Archive for 2 Februari 2010

Hikmah sebalik polemik isu kalimah ‘ALLAH’

OLEH SITI AINIZA KAMSARI
GAMBAR ABDUL NAZIR MOHAMED

Hadirin mengikuti Wacana Pendidikan Fatwa ‘Penggunaan Lafaz Allah’
di Putrajaya baru-baru ini.


MUNGKIN jenaka ini tidak sekadar jenaka kerana di sebalik yang tersirat ada yang besar tersurat. Andai mantan Presiden Amerika Syarikat atau lebih tepat yang sering berlagak seperti Ketua Polis Dunia, George W. Bush mengunjungi negara ini, sebagai tuan rumah yang menghormati tetamu,

tentu sekali kita tetap memanggilnya sebagai Mr. Bush.

Tidak mungkin kita akan memanggilnya sebagai ‘Mr. Semak’ hanya semata-mata kerana semangat ‘menterjemah’!

Begitu juga apabila di pertemuan lain, tetamu tersebut bernama Mr. Black, tidak mungkin kita memanggilnya ‘Mr. Hitam’ walaupun kulitnya putih melepak!

Begitulah antara lelucon Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohammad Sheikh Abdul Aziz yang menarik perhatian hampir 1,200 hadirin di Wacana Pendidikan Fatwa ‘Penggunaan Lafaz Allah’ di Jakim, Putrajaya baru-baru ini.

Tetapi apa yang ingin beliau cuba sampaikan ialah kiasan di sebalik polemik penggunaan lafaz Allah yang kononnya bukan hak Islam untuk mendominasikan penggunaan lafaz yang mulia itu. Malah ia mesti dikongsi dengan agama lain terutamanya Kristian.

“Kalau sekadar menuntut supaya perkataan God itu hendak diterjemahkan ke bahasa Melayu, jawapannya tentulah ‘tuhan’ bukannya ‘Allah’.

“Allah itu merupakan satu nama khas, dari aspek bahasa, bolehkah Nama-nama Khas itu boleh diterjemah untuk dijadikan Nama Am? Jadi apa rasionalnya di sebalik tuntutan yang seperti ini,” soal beliau.

Namun sebagaimana di akhir ucapan beliau, bahawa isu yang begitu mewarnai di akhir dekad tahun 2000 ini tidak dinafikan membawa banyak hikmah terutama kepada umat Islam di negara ini.

Iaitu kita semua terpanggil kepada satu perjuangan untuk memperjelaskan konsep tauhid kepada yang bukan Islam bagi mengembalikan keharmonian di negara ini.

Hadirin yang terdiri dari pelbagai latar belakang terutamanya kakitangan kerajaan dan termasuk juga kakitangan swasta, wakil-wakil pelajar dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemudiannya menumpukan perhatian kepada empat pembentangan kertas kerja berhubung isu berkenaan.

Ini sebagai antara usaha Jakim memberi penerangan yang tepat dari sudut agama Islam dan undang-undang negara. Matlamatnya, para peserta diharap dapat berkongsi maklumat dengan pelbagai pihak lain.

Seorang pendakwah bebas yang juga penulis buku agama, Dr. Zulkifli Mohammad al Bakri tanpa banyak menoleh ke belakang tegas berhujah bahawa kalimah Allah hanya untuk orang Islam berdasarkan pelbagai dalil yang autentik.

Ia bersumberkan wahyu Allah terutama surah al-Ikhlas yang memberikan satu tafsiran jelas bahawa Allah itu ahad berbanding wahid, iaitu perkataan yang lebih menafsirkan keesaan Allah yang tiada tandingannya di alam ini berbanding sekadar Allah itu tuhan yang satu.

“Dengan makna yang jelas bahawa Allah itu tidak boleh dijamakkan dengan yang lain iaitu tidak sekadar satu nama yang khusus atau khas.

“Dalam lafaz kalimah syahadah bahawa terdapat penafian (nafi al jins) iaitu segala ‘jenis’ tuhan yang lain adalah dinafikan (kewujudan) kecuali Allah sahaja yang berhak untuk disembah dan tidak boleh disekutukan dengan yang lain,” tegasnya.

Hujah beliau disokong kuat oleh Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Zamihan Mat Zin yang juga ‘menuntut’ umat Islam bersatu dalam menangani isu yang diarus perdanakan ini.

Ini supaya isu kalimah Allah tidak membuka jalan kepada mana-mana pihak merendah-rendahkan martabat kalimah yang menjadi hak eksklusif umat Islam itu.

“Isu tuntutan kalimah ini tidak boleh dipandang sebagai satu ‘cubaan’ seperti yang kita lihat dalam filem Pendekar Bujang Lapuk!” katanya.

Menurut Zamihan, umat Islam tidak boleh membiarkan kalimah Allah ‘diculik’, dibawa ‘lari’, hanya lalu di hadapan mata dan kita terus khayal dengan perkara-perkara dunia yang lain.

“Ini kerana fitnah yang membabitkan soal tauhid dan akidah ini amat besar kesannya terhadap keutuhan ajaran, institusi dan masyarakat Islam itu sendiri,” tegasnya.

Beliau yang menyampaikan kertas kerja ‘Penyelewengan Tauhid dan Kalimah Allah’ berkata, jika hendak menterjemahkan perkataan God kepada ‘Allah’ sedangkan kamus Dewan Bahasa sendiri memberi makna bahawa Allah itu bermaksud Tuhan Yang Satu, sedangkan sifat Esa ini tidak menjadi oknum atau dogma ajaran Kristian.

Persoalan penterjemahan ini kemudiannya dijelaskan dengan lebih menarik oleh Pegawai Cawangan Akidah Bahagian Penyelidikan Jakim, Mohd. Aizam Masod.

Beliau menyampaikan kertas kerja ‘Implikasi Penggunaan Kalimah Allah Oleh bukan Islam Terhadap Pemikiran Umat Islam di Malaysia’.

Katanya, walaupun tidak melibatkan soal teologi, tuntutan tujuan penterjemahan God kepada ‘Allah’ ini mempunyai risiko dan implikasi yang sangat besar terhadap keharmonian dan perpaduan di negara ini.

“Ini bukan soal kebebasan beragama semata-mata tetapi yang jelas sejak isu ini berbangkit, negara sudah tidak harmoni lagi,” katanya.

Menurut Aizam, apabila ada pihak melihat kalimah Allah itu sebahagian dari Bahasa Melayu yang dahulunya diserap dari bahasa Arab namun ini tidak bermakna atas nama semangat Bahasa Kebangsaan ia boleh diguna pakai oleh agama-agama lain selain Islam, yang ada di negara ini.

“Oleh kerana Allah adalah istilah yang telah diserap ke dalam Bahasa Melayu maka ia hendaklah difahami mengikut bangsa Melayu yang berasaskan agama Islam.

“Kelak implikasi terhadap Bahasa Melayu itu sendiri sangat besar apabila Allah dijadikan terjemahan kepada ‘God’ seperti yang dituntut,” katanya.

Contoh yang beliau maksudkan membabitkan ayat seperti berikut: God presides in heavenly council; in the assembly of the gods he gives his decisions. (PSALM, 82.1)

Kalau diterjemahkan akan jadi: “Allah mengetuai dalam majlis syurgawi; dalam sidang ilahi, Allah ia menghakimi”.

Maka akan jadilah Allah itu hanya satu istilah umum, tanpa ada sebarang keistimewaannya lagi. Contoh yang paling ketara juga boleh dilihat dalam ayat-ayat yang berikut:

For all the gods of the people are idols: but the Lord made the heavens. (1Chronicles 16:26)

Maksudnya: “Sebab segala Allah bangsa-bangsa adalah berhala, tetapi Tuhanlah yang menjadikan syurga.

“Tuhan adalah Allah yang besar…mengatasi segala Allah”. (Mazmur 95.3)

“Akulah Tuhan, Allahmu…jangan ada padamu allah lain di hadapanKu”. (Keluaran 20.2-3)

“…Yesus Kristus, iaitu Allah Maha Besar dan Raja Penyelamat kita”. (Titus 2:13)

“…sebab dalam Dialah (iaitu Kristus) berdiam secara jasmaniah seluruh kepenuhan ke-Allahan”. (Collosians 2:9)

Kata Aizam, lambat laun, kita terpaksa mengubah maksud Allah dalam kamus-kamus yang ada kerana kejayaan tuntutan dari pihak Kristian ini akan mempunyai kesan terhadap apa juga aspek, undang-undang adalah yang lebih teruk lagi.

“Dari aspek Kamus, daripada makna Allah itu Tuhan Yang Maha Esa akibat tuntutan maka terpaksa ditukar kepada Tuhan Yesus Kristus atau Tuhan Berhala atau tuhan Bapa mahupun juga Tiga Tuhan Bersatu (Triniti).

“Tidakkah ini mencelarukan Bahasa Melayu dan agama Islam itu sendiri kerana kalimah Allah itu diberi satu makna secara terbuka, iaitu kononnya terjemahan kepada perkataan ‘tuhan’ untuk apa juga jenis tuhan sebelum ini.

“Maka sudah tidak ada eksklusifnya lagi kalimah Allah sebagaimana yang difahami sebelum ini oleh seluruh umat manusia sama ada mereka Islam atau pun tidak kerana Allah itu menjadi satu ‘ketuhanan’ yang melangkaui sekelian agama,” katanya.

Kebimbangan yang sama turut diluahkan oleh Peguam Kanan Persekutuan Jabatan Peguam Negara, Mahammad Naser Disa ketika membentangkan kertas kerja ‘Penggunaan Lafaz Allah dari Aspek Perundangan’.

Menurut beliau, pada asasnya isu tuntutan kalimah Allah oleh pihak Kristian ini perlu dilihat pada skop yang luas.

“Ini kerana isu ini sebenarnya melibatkan soal Perlembagaan Negara seperti yang tertakluk kepada Rukun Negara, iaitu Keluhuran Perlembagaan.

“Iaitu dalam Perkara 3, Agama bagi Persekutuan (1) Islam ialah agama bagi Persekutuan. Ini bermakna negara tidak sahaja mempunyai satu sahaja nama sebagai identiti utama tetapi turut mempunyai agama, iaitu satu agama yang paling utama, iaitu Islam,” katanya.

Dengan kata lain, semua pihak yang mengecam dan melemparkan pelbagai tuduhan berhubung isu ini perlu menyedari bahawa agama bagi negara Malaysia adalah Islam.

“Kita tidak menyebut kedudukan Islam itu adalah agama rasmi semata-mata, sebab kita tidak ada istilah ada agama yang rasmi dan tidak rasmi di negara ini.

“Malah tidak timbul juga apabila Islam tidak disebut sebagai agama rasmi maka ia bermakna negara ini adalah negara yang mendukung fahaman sekular, memisahkan agama dalam apa juga urusan dalam kehidupan.

“Kita tidak akan jumpa pun sebarang perkataan sekular dalam Perlembagaan itu kerana kita mempunyai istilah perundangan yang lebih kuat iaitu, Agama Persekutuan,” jelas beliau.

Islam sebagai agama Persekutuan adalah sebahagian manifestasi daripada Kontrak Sosial yang dicapai dan dipersetujui bersama sebelum ini.

“Jika ada pihak menjadikan faktor sejarah kononnya sebagai dalil bahawa Allah itu adalah tuhan kepada semua agama langit atau samawi, bagaimana dengan kontrak sosial yang sekian lama menjadi asas pembinaan jambatan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini,” tegas Mahammad Naser.

Digalakkan doa orang sakit supaya lekas sembuh

USTAZ, saya ingin mengetahui bagaimana yang sepatutnya seorang Muslim apabila dia menziarahi pesakit? Boleh ustaz jelaskan.

Nazar
Kulim, Kedah

CARA seorang Muslim melawat saudaranya yang sakit berbeza dengan cara yang dilakukan oleh bukan Islam kerana disertakan dengan jampi dan doa. Maka di antara sunnahnya ialah kita hendaklah mendoakan si sakit dan menjampinya (membaca bacaan tertentu) yang ada diriwayatkan oleh Rasulullah SAW.

Contohnya: Imam al-Bukhari menulis “Bab Du’a al-‘Aa’id lil Maridh” (Bab Doa Menziarahi Orang Sakit) dan menyebutkan hadis Aisyah bahawa Rasulullah SAW apabila menziarahi orang sakit atau orang yang menderita sakit itu didatangkan kepada baginda SAW, Baginda mengucapkan (doa yang bermaksud): “Hilangkan penyakit ini, wahai Tuhan bagi manusia, sembuhkanlah, Engkau adalah Maha Penyembuh. Tidak ada kesembuhan selain kesembuhan-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan penyakit.” (Riwayat al-Bukhari dalam Fathul-Bari No.5675).

Dan Nabi SAW juga pernah menjenguk Sa’ad bin Abi Waqash kemudiannya Baginda SAW mendoakannya (yang bermaksud): “Ya Allah sembuhkanlah Sa’ad dan sempurnakanlah hijrahnya.” (Riwayat al-Bukhari dalam fathul-Bari No.5659).

Ada sesetengah orang mengemukakan pandangan tidak perlu didoakan kesembuhan kerana mereka beralasan bahawa sakit dapat menghapuskan dosa dan mendatangkan pahala seperti disebutkan dalam beberapa hadis. Bagi kemusykilan itu, al-Hafiz Ibnu Hajar memberikan jawapan demikian, “Sesungguhnya doa itu adalah ibadat dan tidaklah menafikan antara pahala dan kafarat (penghapus dosa).

Sebab keduanya diperoleh pada permulaan sakit dan dengan sikap sabar terhadapnya. Adapun orang yang mendoakan, akan mendapat dua macam kebaikan, iaitu mungkin memperoleh apa yang dimaksudkan atau diganti dengan mendapatkan manfaat lain atau ditolaknya suatu bahaya yang mana semuanya itu adalah kurniaan Allah SWT.”

Memanglah seorang Muslim itu hendaklah bersabar ketika menderita sakit atau ditimpa musibah, tetapi hendaklah juga ia meminta keselamatan kepada Allah SWT seperti hadis sabda Baginda SAW: “Janganlah kamu mengharapkan bertemu musuh dan mintalah keselamatan kepada Allah SWT. Tetapi apabila kamu bertemu musuh, maka bersabarlah dan ketahuilah bahawasanya syurga itu di bawah bayang-bayang pedang.” (Hadis Muttafaqun ‘alaih daripada Abdullah bin Abi Aufa).

Dalam hadis Ibnu Abbas, bahawa Nabi SAW bersabda: “Perbanyakkan berdoa memohon ‘afiat (keselamatan).” (Riwayat al-Tabrani dan adh-Dhiya’).

Salah satu doa Nabi SAW (yang bermaksud): “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu penjagaan daripada yang terlarang dan keselamatan dalam urusan dunia dan agamaku, keluarga dan hartaku.” (Hadis riwayat al-Bazzar daripada Ibn Abbas).

Di antara doa lain yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amir, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang menjenguk orang sakit, maka hendaklah ia mendoakannya dengan mengucapkan, “Ya Allah, sembuhkanlah hamba-Mu, agar dia dapat membunuh musuhmu atau berjalan kepada-Mu untuk melakukan solat.” Maksud musuh di sini mungkin orang-orang kafir yang memerangi umat Islam atau Iblis dan tenteranya.

Selain itu ada lagi hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas berhubung sabda nabi SAW: “Barang siapa yang menjenguk orang sakit yang belum tiba ajalnya, lalu ia mengucapkan doa ini di sisinya sebanyak tujuh kali (yang bermaksud “Aku memohon kepada Allah yang Maha Agung, Tuhan bagi ‘arasy yang agung, semoga Ia berkenan untuk menyembuhkanmu”) nescaya Allah SWT akan menyembuhkannya daripada penyakit itu. (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi). Doa-doa ini saudara boleh dapatkan dalam buku-buku doa keluaran Telaga Biru Sdn.Bhd.

Di antara sunnahnya lagi iaitu kita harus memberi harapan sembuh kepada pesakit seperti ucapan yang sering diucapkan oleh Baginda SAW iaitu “La Ba’sa Tohurun, Insya-Allah” (maksudnya: tidak apa-apa, bersih (sembuh), Insya-Allah). Maksud tidak apa-apa itu ialah jangan bimbang kerana penyakit yang dihidap akan sembuh.

Ucapan ini menimbulkan keyakinan, sekali gus menjadi doa semoga hilang penyakit dan penderitaannya serta kembali sihat di samping dapat menghapuskan dosa-dosanya.

Imam al-Tirmizi dan Ibn Majah meriwayatkan hadis daripada Abu Sa’is al-Khudri secara marfu’ (maksudnya): “Apabila kamu menjenguk orang sakit, maka hendaklah kamu beri harapan akan panjang umur. Kerana yang demikian itu, meskipun tidak dapat menolak takdir sedikit pun, tetapi dapat menyenangkan hatinya.” (Riwayat Ibn Majah dan al-Tirmizi).

Sementara itu, bagi pesakit yang tiada harapan untuk sembuh, mengikut Sunnatullah- maka hendakah si pelawat itu memohon kepada Allah SWT agar Dia memberikan kasih sayang dan tunjukkanlah sikap yang lemah lembut kepadanya dan meringankan penderitaannya.