Archive for 11 Februari 2010

Abim khuatir facebook jadi ruang tidak sihat

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) memandang berat kes penyiaran komentar yang menghina Nabi Muhammad SAW dalam lamanweb sosial Facebook seperti yang dilaporkan dalam akhbar hari ini.

Ini memandangkan penyiaran komentar ini menggambarkan betapa rendahnya keprihatinan sesetengah pihak akan sensitiviti isu-isu tertentu di kalangan umat Islam, kata Setiausaha agung Abim, Mohamad Raimi Ab Rahim.

Semalam, seorang pegawai eksekutif sebuah syariat keselamatan, Mohamad Faizal Abdul Raub mmembuat laporan polis terhadap seorang wanita yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW dalam Facebook, baru-baru ini.

Beliau membuat laporan polis itu di Balai Polis Travers di ibunegara kira-kira jam 11.30 pagi.

Mengulas lanjut, Mohamad Raimi berkata Abim khuatir jika fenomena ini dibiarkan berterusan, ia akan membuka ruang kepada perbincangan yang tidak sihat dan mampu merobek keharmonian hubungan di antara kaum di negara ini.

“Kebimbangan ini dilatari dengan kemunculan beberapa isu sensitif yang dikaitkan dengan para pengguna lamanweb sosial semenjak kebelakangan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, menyedari implikasi besar terhadap kestabilan politik negara, (maka) Abim menggesa pihak berkuasa supaya menjalankan siasatan secara terperinci.

dibuat oleh pihak berkuasa serta mengenakan tindakan yang tegas berdasarkan kepada undang-undang serta enakmen-enakmen yang berkaitan sebagai suatu pengajaran.

Abim menyeru agar setiap lapisan masyarakat agar memahami serta menghormati sensitiviti yang sedia ada di kalangan pelbagai kaum dan agama di negara ini dalam medium interaksi terbuka seperti Facebook dan lamanweb soal, untuk mengelak sebarang implikasi negatif terhhadap persefahaman, keharmonian, tolenransi dan sensitiviti masyarakat majmuk di Malaysia.

Kembalikan fungsi wang

TIDAK dinafikan sistem kewangan Islam yang wujud hari ini masih banyak kelemahan daripada pelbagai sudut sama ada rangka kewangan dunia yang mencengkam, sistem perundangan yang tidak bersedia dan tidak menepati, pemegang saham perbankan Islam yang ‘tidak ihsan,’ terlalu mengejar keuntungan serta pelbagai lagi.

Daripada senarai panjang itu, hanya satu yang ingin dikongsi bersama dalam tulisan ringkas ini iaitu berkaitan sistem pengendalian mata wang yang menyukarkan perubahan untuk melahirkan sistem kewangan Islam terbaik.
Kesalahan pengendalian dan peraturan mata wang hari ini diakui ramai pakar dari kalangan Muslim dan bukan Islam sebagai satu daripada punca berlakunya kegawatan demi kegawatan.
Dalam Forum Kewangan Dunia di Geneva 2010 baru-baru ini, Pengerusi Majlis Syariah Kesatuan Kewangan Islam Sedunia (AAOIFI) yang juga Naib Presiden Darul Uloom, Karachi, Syeikh Mufti Taqi Uthamni berusaha berkongsi pandangan sebagai mewakili majoriti besar ulama dan ahli ekonomi Islam berkenaan sistem mata wang.
Beliau cuba menyedarkan pemimpin negara maju untuk membuat satu perubahan radikal jika benar-benar ingin mengelak berulangnya ‘serangan’ kejatuhan ekonomi pada masa depan.
Satu daripada cadangannya patut difahami oleh kita semua selaku umat Islam. Ini penting kerana kita tidak boleh mengharapkan perubahan hanya dari minda dan tangan pemimpin Barat, sedangkan kita sendiri tidak faham apa yang sepatutnya dilakukan.
Justeru, di kesempatan ini saya ingin menegaskan satu perkara saja. Tanpa niat untuk mengulas secara mendalam perihal mata wang emas dan kesesuaiannya di dunia moden, sebenarnya ada satu isu yang lebih asas daripada isu itu.
Tanpa memahaminya, mata wang dinar emas (jika mampu dilaksana) juga akan tetap gagal dalam membentuk sebuah sistem ekonomi yang Islamik dan stabil. Ia isu kemestian untuk mengembalikan fungsi mata wang dalam Islam.
KEMBALIKAN FUNGSI ASAL MATA WANG Imam Abu Hamid al-Ghazali sejak 900 tahun lalu sudah menegaskan fungsi asal dan asas bagi mata wang menurut perspektif Islam. Beliau berkata: “Penciptaan dirham dan dinar (mata wang emas dan perak) benar-benar satu rahmat daripada Allah SWT. Kedua-duanya pada hakikatnya tiada nilai tersendiri yang boleh dimanfaatkan oleh manusia (seperti untuk makan dan minum).
“Tetapi akhirnya semua manusia memerlukannya disebabkan semua manusia memerlukan nilai satu komoditi (barang) untuk ditukarkan bagi mendapatkan keperluan asasi makanan dan pakaiannya. Atas sebab itu, transaksi yang membabitkan pertukaran barangan antara satu sama lain tidak dapat dielakkan.
“Namun masalahnya, bagaimana untuk diukur nilai sesuatu barang dan ditetapkan harganya? Justeru, semua barangan memerlukan satu barang perantaraan yang boleh menjadi ukur rujuk bagi nilai.
“Maka itulah gunanya dinar dan dirham. Kedua-dua logam berharga itu akan menjadi ukuran nilai sesuatu barangan lain kerana kedua-duanya TIDAK MENJADI OBJEKTIF jual-beli tetapi ia hanya perantaraan.
“Jika kedua-duanya menjadi OBJEKTIF, seluruh sistem kewangan akan ROSAK DAN TERGANGGU. Kerana itulah Allah SWT menciptakannya. Melalui perantaraannya, pertukaran barangan keperluan yang menjadi sasaran dan objektif jual-beli akan terjamin keadilannya.” Daripada penerangan Imam al-Ghazzali, jelas pendirian ekonomi Islam berkenaan mata wang tidak kira ia jenis emas, perak atau kertas fiat adalah: 1. Mata wang mestilah hanya sebagai perantara bagi transaksi jual-beli komoditi sebenar dan ia sendiri BUKAN komoditi.
2. Mata wang mesti menjadi panduan ukuran nilai sesuatu barang keperluan.
Kedua-dua syarat di atas berkait. Tanpa satu daripadanya, ia akan gagal menjadi mata wang yang dikehendaki oleh Islam. Ini juga konsep yang diakui tepat oleh pakar ekonomi seluruh dunia, khususnya di kalangan pakar ekonomi Muslim.
Malangnya, di ketika cerdik pandai ini menyarankan dan mengakuinya, pemimpin politik dan hartawan kewangan serta badan utama kewangan dunia tidak mahu menerima pakai cadangan juga pandangan berkenaan. Ia tidak lain akibat ketamakan melampau puak korporat dan politik terbabit.
Kesannya hari ini, mata wang selain dijadikan sandaran nilai dan bahan perantara jual-beli, ia sendiri sudah dijadikan sebagai KOMODITI yang juga barangan jual-beli.
Dalam bahasa mudahnya, emas dan mata wang sendiri dijadikan sebagai objektif dalam sesuatu transaksi jual-beli. Ia sepatutnya hanya menjadi perantara, namun kini fungsinya disalahgunakan sehingga menjadi barang jualan dan akhirnya menyebabkan nilainya tidak lagi stabil (fluctuate).
Ini mencacatkan fungsinya yang sepatutnya dijadikan sandaran atau ukuran bagi nilai komoditi lain. Mata wang yang dijadikan sandaran nilai sepatutnya mempunyai nilai hampir tetap, tidak terlalu banyak berubah dan bergerak. Hanya dengan itu inflasi dapat dikawal, jual-beli menjadi stabil dan keadilan tersebar.
Namun apabila mata wang hari ini dijadikan komoditi, nilainya sendiri tidak terkawal. Selain melihat nilai mata wang kertas, cuba lihat juga nilai emas hari ini, bukankah ia juga turun naik dengan kerap? Itu tanda emas yang wujud hari ini diperlakukan secara salah oleh manusia.
Atas sebab itu, jika hari ini kita sibuk menginginkan emas untuk dijadikan mata wang namun dengan sikap menganggap mata wang sebagai komoditi, emas dan perak itu sendiri akan gagal berfungsi sebagai mata wang yang diinginkan oleh Islam.
Sebab itu, perlu difahami kejayaan menjadikan emas sebagai mata wang belum boleh dianggap satu kejayaan mengislamkan ekonomi sama sekali, malah masih jauh. Malah, yang lebih perlu diperbetulkan adalah sikap, kefahaman dan sistem kewangan dunia hari ini.
Sistem mata wang emas dan perak ini pun bukan diperkenalkan oleh Rasulullah SAW, malah ia wujud sebelum daripada kebangkitan baginda.
Islam menerima pakai dua logam berharga itu sebagai mata wang dan hanya mampu ‘DIISLAMKAN’ apabila syarat urusniaga mata wang yang digariskan oleh baginda dipenuhi.
Justeru, hanya memperjuangkan mata wang emas bukan segala-galanya bagi sebuah ekonomi dan kewangan Islam.
Oleh itu jangan ada yang menyangka bahawa sistem kewangan Islam akan hanya menjadi benar-benar Islam apabila menggunakan emas dan perak sebagai mata wang. Tidak semudah itu.
Malah, dengan wang kertas ini juga sistem kewangan Islam mampu dicapai jika peraturan dan pengurusan mata wang berjaya direformasikan kepada cara yang betul, sama ada cara ia dikeluarkan, edaran, kawalan dan penggunaannya.