Archive for 21 Februari 2010

Semak semula hukuman undang-undang sivil

Oleh Nur Azlin Mohamad Arif   

Pandangan demi pandangan telahpun diutarakan pelbagai pihak dalam mematangkan hujah bahawa perlunya ada pembaharuan terhadap sistem penghukuman kesalahan-kesalahan jenayah sedia ada. Polemik terbaru rancak diperbahaskan adalah berkenaan dengan  hukuman sebat yang telahpun dijalankan ke atas tiga pesalah wanita salah laku seks haram baru- baru ini.

Terdapat dua andaian yang boleh disimpulkan menerusi tindakan terbaru Datuk Seri Hishammuddin ini. Pertama, beliau mahu mengubah imej kerajaan di mata rakyat, bahawa kerajaan juga amat menitik beratkan dasar-dasar agama dalam pemerintahan. Sepertimana telah ditonjolkan menerusi perjuangan isu Allah dan Maulidur Rasul. Ia adalah berkenaan rentetan pembaharuan imej perjuangan Umno, iaitu ke arah bersifat lebih keagamaan berbanding sebelumnya.

Kedua, sengaja diwar-warkan hukuman ini, adalah umpama satu plot untuk mendapatkan maklum balas rakyat sebenar perihal sensitiviti hukuman sebat ke atas wanita sebelum ia benar-benar dilaksanakan ke atas Kartika. Sebagai satu eksperimen. Sister In Islam, menjuarai hal ini dalam memberi jawapan balas, di mana, jawapannya bersifat lebih kepada menentang. Beberapa NGO kemudiannya memberi jawapan sokongan terhadap perkara tersebut di mana ia dilihat sebagai satu langkah positif dalam mengangkat kembali martabat mahkamah syariah biarpun hukuman sebatan yang dilaksanakan tidak lagi bersifat syarie sepenuhnya. Namun, ia adalah permulaan yang menyenangkan.

Menelusuri hal ini, Gerakan Muslimah Sejagat (GEMS) memuji keberanian Kementerian Dalam Negeri ini. Walaubagaimanapun, pandangan-pandangan pihak yang salah faham mengenai konsep sebatan berpaksikan hukum syariah ini terutama di kalangan bukan Islam tidak wajar dilepas pandang. Tohmahan bahawa ia seolah mengembalikan Malaysia ke zaman kelam terbeku di bawah kongkongan agama yang mundur sepertimana zaman Eropah suatu tika dahulu, wajar diberi pencerahan kefahaman melalui dialog terbuka.

Pihak kementerian juga disaran melakukan penyelidikan baik dari aspek sains dan sosial dengan lebih mendalam lagi berkenaan sebat syariah ini demi memperkemaskan hujah untuk meyakinkan umum akan kesan kebaikan yang bakal dinikmati menerusi hukuman ini sama ada oleh pelaku jenayahnya mahupun komuniti masyarakat amnya.

Sebagai contoh, merujuk laporan Malaysiakini, satu kumpulan penyelidik di Institut Perubatan Novosibirsk, Rusia yang diketuai oleh pakar biologi Dr Sergei Speransky menemui kaedah baru (baca: lama) merawat ketagihan alkohol dan kegundahan melampau melalui sebatan sebagaimana yang pernah dikuatkuasakan di sekolah Britain pada kurun sebelumnya dan mengesyorkan sesi terapi 30 sesi membabitkan 60 kali sebatan ke atas pungung seseorang berbadan sederhana. Menurutnya berdasarkan saintifik, sebatan di pungung mampu merembeskan sejenis bahan kimia semula jadi badan manusia, Endorpin yang bertindak sebagai antibodi terhadap kesan ketagihan arah, dadah dan rokok.  

Kepadatan penjenayah yang melampau iaitu 34,060 dalam 31 penjara seluruh Malaysia telah menyebabkan pihak kementerian yang sama juga terpaksa memikirkan bebanan baru iaitu berkenaan penempatan mereka. Statistik jenayah  dan gejala sosial pula memperlihatkan pertumbuhan kadar jenayah  tidak pernah susut.

Intipati yang dapat dirumuskan di sini adalah, masalah penempatan hanyalah “presented-problem” tetapi isu sebenar di sini adalah mengapa hukuman berteraskan penguatkuasaan undang-undang sedia ada tidak mampu untuk memberi kesan kesedaran dan keinsafan kepada orang lain agar tidak turut melakukan jenayah yang sama?

Di sini letaknya kepada keperluan penyemakan semula hukuman dalam peruntukan undang-undang sivil sedia ada dan perlunya kepada keterbukaan pemikiran masyarakat ke arah yang lebih positif mengenai hukum sebatan dan hukum hudud lainnya di mana selama ini mereka hanya beriman dengan teori negatif yang terawang-awang tanpa pernah berani untuk bereksperimentasi! 

Nur Azlin Mohamad Arif,

Koordinator Gerakan Muslimah Sejagat (GEMS)

Gerakan Muslimah Sejagat adalah suara wanita-wanita muda yang mewakili pelbagai lapisan NGO di seluruh Malaysia.

Bila dengar nama Islam terus dibantah

 http://azakiyamani.wordpress.com   

 

 

Hukuman sebat ke atas tiga wanita atas kesalahan zina telah menimbulkan pelbagai reaksi. Menteri Dalam Negeri mengumumkan perkara tersebut seolah-olah ia sebagai sesuatu yang sangat istimewa. Ramai melihat ia bertujuan memperkukuhkan imej Islam-Melayu rejim Barisan Nasional.

Beberapa pertubuhan mencela hukuman tersebut sebagai mencabul hak asasi. Bekas Menteri menggelar Malaysia lawless kerana ia dilaksanakan sedangkan undang-undang persekutuan mengecualikan wanita daripada hukuman sebat.

Namun cara dan teknik sebatan itu tidak dibicarakan oleh mereka. Sebat di bawah undang-undang sivil sememangnya bertujuan untuk mendera, tidak dapat tidak lazimnya kecederaan yang serius dialami oleh mereka yang disebat. Tetapi berlainan sekali sebatan yang dilaksanakan atas perintah mahkamah syariah.

Cara dan teknik berlainan. Begitu juga tujuan sebatan itu berlainan.

ALlah memperuntukkan jenis-jenis hukuman yang berbeza bagi kesalahan-kesalahan yang pelbagai. Meski penjara adalah salah satu bentuk hukuman di dalam Islam, ia bukan satu-satunya hukuman.

Pemenjaraan tidak semestinya mendidik dan memulihkan. Malah seringkali ia membina jiwa penjenayah yang lebih kental dan tegar. Orang muda yang ditahan, khususnya tanpa bicara di Simpang Renggam, seringkali graduate bukan lagi sebagai peragut tetapi menjadi perompak dengan hubungan meluas dengan dunia jenayah.

Penjara dan Pusat Tahanan menjadi pusat untuk bertukar pandangan, memperluas jaringan dan mempelajari teknik jenayah yang lebih maju.

Apakah didikan yang mampu diberi oleh penjara terhadap wanita yang didapati bersalah kerana zina?

Hukuman di dalam Islam mempunyai dua tujuan duniawi (selain daripada manfaat akhirat); pertamanya ialah untuk mendidik pesalah dan mencegah berleluasanya jenayah. Bagaimana sebenarnya aspek pencegahan itu terlaksana tidak dapat kita pastikan dengan sahih, tetapi itu jaminan daripada ALlah. Kerana ayat Quran berkenaan jenayah ada diakhiri dengan “pencegahan daripada ALlah”. Secara khusus ALlah yang akan menyebabkan pencegahan itu.

Jika benar laporan media massa hari ini bahawa tiga wanita terlibat menyatakan bahawa meski hukuman sebat atau rotan itu tidak meninggalkan kesan fizikal, ia mendatangkan kesan terhadap jiwa dan mampu mencegah seks di luar nikah; maka ternyata unsur pencegahan itu terlaksana.

Walaupun hukuman syariah di Malaysia tidak menepati hukuman di dalam Islam, ia adalah permulaan ke arah menegakkan syariat.

Saya kira kita seharusnya menumpukan perhatian kepada hukuman-hukuman yang lebih tidak bertamadun atau barbarik khususnya sebat sehingga terkoyak kulit dan pemenjaraan untuk tempoh yang tersangat lama. Apa yang ingin kita capai dengan sistem hukuman sebegitu?

Lebih parah seperti saya katakan di atas ialah apabila sistem hukuman yang dilaksanakan tidak membantu mencegah jenayah tetapi sebaliknya menyuburkan jenayah.

Kenapa sistem sivil sebegitu tidak kamu bantah? Apakah hukuman rotan yang tidak mencederakan fizikal ini kamu bantah hanya kerana ia atas nama Islam?

Ahmad Zaki Yamani Zainon,
Ahli Jawatankuasa Bahagian Shah Alam,
Setiausaha Politik Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia.

Hukum pakai pendakap gigi

Soalan :

Apakah hukumnya memakai pendakap gigi (braces) bagi membetulkan kedudukan gigi yang tidak tersusun?

Jawapan:

Hukumnya harus. Kerana membetulkan kedudukan gigi tidak termasuk dalam perbuatan menukar ciptaan Allah SWT.