Archive for 15 Februari 2010

Ambil langkah bijak tangani isu penggunaan kalimah ‘ALLAH’

Oleh Dr Masakaree Ardae

PENGGUNAAN nama Allah dalam bentuk Tuhan Satu dalam Tiga iaitu Allah Tuhan Bapa, Allah Tuhan Anak dan Allah Tuhan Roh Suci, melahirkan rasa tidak puas hati di kalangan orang Islam kerana ialah mencemarkan kesucian sifat Allah Taala Yang Maha Esa.

Apapun orang Islam masih lagi berbeza pendapat kerana sejarah membuktikan bahawa nama Allah juga pernah digunakan oleh Nabi sebelum Nabi Muhammad SAW. Namun, persoalannya apakah boleh digunakan nama Allah dalam bentuk yang menafikan sifat-sifat kesempurnaan, menambahkan sifat kekurangan, pencemaran dan sebagainya?

Jika inilah isunya, maka orang Kristian juga berhak mendakwa bahawa orang Islam mencemarkan Tuhan mereka dengan pelbagai sandaran seperti menafikan triniti dan sebagainya. Masalah akan berakhir dengan persoalan siapakah yang benar dan siapakah yang sesat di antara agama Islam dan Kristian? Kedua-dua pihak tidak mampu mengemukakan jawapan yang memuaskan.

Berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya kafirlah orang yang mengatakan bahawasanya Allah salah seorang dari yang tiga, padahal sekali-kali tidak ada Tuhan selain dari Tuhan yang Esa. Jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, pasti orang yang kafir di antara mereka akan ditimpa seksaan yang pedih.”(5: 73).

Maka jelaslah bahawa ayat itu mempamerkan orang Kristian pada zaman Rasulullah SAW ada menggunakan nama Allah. Namun, penggunaannya dalam bentuk Tuhan selain dari Tuhan yang Esa adalah silap.

Justeru, mereka dikategorikan sebagai orang kafir yang akan dikenakan azab Allah, bukan hukuman daripada manusia. Dengan itu, tidak ada nas yang mengatakan Rasulullah pernah bertindak menghukum, menghalang atau melarang mereka daripada menggunakan nama Allah, apatah lagi membakar tempat ibadah mereka kerana kesemuanya adalah urusan mereka dengan Allah secara persendirian sama seperti orang kafir lain.

Apa yang lebih penting apakah seorang Muslim pernah melahirkan rasa tidak puas hati apabila saudara mereka yang bernama Muhammad, Abdullah dan sebagainya mencemarkan nama suci itu dengan mengerjakan maksiat dan sebagainya, padahal maksiat itu adalah suatu yang dimurkai Allah Taala dengan nas-nas yang amat jelas.

Penggunaan nama Allah di kalangan orang Kristian khusus di dalam kitab suci mereka adalah amat kecil sekali, kerana hanya berlaku di dalam Bible terjemahan bahasa Arab dan bahasa Indonesia. Adapun bahasa Greek iaitu bahasa asal yang digunakan untuk menulis Bible menggunakan perkataan ‘qeos’.

Perkataan itu diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dengan perkataan ‘Deus’. Perkataan yang hampir sama juga digunakan dalam bahasa Perancis iaitu ‘Dieu’ dan ‘Dios’ dalam bahasa Sepanyol. Perkataan itu adalah sama pengertiannya dengan perkataan ‘God’ yang digunakan dalam terjemahan bahasa Inggeris dan ‘Pra cau’ dalam bahasa Thai.

Di sini, mempamerkan bahawa Bible tidak mengutamakan penggunaan nama Allah, sebaliknya ia mengutamakan pengertian atau maksudnya iaitu Tuhan, kecuali Bible terjemahan bahasa Indonesia.

Ada kemungkinan juga muncul idea pembaharuan agama di kalangan orang Kristian di alam Melayu. Jika hal itu berlaku di dalam akidah asas seperti nama Tuhan dan sifat-sifat-Nya, maka jelaslah bahawa akidah berkenaan masih lagi di dalam lubuk kesesatan yang kelam kerana akidah asas adalah suatu yang sudah disimpulkan kemas dan tidak menerima sebarang pembaharuan lagi.

Selain kesesatan, ia juga melambangkan bahawa ajaran Kristian tidak mampu berdepan dengan peradaban Islam, tidak mampu menahan jati akidahnya di dalam masyarakat Islam, sekalipun mereka pernah bertahan dalam masyarakat Eropah, China dan sebagainya.

Berkaitan dengan apa yang berlaku di negara Malaysia, maka kerajaan perlu mengambil langkah yang bijak dalam menguruskan masalah dalaman negara ini. Negara Malaysia memiliki perlembagaan yang tersendiri.

Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan agama Islam sebagai agama rasmi negara Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan juga memberikan kuasa kepada Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam di negeri-negeri.

Dengan perlembagaan dan undang-undang sedia ada, negara Ma laysia boleh membentuk jati dirinya sendiri sama ada akan membenarkan orang Kristian menggunakan nama Allah atau tidak berdasarkan pertimbangan keadaan keamanan, keharmonian dan kekeliruan yang akan berlaku di kalangan penduduknya yang beragama Islam dengan melaksanakan kaedah memilih mudarat yang lebih ringan berbanding mudarat lebih besar.

‘Filem M’sia gagal terap unsur Islam’

Industri perfileman di Malaysia dikatakan masih gagal dalam menghasilkan karya yang mampu menerapkan unsur-unsur Islam untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat secara lebih berkesan.

Penulis novel popular, Ayat-ayat Cinta yang berasal dari Indonesia, Habiburrahman el-Shirazy, berpendapat pembikin filem di negara ini masih tidak berani untuk menonjolkan seni Islam dan amalannya dalam karya mereka menyebabkan mereka ketinggalan berbanding hasil dari negara jiran itu.

Beliau berkata apa yang paling penting adalah niat dan masyarakat semestinya akan melihat hasil dan ini semua bergantung kepada penulis itu sendiri.

“Malah, di Malaysia mereka masih tidak berani menaikkan nilai dan imej-imej Islam dengan lebih mendalam dan contoh yang paling mudah ialah seperti aktiviti keagamaan di dalam masjid.

“Tetapi di Indonesia, kita mengangkat masjid sebagai nilai Islam dan kalau ada nilai, kena ada simbolnya iaitu masjid itu sendiri. Ini yang kita buat untuk masyarakat di sana ,” katanya ketika ditemui semasa program ‘Hari Hiburan Islam’ di Kota Bharu hari ini.

Siri itu turut diselitkan dengan rancangan bicara selebriti dan tayangan filem Ketika Cinta Bertasbih yang diadaptasi daripada novel terbaru beliau.

Habiburrahman, 34, terkenal dengan nama penanya Kang Abik. Beliau turut dikenali sebagai pendakwah, novelis dan penyair lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir.

Menurutnya, sepanjang tiga tahun lepas filem-filem yang berunsurkan dakwah seperti Ayat-ayat Cinta (2004), Ketika Cinta Bertasbih (2007) yang diadaptasi daripada novel beliau serta Laskar Pelangi mendapat sambutan luar biasa dan paling ramai ditonton oleh masyarakat republik itu.

Ini kerana, katanya filem tersebut menyentuh secara langsung kehidupan masyarakat di negara itu yang majoritinya menganut agama Islam.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan filem di Malaysia, beliau berkata kebanyakan penghasilnya mempunyai garapan yang baik tetapi dari segi idea dan tema masih kurang memberangsangkan.

“Saya merasa di Malaysia ia juga mendapat sambutan yang luar biasa. Cerita yang Islamik kalau kita tulis dengan kaedah yang baik maka akan dapat sambutan.

“Selain penggarapan, kematangan dan pemilihan idea perlu tetapi di sini ada penulis garapan bagus tapi ideanya tidak sesuai dengan masyarakat. Apa yang dikehendaki oleh masyarakat tidak ditampilkan sedangkan seorang sasterawan itu harus berinteraksi dengan masyarakat.

“Kalau orang haus kita kena bagi minum bukan bagi keropok. Macam mana sedap pun dia tidak akan ambil kerana apa yang dimahukan adalah minuman,” katanya berfalsafah.

– Bernama

Peguam wajib jadi pembantu kebenaran

Oleh Zainul Rijal


KEWIBAWAAN seorang peguam bercirikan Islam yang berpegang kepada prinsip guaman yang betul akan mencerminkan institusi kehakiman negara serta dihormati oleh masyarakat. – Gambar hiasan

Keadilan perlu ditegak demi meletakkan hak kepada yang mempunyai hak

UMUM mengetahui bahawa dalam setiap tindakan di mahkamah sama ada Mahkamah Sivil atau Mahkamah Syariah, peguam adalah pihak penting membantu perjalanan kes. Tanpa peguam, perjalanan prosiding di mahkamah kadangkala pincang dan tidak teratur. Secara umumnya, profesion kepeguaman berpaksikan kepada minat, kesungguhan dan kecintaan kepada bidang guaman itu sendiri.

Seseorang yang tidak mempunyai minat dalam profesion guaman sudah tentu tidak akan mencurahkan kudrat mereka sepenuhnya di dalam profesion ini. Seseorang peguam Muslim wajar berusaha memiliki kualiti seperti berintegriti, sabar, suka mencari ilmu, meluangkan masa, tenaga dan kepakaran untuk membantu pihak yang memerlukan tanpa menjadikan wang sebagai ganjaran dan matlamat utama.

Sebaliknya, perlu menjadikan peluang berkhidmat dan membantu pihak teraniaya sebagai keutamaan. Peguam Muslim bukanlah berada di bawah tanda aras peguam yang cemerlang malah ada kalanya peguam Muslim lebih mantap dan tinggi kualiti perkhidmatannya berbanding dengan peguam lain. Memang tidak dapat dinafikan seorang peguam menggalas harapan yang tinggi daripada anak guamnya dan dibeban dengan pelbagai tanggungjawab. Seorang peguam Muslim sudah tentu mempunyai tanggungjawab yang lebih kerana menjunjung nama Islam.

Antara ciri asas yang perlu ada pada peguam Muslim ialah mesti mempunyai sikap positif dalam menjalankan tugasan. Peguam wajib menjalankan tugasan dengan penuh integriti di mana tugasan itu memerlukan mereka bersikap profesional, jujur, amanah terhadap pelanggan, menjalankan profesion dengan penuh kesungguhan tanpa menolak nilai profesionalisme tinggi peguam.

Peguam mesti bertindak dengan penuh keyakinan, menghormati orang lain sama ada pelanggan, peguam lain dan mahkamah dalam menegakkan keadilan. Di samping itu, sikap mengambil berat dan sabar dalam berurusan juga adalah suatu kemestian. Sikap ini menghendaki peguam untuk sentiasa menghormati dan melayan semua pihak sama ada pihak lawan dan peguam mereka dengan adil, baik dan sewajarnya serta menjauhi daripada bertindak tidak adil dan prejudis terhadap mana-mana pihak sepanjang proses undang-undang dilaksanakan.

Ini bermakna, walaupun peguam mewakili pelanggannya, pada masa sama, peguam di pihak lawan tetap dianggap kawan dan boleh berbincang dengan sebaiknya demi kesejahteraan kes dan pihak yang diwakili.

Cintakan ilmu dan sentiasa berusaha menambah ilmu pula adalah tuntutan di dalam Islam. Peguam perlu sentiasa berusaha menambah ilmu dengan menggunakan pelbagai kaedah sama ada menghadiri seminar undang-undang, membaca buku atau bertanya kepada peguam lebih berpengalaman perkara yang belum difahami. Dengan bekerjasama, kita akan lebih cepat memahami dan menyelesaikan sesuatu kekusutan yang belum diketahui.

Peguam berpengalaman juga perlu terbuka untuk mencurah pengalaman kepada peguam baru sebagai pelapis profesion ini. Bersikap baik dan mengambil berat pula adalah sikap yang amat positif. Peguam yang mengambil berat profesion ini akan mengambil pendekatan baik dan mengambil berat serta menghormati bukan saja kepada mahkamah dan rakan sekerja, malah juga seluruh manusia yang digaulinya.

Menghormati mereka memerlukan kita menepati setiap mesyuarat yang diputuskan, temu janji dibuat, mengambil berat kepada jadual tugasan dan memberi komitmen tinggi kepada apa yang perlu dilaksanakan. Peguam mesti mewakili pelanggan dengan penuh kesetiaan dan kesungguhan, komited dalam tugasannya serta menghormati kepercayaan diberikan terhadapnya.

Kesungguhan dan kesetiaan kepada pelanggan tidak pula menyebabkan dia melakukan tindakan tidak benar, kasar dan biadab apatah lagi menzalimi lawannya. Setiap peguam perlu menjadi contoh kepada kebaikan, kepatuhan undang-undang dan menjaga sistem keadilan yang diperjuangkan.

Peguam tidak wajar terbabit dalam urusan undang-undang saja, tetapi perlu turut sama dalam urusan memberi kebajikan kepada masyarakat, membantu dalam soal membabitkan perundangan, pendidikan, khidmat sosial, kebajikan dan sebagainya. Ketika berurusan dengan pihak lawan serta peguam mereka atau mana-mana pihak yang terbabit dalam sistem perundangan negara, peguam mesti berusaha menjadikan sistem keadilan itu dapat berfungsi dengan baik dan cemerlang.

Peguam Muslim perlu mengelak daripada melakukan perkara yang boleh memberi kesan buruk, menjatuhkan nama baik mahkamah, sistem perundangan atau menyebabkan keyakinan masyarakat terhadap perundangan terhakis.

Sebelum memilih untuk membawa sesuatu kes ke muka pengadilan dan meneruskan perbicaraan, peguam wajar mencari jalan dan mencadangkan kepada pelanggan alternatif untuk menyelesaikan pertelingkahan dan masalah seperti menggunakan kaedah sulh, mediasi dan sebagainya.

Hadis diriwayatkan Abu Dawud yang bermaksud: ‘Hakim itu ada tiga jenis. Satu di dalam syurga dan dua lagi akan ke neraka…’ memberi penekanan mengenai konsep integriti. Hadis itu bukan saja ditujukan kepada hakim, malah untuk peguam kerana hakim yang akan ke neraka itu sudah pasti akan mengheret peguam yang berhujah secara palsu di hadapannya bersama mereka.

Oleh itu, peguam hendaklah menjadi pembantu kepada kebenaran bukan kepada kebatilan. Peranan peguam Muslim sangat besar sebagai pembantu mahkamah menegakkan keadilan demi meletakkan hak kepada mereka yang mempunyai hak.

Jika sesuatu kes itu membabitkan kepercayaan yang bertentangan dengan keimanan mereka, agak sukar bagi peguam Muslim ini untuk mengendalikannya. Peguam Muslim yang mempunyai prinsip tidak akan goyah dengan ujian di dunia ini.