Ramadhan Bulan Pesta Ibadat


Allahu Akbar Allahu Akbar!!…Kedengaran suara azan menandakan masuknya waktu Maghrib dari corong radio dan masjid terdekat. Umat Islam buat sekian kalinya bergembira menjamah juadah berbuka setelah seharian mengerjakan ibadat puasa Ramadhan. Perut yang sudah lama berkeroncong menyanyi lagu lapar minta diisi dan kerongkong yang sudah lama haus minta diairi air kini ditunaikan haknya. Pelbagai juadah berbuka sebagai pembuka selera terhidang dan menunggu untuk dijamah. Keletihan sepanjang hari mula dilupakan apabila makanan dan minuman  mula masuk ke perut untuk dikisar bagi menghasilkan tenaga baru untuk menghidupkan malam Ramadhan pula. Alangkah besarnya nikmat yang dianugerahkan oleh Allah ini. Larangan makan dan minum sepanjang mengerjakan ibadat puasa bukan larangan buat selamanya tetapi berbentuk sementara bagi melatih diri untuk bersabar dan merenungi nasib mereka yang malang. Betapa meriah mereka yang berkeluarga menjamu selera diselangi dengan suara anak kecil penghias suasana. Tidak kurang meriahnya mereka yang berbuka bersama-sama dengan teman sekerja atau sepengajian. Anak-anak perantau terutama di luar negara tidak ketinggalan berbuka puasa dengan juadah yang bercampur antara makanan tradisi dan makanan masyarakat tempat mereka berada. Inilah salah satu nikmat bagi mereka yang berpuasa iaitu bergembira ketika berbuka. Jika kita benar-benar menghayati ibadat puasa dengan sebaiknya insya Allah nikmat yang lebih besar iaitu apabila bertemu Allah di akhirat nanti dapat dicapai.

             Kegembiraan ketika mengadap juadah berbuka puasa janganlah memadamkan ingatan kita kepada mereka yang menderita kebuluran dan mangsa peperangan. Keseronokan mengadap makan yang memenuhi meja janganlah melupakan kita kepada saudara seagama yang sedang dihadap oleh musuh yang bersedia memamah mereka bila-bila masa sahaja. Kongsikan penderitaan mereka dengan menghulurkan bantuan yang termampu sekali pun doa kesejahteraan mereka. Si kenyang jarang mengingati si lapar tetapi si lapar sentiasa mengenang bilakah si kenyang mahu menghulurkan bantuan kepada mereka. Gunakanlah waktu senang dan rezeki yang ada untuk membantu mereka yang susah kerana ini semua merupakan amalan mulia yang bakal ditimbang di atas neraca hadapan Allah di akhirat kelak. Jangan jadikan diri ini manusia tidak berguna yang sanggup membiarkan jiran terdekat yang susah tidur dalam kelaparan sedangkan kita tidur dalam kekenyangan.

             Jika kita mampu menahan lapar dan dahaga sepanjang hari berpuasa maka janganlah kita kotori malam Ramadhan dengan perkara haram. Jika kita mampu melawan nafsu untuk terus menunaikan kewajipan berpuasa maka kita juga mesti kuat melawan nafsu malas bagi menghidupkan malam Ramadhan dengan sunat terawih dan selainnya. Jangan penuhi malam Ramadhan dengan perkara yang tidak berfaedah sehingga amalan puasa pada siang hari tidak lagi berguna dalam mendidik diri. Jika nafsu mampu dikekang sepanjang hari maka jangan biarkan ia menggans di malam hari. Isikan perut kita dengan makanan yang halal sewaktu berbuka serta jangan berlebihan ketika menjamu selera. Jadikanlah makanan yang di makan sebagai pembekal tenaga yang cukup untuk mendirikan malam Ramadhan dengan amalan soleh. Jangan biarkan diri kita hanya menjadi manusia yang mampu bergembira ketika berbuka sahaja sedangkan kita tidak mampu meraih kegembiraan yang lebih besar ertinya apabila bertemu Allah kelak.Jangan biarkan bulan Ramadhan dijadikan bulan berpesta untuk makan sebaliknya dijadikan bulan berpesta untuk memperbanyakkan amalan soleh bagi sama-sama merebut tawaran istimewa yang dijanjikan oleh Allah. 

             Jangan hanya terlalu bersungguh untuk mendapatkan tiket bas bertujuan untuk beraya di kampung sedangkan kita tidak turut berebut untuk mendapatkan tiket dengan amalan soleh bagi bekalan untuk pulang kampung yang sebenar iaitu kampung akhirat. Jangan hanya mampu duduk lama dalam pasaraya semata-mata mencari hiasan dan pakaian raya yang bermutu sedangkan dalam masa yang sama kita tidak mampu untuk beriktikaf dalam masjid bagi sama-sama membuat amalan soleh yang berkualiti sebagai persiapan hari akhirat. Jangan terlalu mengejar dunia sehingga melupakan kita hari akhirat. Ingatlah bahawa dunia ini hanya tempat persinggahan sementara sebelum menuju alam akhirat yang kekal selamanya.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: