajian ini tidak sama sekali ditulis pada tahap tinggi ahli akademik, lagi tidak dipandang tinggi oleh 10 peratus ahli akademik yang asyik berfikiran tinggi. Dengan tulisan dan kajian saya, mungkin saya silap dan mungkin saya benar.
  • Hukum berkahwin dengan perempuan mengandung hasil zina

    Adakah sah pernikahan pengantin perempuan yang sedang mengandung empat bulan?

    Jawapan:

    Sah pernikahan bagi perempuan sedang mengandung empat bulan tetapi anak yang dikandungnya adalah tidak sah taraf.

    Ini bertepatan dengan keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan kali ke 3 pada 21-22 Januari 1971 memutuskan bahawa: “Perempuan yang sedang mengandung anak luar nikah harus dinikahkan tetapi anaknya tidak boleh dinasabkan kepada lelaki itu, tidak dapat pusaka daripadanya, tidak menjadi mahram kepadanya dan lelaki itu tidak boleh menjadi walinya”.

    Urut batin sebenarnya onani

    Oleh FATIMI NADIAH ZAINUDEEN

    AHMAD menunjukkan teknik urutan pada bahagian kaki pelanggannya di Petaling Jaya baru-baru ini.

     


     

    MENURUT pengalaman pengunjung-pengunjung pusat urut di sekitar Lembah Klang, kaedah urutan batin yang ditawarkan di rumah berkenaan sebenarnya adalah khidmat melakukan onani.

    “Bezanya ia dilakukan menggunakan tangan tukang urut wanita sehingga pelanggan khususnya lelaki, mencapai klimaks dan mengeluarkan air mani,” akui lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Man, 29, yang tidak menafikan sekadar mencuba-cuba urutan batin yang sering disebut teman-temannya.

    Menurut Man, urutan batin merupakan satu perkhidmatan yang khusus, bukan sebahagian daripada pakej urutan badan dan lain-lain.

    “Pusat urut itu melabel perkhidmatan itu sebagai urut batin ketika menawarkannya,” tambah Man.

    Bagaimanapun, pakar urut tradisional yang sudah bertahun-tahun melakukan urutan pemulihan tenaga batin menegaskan urutan sebenar tidak melibatkan pengeluaran air mani.

    Teknik

    “Apa yang kami lakukan ialah mengurut bahagian badan yang mempunyai kaitan dengan anggota sulit itu dan mencari urat di sekitar alat sulit pelanggan untuk ‘dibetulkan’.

    “Ia sama ada mengurut untuk membuang angin, membetulkan urat atau memecahkan lemak,” ujar seorang pengusaha kedai bekam dan resdung di Kampung Dato’ Harun, Petaling Jaya, Ahmad Husin, 34.

    Berpengalaman melakukan urutan pulih batin sejak lebih lima tahun lalu, Ahmad yang berguru dengan beberapa pakar urut tradisional menjelaskan, urutan batin tidak bertumpu kepada bahagian zakar dan buah zakar semata-mata.

    “Sebaliknya antara bahagian badan lain yang terlibat termasuklah pinggang, labu atau belakang betis, tapak kaki, bawah buah zakar dan bawah pusat sehingga ke zakar.

    “Teknik urutan juga bukan sembarangan. Contohnya, jika mengurut di sepanjang zakar, teknik yang digunakan ialah melurut sedangkan pada bahagian buah zakar, teknik urutan yang digunakan ialah mengasak,” terangnya.

    Tambah Ahmad, urutan pulih batin yang sebenar juga tidak melibatkan rasa ghairah atau rangsangan ke arah keinginan mencapai kepuasan seksual.

    “Seharusnya, ketika diurut pelanggan akan berasa sakit dan senak kerana teknik mengurut adalah sama seperti mengurut bahagian badan yang lain.

    “Keadaan zakar menegang biasanya berlaku apabila darah mengalir lancar setelah urutan menggunakan teknik mengasak dilakukan pada buah zakar dan bahagian bawah zakar tetapi ia masih tidak menyebabkan pelanggan berasa ghairah,” dedah Ahmad.

    Pendakwah bebas dan pakar motivasi kekeluargaan, Wan Akashah Wan Abdul Hamid pula menjelaskan, urutan batin yang dilakukan semata-mata untuk berseronok adalah haram.

    “Jika seorang lelaki itu mengalami masalah lemah tenaga batin, ia akan menjadi satu bentuk penyeksaan kepada isteri kerana tidak mendapat nafkah batin.

    “Dalam keadaan itu, kalau lelaki berkenaan tidak berubat maka isterinya boleh meminta fasakh daripada suaminya. Itulah tahap keseriusan keadaan ini.

    “Hukum berurut batin jatuh dalam kategori harus jika ia berkesan memulihkan masalah kesihatan dan keharmonian rumah tangga.

    Zakar lebam

    “Bagaimanapun sekiranya urutan batin tidak mampu menyelesaikan masalah dan sebaliknya cenderung ke arah kepuasan seksual, maka hukumnya haram,” kata Wan Akashah.

    Jelas Wan Akashah, urutan batin ke atas lelaki tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang wanita kerana ia melibatkan alat sulit.

    Wan Akashah turut menyuarakan kebimbangannya terhadap segelintir suami yang cenderung mendapatkan urutan batin onani kerana ia boleh menyumbang kepada kepincangan rumah tangga.

    “Bayangkan si suami lebih puas ‘berurut batin’ di rumah-rumah urut berbanding ketika bersama isteri sendiri,” kata beliau.

    Katanya lagi, banyak masalah baru akan timbul apabila suami sudah tidak berkeinginan terhadap isteri masing-masing.

    Sementara itu, pakar sakit tuan, Dr. Mohd. Ismail Tambi, 59, menyangkal kebenaran kelebihan mengurut zakar.

    “Mustahil urutan dapat membesarkan, memanjangkan, memulihkan mati pucuk, mahupun meningkatkan prestasi zakar seseorang.

    “Ini kerana anggota sulit ialah organ vaskular (yang dipenuhi salur darah) dan tidak boleh diurut. Ia sama seperti bahagian leher dan buah dada.

    “Jika bahagian ini diurut secara kasar, dikhuatiri ia akan menyebabkan kerosakan dalaman yang boleh mencacatkan anggota itu.

    “Sudah ramai pesakit yang datang kepada saya dengan zakar yang lebam, bentan dan terkulai akibat melakukan urutan batin.

    “Saya faham, ramai yang tertarik untuk menjalani urutan seperti itu kerana tertekan dengan masalah yang dihadapi. Tetapi fikirlah baik-baik.

    “Tidak mustahil masalah batin mereka itu berpunca daripada penyakit lain seperti kencing manis, ketidakseimbangan hormon atau tekanan darah tinggi.

    “Jika masalah mati pucuk berpunca daripada penyakit-penyakit ini, kemungkinan masalah lain pula akan timbul andainya pesakit menemui tukang urut yang turut menggunakan ubat berasaskan herba.

    “Sebab itulah saya meminta individu yang mempunyai masalah zakar agar merujuk pakar perubatan terlebih dulu sebelum mengambil tindakan sendiri,” cadang beliau.

    Musnah Sweden hina nabi Muhammad s.a.w

    Kira-kira 500 umat Islam berkumpul di depan kedutaan Sweden di ibu negara bagi menyatakan bantahan mereka terhadap tindakan tiga akhbar Sweden yang didakwa menghina Nabi Muhammad hari ini.

    Sejurus selepas menunaikan solat Jumaat di masjid bersebelahan bangunan Tabung Haji di Jalan Tun Razak, mereka berarak di kedutaan tersebut, kira-kira 500 meter sahaja daripada tempat tersebut.

     

     

     

     Kumpulan tersebut diketuai Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan dan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Jais Abdul Karim.

    Di samping bertakbir dan berselawat, mereka melaungkan slogan anti-Sweden seperti “Biadap Sweden” dan “Jahanam Sweden”.

    Mereka juga membawa kain rentang dan poster bertulis “Kami kasih Nabi”, “Jangan Hina Nabi Muhammad” dan “Kami berjuang untuk nabi kami”.

    Kelihatan kira-kira 40 anggota polis, termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU) mengawal sekitar kawasan tersebut. Tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

    Setibanya kumpulan itu ke kedutaan negara terbabit di Plaza OSK, Jalan Ampang kira-kira jam 2.15 petang, Nasrudin dan Jais kelihatan naik ke pejabat kedutaan tersebut di tingkat 8 untuk menyerahkan memorandum bantahan mereka.

     

     

     

     Memorandum dua halaman itu – ditandatangani 19 NGO Islam – antaranya menuntut kerajaan Sweden mengambil tindakan tegas terhadap pelukis karikatur itu dan tiga akhbar yang didakwa menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

    Selepas itu, pemimpin tersebut turun dan berucap kepada kumpulan penunjuk perasaan tersebut, sebelum disudahi dengan tindakan Nasrudin membakar bendera Sweden kira-kira jam 3.00 petang.

    Nasrudin dalam ucapannya menyifatkan karikatur yang disiarkan itu amat menyentuh sensitiviti dan mencabar umat Islam seluruh dunia.

    “Kita berhimpun serentak bersama dengan umat Islam di seluruh dunia, disebabkan kebiadaban pelukis karikatur di mana Rasulullah digambarkan seperti seekor binatang.

    “Oleh itu kita minta kerajaan Sweden mengambil tindakan tegas kepada pelukis dan akhbar itu,” katanya.

    Manakala Jais pula dalam ucapannya berkata GPMS tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang menghina Nabi Muhammad.

     

     

     

     “Mana-mana pihak yang menghina Melayu dan Islam, kita akan bersama-sama (bangkit) untuk menyatakan pendirian kita dengan jelas,” katanya.

    Sebelum ini, dilaporkan lakaran karikatur yang menggambarkan kepala Nabi Muhammad pada badan anjing – karya pelukis Sweden Lars Vilks – dikemukakan sebagai bahan pameran di sebuah pusat warisan budaya Sweden.

    Bagaimanapun, lakaran itu ditolak atas sebab-sebab keselamatan.

    Namun, sebuah akhbar Sweden kemudian menyiarkannya bersama tulisan editorial yang mempertahankan kebebasan bersuara. Tiga lagi akhbar Sweden kemudiannya turut menyiarkan semula karikatur itu.

    Tindakan itu yang membawa kepada bantahan negara-negara Islam sehingga Vilks menerima beberapa ancaman bunuh.

    Usah tangguh tunai haji jika penuhi syarat

    SAYA bercadang menunaikan haji bersama abang saya dan Alhamdulillah, suami sudah memberi keizinannya. Saya menyimpan duit untuk ke Makkah ini sejak belum berumah tangga lagi. Sebenarnya kalau diikutkan duit itu cukup untuk menanggung suami pergi bersama tetapi suami tidak bercadang mengerjakan haji pada waktu terdekat ini. Apakah hukumnya perbuatan saya ini?

    Saadiah,
    Petaling Jaya, Selangor.

    APABILA kita menyebut mengenai ibadat haji, banyak ganjaran yang disediakan dan dijanjikan bagi mereka yang ikhlas melaksanakannya. Imam an-Nasa’I meriwayatkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah, bahawa Nabi SAW bersabda: “Antara satu umrah dengan umrah yang lain boleh menghapuskan kesalahan antara keduanya dan haji Mabrur tidak ada balasannya melainkan syurga.” Imam al-Baihaqi juga meriwayatkan sebuah hadis daripada Jabir, bahawa Nabi SAW ada bersabda: “Bersolat di Masjidilharam dengan 100 ribu solat (ganjarannya) dan solat dalam masjidku (Masjid Nabawi) dengan ganjaran 1,000 solat dan solat di masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis dengan ganjaran 500 solat.”

    Imam Ahmad juga meriwayatkan hadis mengenai kelebihan menunaikan solat di masjid Nabawi daripada Anas bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang bersolat di masjidku sebanyak 40 solat yang tidak luput walaupun satu solat, pasti dilepaskan daripada azab neraka dan azab kubur serta terlepas daripada nifaq.

    Ibadat haji adalah ibadat yang diwajibkan kepada mereka yang mempunyai kemampuan untuk mengerjakannya. Allah SWT berfirman dalam surah Ali Imran ayat 97 iaitu: “Dan Allah SWT mewajibkan ibadat haji di Baitullah ke atas manusia yang mampu pergi kepadanya.”

    Maksud mampu di sini iaitu aman semasa perjalanan, mempunyai bekalan yang cukup, mempunyai kenderaan yang sesuai dan terjamin, mempunyai kesihatan badan yang memuaskan, mempunyai masa bagi mengerjakan haji.
    Bagi orang perempuan pula ditambahkan dua perkara lagi iaitu pertama, mendapat keizinan suami, kedua, bersama mahram ataupun perempuan-perempuan yang dipercayai.

    Sekiranya mereka yang sudah mempunyai dan melengkapi syarat-syarat itu dikira sudah mempunyai kemampuan dan hendaklah ia mengerjakannya, usah bertangguh lagi.
    Apabila kita menangguhkannya, dibimbangi kita tidak sempat melakukannya sedangkan ketika itu kita sudah dipanggil oleh Allah SWT dan kita dalam kerugian yang besar.

    Tanyalah ‘imam’ di dada, tidakkah kita berminat dengan syurga yang dijanjikan oleh Allah SWT dalam firman-Nya dalam ayat 133 surah Ali Imran iaitu, “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk memperoleh) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.” Wallahua’lam.