Khutbah Terkini

Kepimpinan Berteraskan Wahyu Menyanggah Pemujaan Nafsu

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 55 surah an-Nuur :

وَعَدَ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا ۚ يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا ۚ وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Maksudnya : Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka

            Kedatangan nabi Muhammad s.a.w sebagai nabi akhir zaman di mana dakwahnya meliputi seluruh alam tanpa terhad pada sesuatu bangsa atau negara tertentu sahaja. Kejayaan gemilang yang telah dicatat oleh baginda dalam mengubah dunia daripada penindasan jahiliah kepada keadilan Islam, daripada kelam kekufuran kepada cahaya iman. Tugas nabi yang mulia ini diteruskan oleh khulafa’ ar-Rasyidin selepas kewafatan baginda pada bulan Rabiul Awwal tahun 11 Hijrah bagi memastikan suasana yang baik dan teratur tidak kembali menjadi buruk dan berterabur. Sesuai dengan maksud khalifah itu sendiri iaitu kepimpinan dalam mengurus dunia berdasarkan agama ke arah menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Sesuai dengan contoh kehidupan yang terbaik yang telah ditonjolkan oleh nabi yang bukan sahaja sebagai seorang ahli ibadat yang tawadhu’, pendakwah yang cekal, ketua keluarga yang penyayang, ahli masyarakat yang sopan, ketua tentera yang bijak malah sebagai pemimpin negara yang hebat. Jangan sekali-kali memisahkan cara hidup nabi dalam setiap kehidupan dengan hanya melihat nabi sebagai pendakwah yang tidak berpolitik atau hanya memakmurkan masjid tidak terlibat dalam mengurus negara. Kewafatan nabi bukan bererti berakhirnya dakwah Islam sebagaimana permusuhan terhadap Islam terus berlangsung hingga hari qiamat. Jahiliah yang pernah dibanteras oleh nabi akan kembali subur semula akibat gagalnya sistem Islam dilaksanakan atas muka bumi ini. Jatuh bangun, maju mundur, bahagia derita, merdeka dijajah umat Islam bergantung kepada kejayaan atau kegagalan dalam meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi ini. Nabi dan kepimpinan Islam yang berjaya sebelum ini telah mengubah jahiliah kepada Islam sedangkan kita yang terkial-kial mencari kebahagiaan dan kegemilangan akibat membuang Islam dengan mengambil kembali jahiliah

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

            Ketika menyingkap tentang kepimpinan yang berjaya maka bermula daripada pemimpin mesti memiliki segala sifat yang terpuji antaranya Sidiq iaitu benar dalam percakapan, benar dalam tindakan. Beradanya kita pada akhir zaman di mana banyak keadaan menjadi terbalik sehingga yang baik dipandang jahat, penipu dipandang jujur, orang paling rosak akhak dijadikan pemimpin. Akhirnya berlaku rompakan demi rompakan terhadap harta rakyat disamping rasuah dan pecah amanah dijadikan budaya hidup sehingga meletakkan negara semakin tinggi hutang yang mendekatkan kepada bankrap. Namun begitu pembohongan dengan lakonan yang hebat melalui TV, radio dan media massa yang digunakan semaksima yang mungkin dalam menyembunyikan masalah pecah amanah, rasuah sehingga rakyat terus tertipu dan terpedaya. Rakyat digula-gulakan dengan habuan yang sedikit sehingga tidak menghirau lagi rompakan harta rakyat yang begitu besar. Ingatlah amaran nabi s.a.w dalam suatu hadis:

إِيَّاكُم وَالْكَذِبَ فَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَلاَ يَزَالُ الْرجل يَكْذِبُ وَيَتَحَرَّى الْكَذِبَ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللهِ كَذَّاباً – رواه البخاري ومسلم

Maksudnya : Berhatilah kamu dengan penipuan. Sesungguhnya penipuan membawa kepada maksiat dan maksiat membawa kepada neraka. Seseorang itu akan berterusan dan bersunguh-sungguh menipu sehinggalah dia dicatatkan sebagai penipu

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 58 Surah an-Nisa’:

إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا

Maksudnya : Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

Sifat yang wajib ada pada pemimpin juga ialah amanah dengan menjauhi pengkhianatan terhadap tanggungjawab yang dipikul kerana meyakini bahawa setiap apa yang dilakukan bakal ditanya di Mahkamah Allah di padang mahsyar nanti. Sifat amanah akan membawa pemimpin untuk berlaku adil dan telus dalam tindakan. Ketiadaan amanah menyebabkan kezaliman semakin meluas sehingga rakyat yang mencuri alat dapur kerana kesempitan hidup diberkas sedangkan perompak wang negara berjuta-juta terus hidup bebas. Rakyat yang melakukan rasuah sedikit diambil tindakan sedangkan orang berkedudukan yang melakukan rasuah terus dibiarkan. Akhirnya terjadi sebagaimana suatu peristiwa yang menggemparkan negara apabila seorang bekas imam bertindak melempar kasut ke arah hakim kerana tidak berpuas hati dengan layanan kehakiman sehingga dijatuhkan hukuman penjara sedangkan masalah sebenar yang dibangkitkan oleh bekas imam tersebut berkenaan penyelewengan wang masjid tidak dihirau. Ingatlah kita bagaimana kedudukan seorang pemimpin bukan untuk memperbanyakkan harta peribadi dan mengabaikan tanggungjawab terhadap orang bawahan sebagaimana pesanan penting yang pernah diungkapkan oleh Sayyidina Abu Bakar dengan katanya : “Amanah adalah harta kekayaan sebenar hasil daripada keimanan yang teguh, ia adalah sifat sekalian kekasih Allah. Maka jadikanlah amanah sebagai perhiasan iman, jauhi kecurangan dan pangkat kemegahan kerana ia akan membinasakan kamu seperti umat terdahulu yang binasa.”

Memandangkan perlantikan pemimpin daripada kalangan orang yang amanah maka kita sebagai rakyat wajib amanah dalam memilih pemimpin agar kepimpinan dan hasil mahsul Negara tidak disalah urus yang membawa kepada kerosakan. Pilihlah pemimpin yang sentiasa menangis kerana takut kepada Allah jika gagal melaksanakan amanah kepimpinan bukannya memilih pemimpin yang menangis untuk menagih simpati untuk terus menjadi pemimpin dalam meneruskan pengkhianatan terhadap kepercayaan yang diberi.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sifat terpuji lain yang wajib ada kepada pemimpin ialah Fathonah iaitu bijaksana di mana jika untuk berniaga, mengurus keluarga, mengurus syarikat wajib ada ilmu apatah lagi untuk mengurus negara. Kebijaksanaan yang ada membolehkan pemimpin membawa rakyat jelata bukan sahaja nikmat keamanan di dunia dengan sistem Islam malah apa yang lebih penting untuk meraih kebahagiaan berkekalan di akhirat nanti. Pemimpin yang bijaksana sentiasa berfikir macamana mahu melaksanakan seluruh sistem Islam dalam kehidupan manakala pemimpin yang tidak bijak akan sentiasa berfikir bagaimana mahu mengaburi rakyat untuk terus mengagungkan sistem penjajah. Kita begitu bimbang bila umat Islam boleh mengeluarkan kenyataan bahawa hukum hudud adalah rekaan ahli feqah bukannya datang daripada al-Quran. Orang seperti ini berfikiran seperti Orientalis barat yang mengatakan bagaimana fardhu haji hanya rekaan kerajaan Arab Saudi untuk menarik ramai pelancong. Malah kenyataan tidak melaksanakan hukum Hudud bagi menjaga Maqasid Syariah meletakkan seolah-olah hukum Allah gagal menjaga agama, akal, nyawa, harta, keturunan daripada diceroboh. Kita begitu marah bila ada pihak tidak bertanggungjawab meletakkan kepala babi dalam masjid, kita mengutuk perbuatan biadap tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) membakar al-Quran di Afghanistan, kita mengecam akhbar The Star menyiarkan gambar artis luar negara Erykah yang mempunyai tatoo nama Allah maka kita juga wajib bangun menyanggah sebarang penghinaan terhadap sistem Islam terutama bila ia dilakukan oleh umat Islam sendiri. Oleh itu antara kewajipan yang dilakukan oleh pemimpin yang bijaksana adalah memperkasakan ilmu Islam kepada rakyat kerana manusia akan memusuhi apa yang mereka tidak tahu disamping pemimpin wajib mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menghina Islam. Ingatlah suatu pesanan besar bagaimana ikatan atau simpulan Islam akan dirungkai satu demi satu bermula dengan pengabaian terhadap solat lima waktu berakhir dengan menyisihkan sistem Islam yang lain termasuk politik, ekonomi dan perundangan Islam. Begitu juga wasiat terpenting yang pernah diungkapkan oleh junjungan besar nabi Muhammad s.a.w sebelum meninggalkan umatnya selama-lamanya ialah

رواه أبو دأود عن علي رضي الله عنه قال: كَانَ  آخِرُ كَلاَمِ رَسُوْلِ اللهِ صلى الله عليه وسلم: الصَّلاَة ُالصَّلاَة اتَّقُوْا اللهَ  فِيْمَا مَلَكَتْ  أَيْمَانُكُمْ

Maksudnya: Adalah kalimah terakhir yang diucapkan oleh Rasulullah s.a.w : Sembahyang, sembahyang! Takutkan sekalian kamu kepada Allah pada apa yang dimiliki oleh tangan-tangan kanan kamu (daripada zakat)

            2 perkara besar yang diperingatkan oleh nabi iaitu sembahyang dan zakat merupakan suatu yang begitu penting dalam memastikan hubungan manusia dengan Allah dan hubungan manusia sesama manusia berjalan dengan baik bagi menjamin keberkatan dan ketenangan hidup. Oleh itu kewajipan yang terletak atas bahu pemimpin juga bukannya menyerah kepada ibubapa sahaja iaitu usaha ke arah melahirkan umat yang sentiasa menjaga solat dan menunaikan zakat kerana ia juga merupakan asas kepada kelangsungan kepimpinan yang bertaqwa yang selamat di dunia dan akhirat sebagaimana jaminan Allah melalui ayat 41 Surah al-Hajj:

الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّـهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

Maksudnya : Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Pemimpin Penentu Antara Memuja atau Meroboh Jahiliah

 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam 144 surah Ali Imran :

وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِ الرُّسُلُ ۚ أَفَإِن مَّاتَ أَوْ قُتِلَ انقَلَبْتُمْ عَلَىٰ أَعْقَابِكُمْ ۚ وَمَن يَنقَلِبْ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ فَلَن يَضُرَّ اللَّـهَ شَيْئًا ۗ وَسَيَجْزِي اللَّـهُ الشَّاكِرِينَ

Maksudnya : Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul. Sesungguhnya telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul . Apakah jika baginda wafat atau dibunuh maka kamu akan berpaling tadah (murtad)?. Sesiapa yang berpaling tadah maka dia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikit pun. Dan Allah akan memberi balasan kepada mereka yang bersyukur

            Kasih dan cinta kita kepada nabi Muhammad s.a.w sentiasa subur dan mekar sepanjang masa dan tempat tanpa terbatas pada sesuatu bulan sahaja seperti pada Rabiul Awwal yang baru berlalu. Begitulah juga perjuangan dan jejak langkah baginda yang telah mengubah keadaan dunia daripada gelap kekufuran kepada cahaya iman, daripada kezaliman jahiliah kepada keadilan Islam wajib diteruskan walau pun baginda telah pun wafat. Dunia Islam pernah menyaksikan bagaimana kewafatan nabi Muhammad s.a.w pada bulan Rabiul Awwal tahun 11 Hijrah telah menggegarkan iman para sahabat dan umat Islam yang lain sehingga ada yang murtad daripada Islam kerana tidak dapat menerima kenyataan ini. Suasana yang kalut ditenangkan oleh Sayyidina Abu Bakar dengan kata-katanya yang tegas :

أيها الناس! مَنْ كَانَ يَعْبُدُ مُحَمَّدًا فَإِنَّ مُحَمَّدًا قَدْ مَاتَ، وَمَنْ كَانَ يَعْبُدُ اللَّهَ فَإِنَّ اللَّهَ حَيٌّ لاَ يَمُوتُ

Maksudnya : Wahai sekalian manusia! Sesiapa dikalangan kamu yang menyembah Sayyidina Muhammad s.a.w maka sesungguhnya nabi Muhammad telah wafat dan sesiapa yang menyembah Allah maka sesungguhnya Allah terus hidup dan tidak sekali-kali akan mati

            Kemudian disambung dengan bacaan ayat 144 surah Ali Imran di mana ayat ini walau pun diturunkan pada ketika peperangan Uhud bagi menetapkan hati tentera Islam dalam berdepan dengan suasana kekalahan namun apabila ia dibaca oleh Sayyidina Abu Bakar dalam kekalutan dengan kewafatan nabi s.a.w ini telah menyentak hati para sahabat termasuk Sayyidina Umar al-Khottab sehingga beliau menyatakan : Barulah aku memahami firman Allah ini.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

            Antara wasiat terpenting yang pernah diungkapkan oleh junjungan besar nabi Muhammad s.a.w sebelum meninggalkan umatnya selama-lamanya ialah

رواه أبو دأود عن علي رضي الله عنه قال: كَانَ  آخِرُ كَلاَمِ رَسُوْلِ اللهِ صلى الله عليه وسلم: الصَّلاَة ُالصَّلاَة اتَّقُوْا اللهَ  فِيْمَا مَلَكَتْ  أَيْمَانُكُمْ

Maksudnya: Adalah kalimah terakhir yang diucapkan oleh Rasulullah s.a.w : Sembahyang, sembahyang! Takutkan sekalian kamu kepada Allah pada apa yang dimiliki oleh tangan-tangan kanan kamu (daripada zakat)

            2 perkara besar yang diperingatkan oleh nabi iaitu sembahyang dan zakat merupakan suatu yang begitu penting dalam memastikan hubungan manusia dengan Allah dan hubungan manusia sesama manusia berjalan dengan baik bagi menjamin keberkatan dan ketenangan hidup. Akibat pengabaian terhadap sembahyang dan sikap tamak yang bukan sahaja kedekut untuk menunaikan zakat malah harta zakat dan rakyat disalahgunakan telah mendatangkan pelbagai masalah dalam negara. Apabila putusnya hubungan manusia dengan Allah sehingga maksiat semakin subur ditambah lagi hubungan kasih sayang, hormat menghormati sesama manusia semakin luntur telah menyebabkan keamanan tergugat dan suasana jahiliah moden mulai merosakkan suasana. Suasana jahiliah sebelum ini menyaksikan penyembahan terhadap berhala serta akhlak rosak termasuk membunuh anak perempuan hidup-hidup. Jahiliah moden lebih dashsyat dengan penyembahan terhadap ideology dan system ciptaan manusia sehingga kehidupan beragama disempitkan kepada ibadat khusus sahaja sehingga kerosakan akhlak semakin teruk termasuk penzinaan yang menyebabkan anak yang tidak berdosa tanpa mengira jantina dibunuh tanpa perikemanusiaan. Oleh itu marilah kita kembali memperkasakan usaha dalam melahirkan umat yang sentiasa menjaga solat dan menunaikan zakat kerana ia juga merupakan asas kepada kelangsungan kepimpinan yang bertaqwa yang selamat di dunia dan akhirat sebagaimana Firman Allah dalam ayat 41 Surah al-Hajj:

الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّـهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

Maksudnya : Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 55 surah an-Nuur :

وَعَدَ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا ۚ يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا ۚ وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Maksudnya : Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka

           Perjuangan dan tugas nabi Muhammad s.a.w dalam mengubah dunia kepada keadaan yang tunduk patuh kepada perintah Allah terus disambung agar dunia tidak kembali rosak oleh kelam jahiliah. Oleh itu tindakan segera Sayyidina Abu Bakar dalam menyelesaikan masalah kepimpinan telah memberi kesan yang besar ketika suasana umat Islam pada masa itu seumpama anak ayam kehilangan ibu. Peranan yang begitu besar dan berat telah dimainkan oleh Sayyidina Abu Bakar terutama dalam memulihkan semangat umat Islam disamping mengambil tegas terhadap golongan murtad, nabi palsu dan golongan yang enggan membayar zakat. Semuanya ini menyedarkan kita bagaimana betapa pentingnya kepimpinan dalam mencorak suasana dalam negara samada kepada taat kepada Allah atau menderhakaiNya, samada tunduk kepada sistem Islam atau mengenepikannya, samada melahirkan ahli ibadat atau meramaikan lagi kaki maksiat, samada mendapat keberkatan daripada langit dan bumi atau mengundang bala daripada Allah. Kepimpinan juga menentukan jatuh bangun sesebuah negara disamping menjaga kedaulatan negara dan apa yang lebih penting menjaga kesucian Islam dan maruah umatnya daripada dipermainkan oleh musuh Islam. Kita berasa malu mempunyai pemimpin yang nampak seumpama jaguh dalam memerangi Israel sedangkan penasihatnya adalah yahudi dan kapal dagang Israel terus berlabuh di negara ini silih berganti. Kita berasa malu mempunyai pemimpin yang bangga membantu rakyat dengan habuan yang sedikit sedangkan harta dan kekayaan negara dirompak dan disalahguna tanpa sekatan dan tindakan sewajarnya. Renungilah ucapan Sayyidina Abu Bakar ketika dilantik menjadi khalifah pertama setelah kewafatan nabi Muhammad sa.w dengan katanya:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya aku telah dilantik dikalangan kamu sedangkan aku bukanlah orang yang terbaik. Maka jika aku melakukan kebaikan maka bantulah aku tetapi sekiranya aku terpesong maka perbetulkanlah aku. Benar itu adalah amanah dan dusta itu adalah khianat. Orang yang lemah di kalangan kamu merupakan orang yang kuat disisiku sehingga aku akan menunaikan kemahuannya serta memberikan haknya semula. Manakala orang yang kuat di kalangan kamu merupakan orang lemah disisiku sehingga aku akan mengambil kembali hak yang telah dirampas. Oleh itu taatilah aku selagimana aku mentaati Allah dan rasulNya dan jika aku mengengkari Allah dan rasulNya maka janganlah kamu mentaatiku”

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 51 surah al-A’araf :

الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَهْوًا وَلَعِبًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا ۚ فَالْيَوْمَ نَنسَاهُمْ كَمَا نَسُوا لِقَاءَ يَوْمِهِمْ هَـٰذَا وَمَا كَانُوا بِآيَاتِنَا يَجْحَدُونَ

Maksudnya : (Tuhan berfirman: Orang-orang kafir itu ialah) orang-orang yang menjadikan perkara-perkara ugama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya). Oleh itu, pada hari ini (hari kiamat), Kami lupakan (tidak hiraukan) mereka sebagaimana mereka telah lupa (tidak hiraukan persiapan-persiapan untuk) menemui hari mereka ini, dan juga kerana mereka selalu mengengkari ayat-ayat keterangan Kami

            Antara kewajipan kepimpinan Islam ialah menjaga kesucian Islam daripada dipersenda. Kita begitu marah dengan tindakan seorang warga Arab Saudi yang bacul menghina nabi Muhammad s.a.w dalam tulisannya baru-baru ini yang menggambarkan bagaimana nabi Muhammad s.a.w seperti manusia biasa tanpa ada keistimewaan sehingga dia turut menyatakan bahwa dia suka kepada setengah ajaran nabi dan membenci sebahagian yang lain disamping tidak mahu berselawat kepada nabi. Manusia seperti ini mesti diambil tindakan tegas agar dia insaf dan tidak melarat penyakit yang merosakkan aqidah ini kepada orang lain. Mimbar Jumaat hari ini juga mengutuk dan mengecam tindakan tidak bertamadun tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) membakar al-Quran di Afghanistan walau pun mereka telah maaf atas perbuatan biadap itu. Punca musuh Islam berani menghina al-Quran buat sekian kali kerana hanya rakyat bawahan yang bangkit menentang sedangkan pemimpin di atas hanyut dibuai mimpi. Penghinaan terbaru yang berlaku di Negara kita apabila akhbar The Star menyiarkan gambar artis luar negara Erykah yang mempunyai tatoo nama Allah sedangkan gambar sebenar tidak mempunyai kalimah yang mulia itu. Penghinaan ini merupakan kes ketiga The Star menghina Islam setelah kes pertama adalah tulisan seorang editor The Star yang mempertikaikan tindakan Mahkamah Syariah di Pahang yang menjatuhkan hukuman sebat terhadap seorang wanita Islam yang meminum arak. Kes pula kedua adalah kes daging babi panggang untuk berbuka puasa yang disiarkan bulan Ramadhan lalu. Walau pun The Star telah mengantung tugas 2 pekerjanya namun tindakan lebih tegas mesti diambil oleh pemimpin Islam yang bermaruah dan cintakan Islam agar pihak yang menghina Islam tidak berani melakukan perbuatan biadap tersebut pada masa akan datang. Bangkitlah wahai umat Islam bermaruah. Jangan biarkan nama Allah dicerca, Jangan biarkan nabi Muhamamd s.a.w dihina, Jangan biarkan al-Quran dicaci, Jangan biarkan Islam dimaki. Biar bermandi darah kebiadapan musuh wajib disanggah, biar berpisah nyawa dari badan namun kesucian Islam tetap dipertahankan

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Nabi Muhammad s.a.w DiCintai Ajarannya DiRealisasi

 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 21 surah al-Ahzab :

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيرًا

Maksudnya : Sesungguhnya adalah bagi kamu contoh ikutan yang terbaik pada diri Rasulullah s.a.w, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat. Dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya

            Kini kita sedang menyambut kehadiran bulan Rabiul Awwal iaitu bulan kelahiran junjungan besar nabi Muhammad s.a.w yang merupakan nabi akhir zaman yang diutuskan untuk membawa rahmat kepada sekalian alam. Sempena berada pada bulan Maulidurrasul maka usaha dalam menjadikan nabi Muhammad s.a.w sebagai ikutan dan contoh teladan dalam setiap aspek kehidupan perlu digandakan terutama ketika umat Islam sendiri khususnya golongan remaja yang lebih seronok dan bangga menjadikan artis, pemain sukan sebagai contoh ikutan yang digilai. Kita mahu lahirkan umat Islam yang sentiasa bangga dan berebut-rebut untuk mencontohi nabi Muhammad s.a.w dalam setiap aspek kehidupan dari sekecil-kecil perkara seperti cara makan minum, masuk keluar tandas sehinggalah kepada perkara yang besar seperti ekonomi dan cara pemerintahan. Kita mestilah meniru tindakan para sahabat nabi dalam membuktikan kecintaan kepada junjungan nabi yang mulia seperti ada sahabat yang pada asalnya tidak suka makan buah labu tetapi apabila dia tahu bahawa nabi begitu menyukai buah labu maka dia pun turut sama menyukai dan memakan buah labu. Buktikan cinta kita kepada nabi Muhammad s.a.w seperti makan apa yang dimakan oleh nabi, pakai apa yang dipakai oleh nabi, bercakap dengan apa yang dicakap oleh nabi. Bila rasa cinta dan kasih yang begitu tinggi kepada nabi telah subur dalam diri maka segala halangan akan kita tempuh. Sebaliknya bila rasa cinta pada nabi tidak subur dalam diri menyebabkan tiada ada usaha dan semangat dalam mencontohi cara hidup nabi dalam kehidupan seharian.

قال الرسول: وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لاَ يُؤْ مِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُوْنَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَلِدِهِ وَوَالِدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِيْنَ – متفق عليه

Maksudnya:Demi jiwaku ditanganNya! Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihinya daripada anaknya, bapanya sendiri dan sekalian manusia

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 31 surah Ali ‘Imran :

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

            Kita wajib menjadi umat yang bersyukur atas kelahiran dan pengutusan nabi Muhammad s.a.w kerana Baginda mengenalkan kita kepada Allah, mengeluarkan manusia dari lembah kejahilan dan kesesatan kepada keadilan Islam dan cahaya iman, membezakan antara hak dan batil, mengajar halal haram, dosa pahala, Syurga Neraka. Nabi tidak pernah rasa jemu dan putus asa walau dicaci, dihina malah diseksa dan berdepan dengan pelbagai usaha musuh untuk membunuhnya ketika menyebar dan mempertahankan Islam. Segala usaha murni yang dilakukan oleh nabi bukan untuk kepentingan peribadi dan keluarga sebaliknya untuk membawa kita umatnya kepada keredhaan Allah dan mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Antara tanda cinta yang dapat dilihat pada diri umat yang mencintai nabi Muhammad s.a.w ialah sentiasa merindui nabi sebagaimana rindunya kaum Ansor ketika menunggu-nunggu ketibaan nabi dalam peristiwa hijrah. Seperti cintanya para sahabat seumpama Talhah dan Abu Dajanah yang sanggup menjadikan tubuh mereka sebagai perisai untuk melindungi nabi daripada terkena pedang dan anak panah musuh dalam peperangan Uhud. Umat cinta pada nabi juga sanggup mengorbankan harta dan jiwa dalam meneruskan perjuangan nabi dalam meninggikan kalimah Allah atas muka bumi ini. Umat yang kasih pada nabi akan sentiasa taat kepada arahan Allah dan rasulNya serta sentiasa menjauhi larangan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Umat yang cinta kepada nabi Muhammad s.a.w juga sentiasa berusaha dalam menjejaki dan mengikuti sunnah nabi. Sekiranya terdetik perasaan benci kepada sunnah nabi walaupun sedikit menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada kalangan yang diakui sebagai umat nabi. Kita berasa hairan mengapa ada umat Islam sendiri yang tidak suka kepada nabi dengan mempertikai sunnah dan sistem Islam yang dibawa oleh nabi. Kita wajib faham bagaimana tingginya rasa kasih nabi kepada umatnya sehingga pernah baginda bersabda dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim :

قال الرسول: لِكُلِّ نَبِيٍّ دَعْوَةٌ مُسْتَجَابَةٌ وَإِنِّي اخْتَبَأْتُ دَعْوَتِي شَفَاعَةً لِأُمَّتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya : Bagi setiap nabi terdapat doa yang terus dimaqbulkan di dunia. Tetapi aku telah menyimpan doaku sebagai syafaat untuk umatku pada hari qiamat nanti

            Dalam kitab Fathu al-Bari dijelaskan maksud hadis ini ialah setiap nabi telah mendoakan agar umatnya yang menderhaka dibinasakan segera melainkan nabi Muhammad s.a.w yang tidak mendoakan demikian. Ini kerana nabi akan memberikan syafaat sebagai balasan kesabaran umatnya menanggung kesusahan dunia. Begitu juga imam Nawawi menerangkan hadis ini membuktikan kesempurnaan syafaat nabi dan belas kasihan baginda kepada umatnya dengan menjadikan kebaikan umatnya yang terpenting sehingga baginda menangguhkan doa balasan azab segera terhadap umatnya sehingga waktu terpenting dan amat diperlukan syafaat di akhirat nanti. Oleh itu buktikan kecintaan kita kepada nabi termasuk melalui ucapan selawat sepanjang masa dan tempat sebagaimana yang dianjurkan antaranya

عن أبي هريرة أن رسول الله قال: مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلاَةً وَاحِدَةً، صَلىَّ  اللَّهُ عَلَيْهِ عَشْر ًا  ( رواه مسلم)

Maksudnya : Sesiapa yang berselawat ke atas aku sekali maka Allah berselawat (iaitu memberi rahmat dan gandaan ganjaran) ke atasnya sepuluh kali

وَقَالَ الرسول: إِنَّ للهِ مَلاَئِكَةً سَيَّاحِينَ فِي الأَرْضِ يُبَلِّغُونِي مِنْ أُمَّتِي السَّلاَمَ – رواه النسائي وابن حبان

Maksudnya : Sesungguhnya Allah mempunyai malaikat yang berlegar-legar di muka bumi. Mereka menyampaikan kepadaku salam daripada umatku.

            Bagi selawat ada 3 pengertian yang berbeza iaitu Pertama selawat daripada Allah bererti rahmat, keredaan, kemuliaan, kepujian serta ketinggian kepadanya. Kedua selawat daripada Malaikat bermakna istighfar memohon keampunan Allah buat baginda. Manakala yang ketiga selawat daripada manusia bermaksud berdoa agar kita mendapat rahmat yang penuh mahabbah dan kasih sayang Allah.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

            Setiap kali menyambut Maulidurrasul s.a.w maka ada-ada sahaja perkara yang cuba dimomokkan sama ada oleh musuh atau umat Islam sendiri terutama dalam perkara berkaitan dengan diri dan ajaran nabi Muhammad s.a.w. Antara yang terbaru tindakan Kelab Taat Suami menganjurkan forum Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam yang boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan bukan Islam dan penganut Islam sendiri yang tidak betul-betul mendalami sirah nabi sedangkan risalah yang dibawa Nabi Muhammad membawa pakej sempurna kepada kehidupan manusia malah perkahwinan nabi bukan untuk seks semata-mata sebaliknya meliputi banyak aspek murni yang lain terutama dari sudut dakwah dan tarbiah dalam melahirkan generasi bertaqwa. Baginda menunjukkan cara hubungan manusia dengan Allah, manusia dengan manusia dan manusia dengan alam. Kegagalan dalam mengambil seluruh ajaran nabi menyebabkan ketokohan nabi dilihat agak terbatas dan ia merupakan antara usaha musuh Islam dalam meletakkan nabi sebagai manusia biasa yang tidak mempunyai sebarang keistimewaan berbanding tokoh dunia yang lain. Begitu juga gejala murtad yang tidak boleh dinafikan berlaku di kalangan umat Islam perlu segera dibendung terutama ancaman sekularisme yang mendasari dasar-dasar kerajaan telah menjadi punca utama gejala ini semakin parah sebagaimana ajaran nabi dipisahkan dan diguna apa yang setuju oleh nafsu dan dibuang bila ia bercanggah dengan nafsu seperti solat, puasa boleh diterima tetapi ekonomi, perundangan dan politik Islam ditolak. Kita juga bimbang dengan isu pembuangan babi di masjid yang kembali hangat dalam sehari dua ini yang dilihat cuba mengeruhkan hubungan antara agama dan kaum yang dibimbangi diambil kesempatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk kepentingan peribadi. Oleh itu tirulah cara pemerintahan nabi yang berjaya melahirkan umat Islam yang taat pada kerajaan dan umat bukan Islam yang berasa dijamin keselamatan dan kebahagiaan hidup di bawah sistem Islam. Nabi diikuti negara diberkati, cara hidup nabi dilaksana umat bahagia

Firman Allah dalam ayat 7 surah al-Hasyru :

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya : Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tahun Baru Disambut, Seruan Allah DiIkut

 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam surah al-‘Asr:

وَالْعَصْرِ ﴿١﴾إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ﴿٢﴾إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ ﴿٣

Maksudnya: Demi Masa! (1)Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian – (2)Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

           Kini kita berada dipenghujung tahun 2011 yang telah mencatat pelbagai kisah suka duka, pahit manis dalam diari kehidupan kita.  Peralihan hari, bulan dan tahun meninggalkan kesan yang mendalam kepada diri manusia samada memberi perubahan positif dengan bertambahnya bekalan akhirat atau meninggalkan kesan negatif dengan menambah bebanan berat dan jijiknya dosa maksiat terhadap Allah. Surah al-‘Asr membayangkan segalanya kepada kita beza yang ketara antara manusia yang rugi dengan manusia yang beruntung dunia akhirat. Imam Syafi’e pernah berpesan bahawa sekiranya manusia berfikir dan memahami mengenai kandungan surah al-Asr maka sudah mencukupi untuk dia meletakkan dirinya atas landasan yang betul serta mengelak daripada tergelincir ke lembah kerugian. Begitu juga Ibnu Mas’ud meninggalkan wasiat dengan katanya: “Demi Allah, aku tidak menyesali sesuatu pun seperti penyesalanku terhadap suatu hari yang matahari terbit di dalamnya, di mana ajalku semakin dekat sedangkan amalanku tidak bertambah.”

Dunia ini hanya tempat kita menyemai amalan soleh untuk kita tuai pahalanya di akhirat nanti. Dunia hanya tempat persinggahan untuk mencari bekalan akhirat nanti

أَخَذَ رَسُولُ اللهِ صلی الله عليه و سلم بِمَنْكِبِي فَقَالَ: كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ. وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا يَقُولُ: إِذَا أَمْسَيْتَ فَلاَ تَنْتَظِرِ الصَّبَاحَ، وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلاَ تَنْتَظِرِ الْمَسَاءَ، وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ وَمِنْ حَيَاتِكَ لِمَوْتِكَ   - رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ

Maksudnya : Daripada Ibn Umar r.a., katanya : ” Rasulullah SAW telah memegang bahuku dan bersabda : ‘ Anggaplah dirimu di dunia ini sebagai seorang perantau, atau pengembara. ‘ Maka Ibn Umar berkata : “Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi. Dan jika engkau berada di waktu pagi maka janganlah engkau menunggu petang. Gunakanlah waktu sihatmu sebelum datang waktu sakit. Dan gunakanlah waktu hidupmu sebelum datang waktu mati. “

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

            Berbeza dengan sambutan tahun baru Hijrah yang lebih banyak diisi dengan program keagamaan sedangkan sambutan tahun baru Masihi biasanya dipenuhi dengan program maksiat terhadap Allah. Apa yang lebih malang program maksiat ini bukan sahaja diberi lesen malah dianjur sendiri oleh pihak kerajaan bagi menambah kerosakan akhlak dan melambak jenayah serta menjemput bala dahsyat daripada Allah. Teguran dan nasihat yang diberi sudah dihirau lagi bila nafsu menguasai diri sebagaimana kata ulama’ bahawa memberi nasihat kepada manusia yang degil seumpama memberi emas berlian yang begitu berharga kepada binatang yang tidak tahu apa-apa nilai barangan kemas tersebut. Apa yang lebih menggerunkan apabila turunnya bala Allah yang dahsyat seperti Tsunami 2004 dan banjir besar barulah pemimpin mula bercakap tentang sambutan tahun baru tidak disambut secara besar-besaran kerana simpati kepada mangsa bala bencana. Ingatlah suatu hadis nabi yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah yang bermaksud: “Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat, titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam.”

            Apa yang lebih malang akibat kejahilan maka lahir lebih ramai manusia yang seronok melawan Allah dan berbangga pula dengan perbuatan keji itu samada melalui percakapan atau menggunakan teknologi maklumat seperti laman sosial facebook, twitter dan lainnya untuk memberitahu dunia tentang maksiat yang telah dilakukan. Mereka tidak sedar mereka telah melakukan dosa besar terhadap Allah dan telah menayang dosa di dunia lagi sebelum ditayangkan semula pada hari yang lebih dahsyat di akhirat kelak yang diikuti dengan seksaan neraka yang begitu ngeri.

رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلَّا الْمُجَاهِرِينَ وَإِنَّ مِنْ الْمُجَاهَرَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلاً ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ عَلَيْهِ فَيَقُولَ يَا فُلَانُ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ – متفق عليه

Maksudnya: “Semua umatku akan diampunkan dosanya kecuali orang yang mujaharah (terang-terangan dalam berbuat dosa) dan yang termasuk mujaharah adalah seorang yang melakukan perbuatan dosa pada malam hari, kemudian hingga pagi hari Allah sudah menutupi dosa terbabit, kemudian dia berkata: Wahai fulan semalam saya berbuat ini dan berbuat itu. Padahal Allah sudah menutupi dosa itu semalaman, tetapi pada pagi hari dia buka dosa yang telah ditutup oleh Allah.”

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam Surah al-Nisa, ayat 110-111:

وَمَن يَعْمَلْ سُوءًا أَوْ يَظْلِمْ نَفْسَهُ ثُمَّ يَسْتَغْفِرِ اللَّـهَ يَجِدِ اللَّـهَ غَفُورًا رَّحِيمًا ﴿١١٠﴾وَمَن يَكْسِبْ إِثْمًا فَإِنَّمَا يَكْسِبُهُ عَلَىٰ نَفْسِهِ ۚ وَكَانَ اللَّـهُ عَلِيمًا حَكِيمًا

Maksudnya : Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (110)Dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu dosa maka sesungguhnya ia hanya mengerjakannya untuk (menjadi bala bencana yang) menimpa dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana

Ingatlah kita antara bahayanya dosa maksiat dicabut cahaya dan seri keimanan terutama apabila melakukan dosa besar. Muka yang tidak pernah dibasahi air wuduk boleh hilang serinya. Tertutup daripada kebenaran sehingga dia tahu mana baik dan buruk tetapi tak ikut kebaikan, dia tahu yang buruk tetapi tidak dapat meninggalkannya. Hilang rasa ghairah terhadap amal kebaikan dan ganjaran serta tawaran pahala. Pelaku maksiat tidak meng­inginkan syurga dan apabila disebut neraka mereka tidak berasa takut malah mengejeknya. Rasa berat dan payah beramal soleh sebaliknya mudah apabila diajak melakukan dosa dan maksiat. Dosa membuatkan hati jadi keras dan degil. Mereka amat susah untuk mendengar nasihat. Suka berbalah dan tidak menghormati orang lain dan bahasa yang digunakan kasar serta tidak menghormati perasaan orang lain. Jika dosa derhaka kepada orang tua boleh berjangkit kepada anak-anak dengan tindakan anak yang menyakitkan hati­nya sebagaimana dia menyakiti ibu bapa suatu ketika dulu. Dosa menjadi hijab doa payah diterima Allah. Terkadang dosa menjadi penghalang daripada mendapat rezeki dan menemui jalan penyelesaian terhadap masalah hidup. Dosa penyebab turunnya bala Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 187 surah al-A’araf :

يَسْأَلُونَكَ عَنِ السَّاعَةِ أَيَّانَ مُرْسَاهَا ۖ قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِندَ رَبِّي ۖ لَا يُجَلِّيهَا لِوَقْتِهَا إِلَّا هُوَ ۚ ثَقُلَتْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۚ لَا تَأْتِيكُمْ إِلَّا بَغْتَةً ۗ يَسْأَلُونَكَ كَأَنَّكَ حَفِيٌّ عَنْهَا ۖ قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِندَ اللَّـهِ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya : Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari qiamat: “Bilakah masa datangnya?” Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari qiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut”. Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari qiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”

           Kedatangan tahun baru 2012 turut mendapat tumpuan apabila timbulnya ramalan bahawa qiamat bakal berlaku pada bulan Disember 2012. Bagi kita yang beriman kepada Allah percaya bahawa qiamat akan berlaku tetapi tarikh tentangnya hanya diketahui oleh Allah sahaja. Apa yang lebih penting sebagaimana saat kematian kita tidak diketahui begitu juga tarikh qiamat maka kita wajib bersedia dengan memperbanyakkan amalan soleh disamping memohon keampunan Allah bukan terjerat dengan ramalam manusia yang tidak beragama. Beberapa negara mengharamkan tayangan filem qiamat 2012 sebelum ini kerana ia boleh menjejaskan aqidah umat Islam malangnya negara kita bukan sahaja tidak sensitif berkenaan masalah ini malah bertambah teruk apabila penapisan filem selepas ini diserahkan kepada penerbit filem yang pasti lebih mendatangkan kesan yang lebih buruk kepada aqidah dan akhlak umat Islam. Malah ramalan ini turut dibaca oleh setengah pengkaji Islam sebagai tahun 2012 ialah tahun serangan besar-besaran musuh terhadap umat Islam seluruh dunia bagi memastikan cita-cita yahudi untuk menguasai dunia dapat dicapai dalam masa terdekat.

            Oleh itu jangan kita disibuk dengan perkara kecil sehingga lupa pada perkara yang lebih besar seperti sibuk berbicara tentang ramalan sesat sedangkan kita lupa kepada ingatan Allah dalam al-Quran dan tanda-tanda qiamat yang pernah diberitahu oleh nabi junjungan. Jangan asyik membincangkan kes kecurian dalam kampung sahaja sehingga lupa kepada isu berbilion wang rakyat dirompak melalui rasuah dan pecah amanah. Jangan tertipu dengan pemberian hanya beratus ringgit sehingga lupa untuk menghukum pemimpin yang menyalahguna berbilion ringgit hasil mahsul negara. Jangan seronok dapat habuan sedikit sedangkan negara sedang digadai sedikit demi sedikit. Ingat sebelum terjerat, waspada sebelum kena, sedar sebelum menyesal

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Amanah Jamin Bahagia Khianat Bawa Derita

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 124 surah al-Baqarah :

وَإِذِ ابْتَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ ۖ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا ۖ قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۖ قَالَ لَا يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ

Maksudnya : Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia”. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: “(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)”. Allah berfirman: “(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim.”

Kepimpinan merupakan suatu perkara yang penting dalam memberi kesan perubahan kepada umat manusia pada setiap zaman dan tempat. Melalui al-Quran, kita dapat mengambil pengajaran penting daripada beberapa kisah nabi-nabi seperti kisah nabi Ibrahim a.s yang berdepan dengan kesesatan Raja Namrud, Nabi Musa a.s pula berdepan dengan kezaliman Firaun manakala nabi kita sendiri nabi Muhammad s.a.w berdepan dengan keangkuhan dan kejahilan Abu Lahab, Abu Jahal dan pemimpin jahiliah yang lain. Setiap masa dan tempat sentiasa berlaku pertembungan antara hak dan batil, kebenaran dan kesesatan, keadilan dan kezaliman, Islam dan jahiliah, cahaya keimanan dan kegelapan kekufuran

Allah menjanjikan kebahagiaan di dunia dan akhirat bagi siapa yang bijak memilih pemimpin yang adil serta dalam masa yang sama mengancam dengan kerosakan dan penderitaan sekiranya memilih ketua yang tidak amanah serta mengkhianati kepercayaan yang diberi. Kita dapat rasa sendiri bagaimana akibat pecah amnah dan ketidak adilan dalam mengurus hal ehwal dan kewenangan negara telah menyebabkan pelbagai penyelewengan berlaku di mana pemimpin dengan sewenangnya membahagikan harta rakyat seperti harta rampasan perang ketika rakyat jelata semakin dihimpit dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang semakin tinggi. Betapa malangnya TV, radio dan media massa digunakan semaksima yang mungkin dalam menyembunyikan masalah pecah amanah, rasuah sehingga rakyat terus tertipu dan terpedaya. Akhirnya masalah besar dipandang kecil manakala masalah kecil diperbesarkan sehingga masalah pecah amanah terus bertambah dan hampir menyebabkan negara bankrap. Ingatlah amaran nabi s.a.w dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim :

إِيَّاكُم وَالْكَذِبَ فَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَلاَ يَزَالُ الْرجل يَكْذِبُ وَيَتَحَرَّى الْكَذِبَ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللهِ كَذَّاباً – رواه البخاري ومسلم

Maksudnya : Berhatilah kamu dengan penipuan. Sesungguhnya penipuan membawa kepada maksiat dan maksiat membawa kepada neraka. Seseorang itu akan berterusan dan bersunguh-sungguh menipu sehinggalah dia dicatatkan sebagai penipu

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 55 surah an-Nuur :

وَعَدَ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا ۚ يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا ۚ وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Maksudnya : Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka

Ketika membicarakan tentang amanah kepimpinan maka ia bukan suatu yang boleh dianggap main-main kerana ia bakal menyaksikan kebahagiaan atau penderitaan hidup di dunia dan akhirat. Kita sentiasa ingat bagaimana pesanan nabi kepada seorang sahabat yang bernama Abu Dzar yang datang bertanyakan tentang jawatan ketika sahabat-sahabat yang lain dilantik oleh nabi s.a.w sedangkan beliau sendiri tidak diberi sebarang jawatan lalu nabi bersabda :

يَا أَبَا ذَرٍّ إِنَّكَ ضَعِيفٌ وَإِنَّهَا أَمَانَةٌ وَإِنَّهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ خِزْىٌ وَنَدَامَةٌ إِلاَّ مَنْ أَخَذَهَا بِحَقِّهَا وَأَدَّى الَّذِى عَلَيْهِ فِيهَا – رواه مسلم

Maksudnya : Wahai Abu Dzar! Sesungguhnya engkau lemah sedangkan jawatan itu adalah suatu amanah dan pada hari qiamat kelak kehinaan dan penyiksaan yang akan menimpa kecuali orang yang telah mengambilnya dengan hak dan menunaikan tanggungjawabnya

Kita juga pernah mendengar bagaimana Khalifah Harun ar-Rasyid ketikamenunaikan ibadat haji di Mekah telah datang berjumpa dengan seorang Ulama’ yang sedang menjaga kambingnya di atas jabal rahmat berhampiran padang Arafah lalu ulama’ itu berkata : “ Wahai Harun ar-Rasyid! Aku ini hanya pengembala kambing sahaja maka aku sudah pasti akan ditanya oleh Allah tentang diriku dan kambing-kambing peliharaanku sahaja sedangkan engkau yang dilantik menjadi khalifah maka engkau bukan sahaja akan ditanya di akhirat nanti tentang rakyat yang sedang berada di bumi Arafah pada hari ini malah seluruh rakyat yang berada di bawah pemerintahanmu. Jika engkau berjaya menunaikan amanah kepimpinan dengan adil maka berjaya dan bahagialah engkau. Sebaliknya sekiranya engkau mengkhianati amanah dan melakukan kezaliman maka celaka dan menderitalah engkau dalam neraka Allah.

Di sini kita dapat saksikan bagaimana pentingnya gabungan antara Umara’ atau pemimpin dengan ulama’ dalam mengurus negara berdasarkan kehendak agama dalam memastikan negara diberkati dan dirahmati Allah bukannya ditipa pelbagai bala’ dan musibah silih berganti akibat penderhakaan terhadap Allah

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Allah telah menjanjikan doa yang sentiasa dimakbulkan bagi seorang pemimpin yang adil. Begitu juga di akhirat nanti, pemimpin yang adil akan dipayungi di bawah naungan atau teduhan bayangan ‘Arasy Allah. Ia bukan suatu janji yang kecil dan ia juga bukan suatu janji yang mudah dicapai kecuali bagi orang yang sentiasa taqwa dalam menguruskan amanah kepimpinan serta tidak menjadikan hamba hawa nafsu

Imam Syafi’e pernah berwasiat tentang 5 perkara yang mesti ada pada pemimpin yang benar-benar taqwa kepada Allah dan jujur dalam kepimpinan iaitu [1] benar dalam percakapan, [2] menjaga rahsia, [3] menunaikan segala janji, [4] sentiasa memberi nasihat kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran dan [5] menunaikan segala kewajipan yang diamanahkan dengan telus dan jujur

Sekiranya negara dipimpin oleh pemimpin yang bertaqwa kepada Allah nescaya penyelewengan terhadap harta rakyat tidak akan berlaku. Sebaliknya apabila kepimpinan negara diserahkan kepada mereka yang tidak amanah maka kita dapat saksikan bagaimana laporan Audit Negara 2010 sebagai contoh menjelaskan bagaimana berbilion wang rakyat disalahgunakan tanpa ada di sana usaha yang bersungguh dalam menanganinya. Akhirnya menteri berkenaan yang sebelum ini mempertahankan kenyataannya bahawa amalan pemberian subsidi kepada rakyat akan menyebabkan negara menjadi muflis diubah kepada akibat pembaziran dan penyelewengan terhadap harta rakyat disamping hutang yang semakin bertambah bakal menyaksikan negara menjadi muflis. Penyelewengan di kalangan pegawai dan kakitangan kerajaan tidak lebih daripada meneruskan malan buruk pihak atasan bak kata pepatah busuknya ikan bermula daripada kepalanya melarat kepada ekor. Apabila yang di atas tidak amanah maka yang di bawah meneruskan amalan buruk itu tanpa rasa segan silu dan rasa bersalah. Benarlah kata syair

النَّاسُ عَلَي دِيْنِ مُلُوْكِهِمْ

Manusia mengikut agama pemimpin mereka

Apabila pemimpin sibuk melonggok harta maka begitulah tabiat rakyat jelata, apabila pemimpin seronok dengan hiburan melalaikan maka begitulah rentak hidup rakyat bawahan. Sebaliknya bila pemimpin suka melakukan amalan soleh dan amanah dalam pentadbiran maka rakyat di bawah akan mengikut jejak langkah yang baik ini

Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah ,

Firman Allah S.W.T dalam ayat 54-55 surah an-Namlu :

وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ وَأَنتُمْ تُبْصِرُونَ ﴿٥٤﴾أَئِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ شَهْوَةً مِّن دُونِ النِّسَاءِ ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ تَجْهَلُونَ

Maksudnya : Nabi Lut juga (Kami utuskan); (ingatlah peristiwanya) ketika ia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji sedang kamu nampak kejinya? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki, bukan perempuan, kerana memuaskan nafsu syahwat kamu. (Perbuatan kamu itu amatlah keji) bahkan kamu kaum yang jahil (yang tidak mengetahui akan akibatnya)”.

Kita turut berasa bimbang dengan masalah kerosakan akhlak yang semakin teruk termasuk dengan isu terbaru tentang dakwaan adanya orang Melayu yang berkahwin sesama lelaki dengan rakyat negara asing di luar negara di mana ia masih dalam siasatan. Isu ini bagaikan menghangat kembali tentang usaha suatu kumpulan yang menganjurkan Festival Seksualiti Merdeka bertujuan untuk menyokong dan memperkasa cara hidup bebas golongan lesbian, gay, bisexual and transgender yang jelas merosakkan akhlak baru-baru ini. Program itu akhirnya diharamkan oleh pihak keselamatan setelah dibantah di seluruh negara walau pun ia telah pun dianjurkan dengan restu pemerintah sejak tahun 2008 lagi. Semua pihak bermula daripada kerajaan wajib membasmi penyakit yang bahaya ini mengikut landasan agama bukannya mengikut kehendak nafsu. Ubatilah penyakit ini secara bijaksana kerana ia bakal mengundang bala Allah yang dahsyat jika ia hanya dipandang secara sambil lewa. Cegah sebelum parah, sekat sebelum melarat, tolak sebelum merebak

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : ” أَرْبَعَةٌ يُصْبِحُونَ فِي غَضَبِ اللَّهِ ، وَيُمْسُونَ فِي سَخْطِهِ ، أَوْ يُمْسُونَ فِي غَضَبِهِ ، وَيُصْبِحُونَ فِي سَخْطِهِ ، شَكَّ الْمُحَدِّثُ ، قِيلَ : مَنْ هُمْ يَا رَسُولَ اللَّهِ ؟ قَالَ : الْمُتَشَبِّهُونَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ ، وَالْمُتَشَبِّهَاتُ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ ، وَالَّذِي يَأْتِي الْبَهِيمَةَ ، وَالَّذِي يَأْتِي الرَّجُلَ – رواه الطبراني والبيهقي

Maksudnya: “4 kelompok manusia yang bangun dari tidurnya di bawah kemarahan Allah dan pergi tidur di bawah kemurkaan Allah. Mereka yang mendengarkan perkataan Baginda bertanya: Siapa mereka ya Rasulullah? Rasulullah SAW menjawab: Lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki, mereka yang melakukan hubungan seks dengan binatang dan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki.”

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Hijrah Diri Daulah Perangi Jahiliah

 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 5 surah Ibrahim :

وَلَقَدْ أَرْ‌سَلْنَا مُوسَىٰ بِآيَاتِنَا أَنْ أَخْرِ‌جْ قَوْمَكَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ‌ وَذَكِّرْ‌هُم بِأَيَّامِ اللَّـهِ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّكُلِّ صَبَّارٍ‌ شَكُورٍ‌

Maksudnya : Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Musa (pada masa yang lalu) dengan membawa mukjizat-mukjizat Kami sambil Kami berfirman: “Hendaklah engkau mengeluarkan kaummu dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman; dan ingatkanlah mereka dengan Hari-hari Allah. “Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah bagi tiap-tiap seorang yang kuat bersabar, lagi kuat bersyukur

Kita baru sahaja menyambut ketibaan bulan Muharram tahun 1433H yang mengingatkan kita bagaimana kita bukan sahaja menyambut bulan yang baru malah melangkah kepada tahun yang baru. Sempena berada pada bulan Muharram marilah kita sama-sama menghayati beberapa peristiwa besar yang pernah berlaku pada bulan ini termasuk peristiwa Allah menyelamatkan nabi Musa a.s dan para pengikutnya daripada kalangan bani Israel daripada dikejar oleh Firaun dan bala tenteranya yang dihancurkan dengan tenggelam lemas dalam Laut Merah. Kita juga digalakkan untuk banyak melakukan amalan puasa sunat terutama pada hari Kesembilan dan Kesepuluh atau hari ‘Asyura’ daripada bulan Muharram

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ فَرَأَى الْيَهُودَ تَصُومُ يَوْمَ عَاشُورَاءَ فَقَالَ مَا هَذَا ؟ قَالُوا : هَذَا يَوْمٌ صَالِحٌ ، هَذَا يَوْمٌ نَجَّى اللَّهُ بَنِي إِسْرَائِيلَ مِنْ عَدُوِّهِمْ فَصَامَهُ مُوسَى، قَالَ فَأَنَا أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْكُمْ فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ – رواه البخاري

Maksudnya : Apabila Rasulullah S.A.W tiba di Madinah maka baginda telah melihat orang yahudi berpuasa pada hari kesepuluh (Muharram) maka baginda bertanya: Apakah ini?. Maka jawab mereka : Ini merupakan hari yang baik di mana pada hari inilah Allah SWT menyelamatkan bani Israel daripada musuh mereka maka nabi Musa berpuasa pada hari ini. Maka sabda baginda S.A.W : Maka aku lebih layak dengan nabi Musa daripada kamu maka baginda berpuasa pada hari ini. Dan baginda menyuruh untuk berpuasa pada hari ini

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” ثَلَاثٌ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ ، وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ ، فَهَذَا صِيَامُ الدَّهْرِ كُلِّهِ ، صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ ، وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ ، وَصِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ ، أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ ” – رواه مسلم

Maksudnya : Puasa 3 dari setiap bulan sejak dari Ramadan ke Ramadan berikutnya dianggap berpuasa setahun penuh. Sedangkan puasa hari Arafah pahalanya di sisi Allah akan menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan setahun sesudahnya. Adapun puasa hari Asyura, pahalanya di sisi Allah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 74 surah al-Anfal :

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُ‌وا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَّنَصَرُ‌وا أُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَّهُم مَّغْفِرَ‌ةٌ وَرِ‌زْقٌ كَرِ‌يمٌ

Maksudnya : Dan mereka yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dan mereka yang memberi tempat kediaman dan pertolongan maka merekalah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperolehi keampunan dan kurniaan yang mulia

Setiap kali menyambut kedatangan bulan Muharram maka kita dihidangkan dengan kisah Hijrah nabi Muhammad s.a.w dari Kota Mekah tanah air tercinta ke Kota Madinah. Kegagalan dalam meletakkan betapa bernilainya pengajaran Hijraturrasul menyebabkan ia hanya menjadi sambutan tanpa tindakan sewajarnya. Oleh itu kita wajib berusaha dalam memartabatkan nilai hijrah dalam diri, keluarga, masyarakat seterusnya negara barulah kebaikan hijrah dapat dirasai dan membawa nilai yang tinggi dalam membentuk peribadi dan suasana yang hebat. Peristiwa Hijrah mengubah ‘wajah’ sejarah kemanusiaan yang dahulunya hidup bermusuh-musuhan dan berperang sesama sendiri kepada manusia dapat bersatu padu dan bermuafakat. Gambaran kehidupan tidak bermoral masyarakat Arab jahiliah ketika itu diceritakan sendiri oleh Ja’afar bin Abi Talib sewaktu ditanya Raja Habsyah yang menyatakan pada zaman itu mereka adalah bangsa jahiliah yang menyembah berhala, memakan bangkai, mengerjakan perkara keji, memutuskan tali kekeluargaan, merosakkan tata tertib tetangga dan yang kuat menekan yang lemah. Rasulullah s.a.w mengubah suasana itu dengan membawa mereka keluar daripada belenggu jahiliah kepada gaya hidup bermasyarakat, berkerajaan dan bertamadun tinggi. Sejarah kemanusiaan menyaksikan jatuh bangunnya sesebuah bangsa bergantung kepada kekuatan rohani bukannya fizikal. Islam melahirkan personaliti cemerlang dalam sejarah tamadun manusia seperti Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq, Sayyidina Umar Al-Khattab, Sayyidina Uthman bin Affan dan Sayyidina Ali bin Abi Talib

Inilah antara intipati hijrah yang mahu kita suburkan dalam masyarakat kita yang semakin hilang jatidiri sehingga agama dipinggirkan manakala hawa nafsu dijadikan Tuhan. Kesannya begitu dahsyat di mana jika pada zaman jahiliah anak perempuan dibunuh hidup-hidup atas alasan bawa sial sedangkan jahiliah moden membunuh anak lelaki dan perempuan akibat merebaknya zina. Penzinaan menyebabkan dari tahun 2008 hingga 2010 seramai 152 182 orang anak luar nikah dilahirkan mengikut statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Itu belum kira masalah dadah, jenayah yang lain yang semakin merebak ketika Hukum Hudud ditentang oleh umat Islam sendiri daripada dilaksanakan. Kejayaan dan kegagalan kita bergantung pada sejauh mana kita mahu berhijrah kepada keadaan yang lebih baik berasaskan Islam. Nabi Muhammad s.a.w berjaya membina Tamadun hebat kerana melaksana sistem Islam dengan menghancurkan jahiliah sedangkan umat Islam hari Islam mengagungkan jahiliah dengan meninggalkan sistem Islam sehingga merana dan hina di negara sendiri.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 30 surah al-Anfal :

وَإِذْ يَمْكُرُ‌ بِكَ الَّذِينَ كَفَرُ‌وا لِيُثْبِتُوكَ أَوْ يَقْتُلُوكَ أَوْ يُخْرِ‌جُوكَ ۚ وَيَمْكُرُ‌ونَ وَيَمْكُرُ‌ اللَّـهُ ۖ وَاللَّـهُ خَيْرُ‌ الْمَاكِرِ‌ينَ

Maksudnya : Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Mekah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya

Hijrah turut mengajar kita tentang cabaran, ujian, halangan, tentangan yang bakal kita hadapi dalam meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi ini. Ramai mana yang gugur syahid, ramai mana yang dipenjara, ramai mana yang dibuang negara semata-mata berjuang pada jalan Allah. Hijrah turut menyingkap bagaimana pemilihan Madinah sebagai tempat hijrah dan berdirinya Daulah Islamiah bukan secara kebetulan malah penuh perancangan. Antaranya Madinah merupakan negara strategik kerana subur dengan pertanian sedangkan Mekah banyak bergantung pada perdagangan. Madinah berada di tengah-tengah laluan perniagaan antarabangsa sehingga mampu memberi tekanan kepada kafir Quraisy yang terpaksa melalui Madinah sekiranya mahu berniaga. Madinah juga mempunyai sistem pertahanan yang kukuh yang mampu menjamin keselamatan. Ciri-ciri ini mesti kita perkasakan dalam negara kita supaya kita mampu maju ke hadapan bukannya terpaksa bergantung pada negara luar dalam setiap keperluan. Kita mesti rasa sedih bila bumi kita subur untuk pertanian tetapi masih banyak bergantung pada negara lain untuk hidup seperti banjir besar yang melanda Thailand baru-baru ini menyebabkan bekalan sayur, buah-buahan, beras, lembu berkurangan dalam negara sehingga harga melambung tinggi. Begitu juga sistem pertahanan kita yang masih bergantung pada sistem luar sehingga membuka masalah rasuah dan pecah amanah dalam pembelian senjata. Itu belum diambil kira tentang betapa amanahnya kepimpinan nabi dan para sahabat dalam mentadbir negara berasaskan Islam sehingga daripada sebuah kerajaan kecil akhirnya berjaya menumbangkan Empayar Rom Kristian dan Empayar Parsi Majusi seterusnya menguasai Empayar Hindu India dan Empayar Budha China. Sebaliknya negara kita terpaksa menjemput Yahudi untuk mentadbir negara dengan bayaran mahal ketika rakyat terpaksa mengikat perut akibat kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang semakin tinggi. Kepimpinan nabi dan para sahabat sentiasa membuka ruang untuk menerima teguran dan krtikan membina sedangkan kempimpinan kita bukan sahaja tidak mengendah penyelewengan dan pecah amanah yang merugikan berbilion duit rakyat malah berusaha mengekang suara rakyat dengan undang-undang yang mundur ke belakang. Kegagalan kita untuk berhijrah dari segi kepimpinan menyebabkan kita bakal menanggung risiko negara muflis ditambah dengan masalah sosial dan jenayah yang semakin tinggi. Berhijrah dan berjaya atau duduk ditakuk lama dan terus hina dan merana.

Hayatilah makna sebenar hijrah untuk berjaya dunia dan akhirat:

قال الرسول e : المُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ المُسْلِمُوْنَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللهُ عَنْهُ – رواه البخاري وأبو دأود والنسائي

Maksudnya: Seorang muslim ialah orang yang menyelamatkan saudaranya muslim yang lain melalui lidah dan tangannya. Dan seorang yang berhijrah ialah sesiapa yang berhijrah daripada perkara yang ditegah oleh Allah daripadanya

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Dunia Bertunjangkan Agama Jamin Bahagia

 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 18-19 surah a-Isra’ :

مَّن كَانَ يُرِيدُ الْعَاجِلَةَ عَجَّلْنَا لَهُ فِيهَا مَا نَشَاءُ لِمَن نُّرِيدُ ثُمَّ جَعَلْنَا لَهُ جَهَنَّمَ يَصْلَاهَا مَذْمُومًا مَّدْحُورًا ﴿١٨﴾وَمَنْ أَرَادَ الْآخِرَةَ وَسَعَىٰ لَهَا سَعْيَهَا وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُولَـٰئِكَ كَانَ سَعْيُهُم مَّشْكُورًا

Maksudnya : Sesiapa yang menghendaki (kesenangan hidup) dunia, Kami akan segerakan kepadanya dalam dunia apa yang Kami kehendaki, bagi sesiapa yang Kami kehendaki; kemudian Kami sediakan baginya neraka Jahannam (di akhirat kelak), untuk membakarnya dalam keadaan yang hina lagi tersingkir dari rahmat Allah. Dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik untuk akhirat dengan usaha yang layak baginya, sedang ia beriman, maka mereka yang demikian keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya

Islam mengajar kita bagaimana kehidupan dunia berkait rapat dengan kehidupan akhirat di mana dunia tempat kita beramal manakala akhirat tempat kita menerima pembalasan.  Rasulullah s.a.w berulangkali memperingatkan kita tentang bahayanya dunia jika kita gagal menguruskannya berdasarkan panduan agama. Dunia tiada berharga di sisi Allah malah ia dikutuk sekiranya tidak mengaitkannya dengan akhirat. Dunia yang diraih tanpa mengingati Allah akan menyebabkan manusia menjadi hamba dunia. Dunia yang tiada pantang halal haram, dosa pahala disifatkan seumpama bangkai manakala pemburu dunia jenis ini diibaratkan anjing rakus yang tidak mempeduli samada yang dibahamnya itu bangkai atau daging yang halal. Sebaliknya akan berjaya manusia yang mentadbir dunia dengan sentiasa mengingati Allah dengan hati, lidah dan amalan soleh disamping segala gerakgeri dan kerja hariannya berada dalam batas syarak.

حَدَّثَنَا أَبُو هُرَيْرَةَ , قَالَ : سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ , وَهُوَ يَقُولُ : ” الدُّنْيَا مَلْعُونَةٌ ,مَلْعُونٌ  مَا فِيهَا إِلَّا ذِكْرَ اللَّهِ , وَمَا وَالَاهُ أَوْ عَالِمًا أَوْ مُتَعَلِّمًا   - رواه ابن ماجه

Maksudnya : Ketahuilah bahawa dunia ini dilaknat kecuali zikrullah, barang yang dikasihi Allah daripada ketaatan, orang yang berilmu dan orang yang belajar

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Kita pernah ingat bagaimana nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda berkenaan seorang sahabat yang kaya-raya iaitu Abdul Rahman bin ‘Auf walau pun antara orang yang dijanjikan Syurga tetapi akan memasukinya secara merangkak. Apabila Abdul Rahman bin ‘Auf mendengar kata-kata nabi itu lalu beliau memahami antara sebab beliau memasuki dalam keadaan itu kerana harta yang dimiliki begitu banyak sehingga terpaksa berhenti begitu lama ketika diperiksa di akhirat kelak. Menurut beberapa riwayat antara punca beliau menyerah kesemua hartanya sebanyak 100 ekor unta penuh dengan barang dagangan dan ada riwayat yang mengatakan 700 ekor unta kepada Rasulullah s.a.w  disebabkan beliau terlalu bimbang sekiranya harta yang banyak akan menyukarkannya untuk memasuki Syurga Allah sebagaimana yang dikhabarkan oleh nabi kepadanya. Jika kekayaan dengan harta daripada sumber yang halal dan dibelanja pula dengan cara yang halal sudah begitu payah untuk memasuki Syurga apatah lagi jika harta itu didapati daripada sumber yang haram seperti rasuah, riba, pecah amanah dan sebagainya. Kita juga wajib memastikan bagaimana kerja untuk mencari rezeki mesti mengikut kehendak syarak disamping tidak melalaikan kita daripada mengerjakan perkara fardhu ‘ain terutama belajar ilmu agama, solat, puasa dan sebagainya

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَقُولُ : ” يَا ابْنَ آدَمَ تَفَرَّغْ لِعِبَادَتِي أَمْلَأْ صَدْرَكَ غِنًى وَأَسُدَّ فَقْرَكَ ، وَإِلَّا تَفْعَلْ مَلَأْتُ يَدَيْكَ شُغْلًا وَلَمْ أَسُدَّ فَقْرَكَ ” – رواه الترمدي

Maksudnya : Sesungguhnya Allah berfirman : Wahai anak Adam! Luangkanlah dirimu untuk beribadat nescaya Aku akan penuhkan dadamu dengan kecukupan dan Aku menutup kefakiran kamu. Jika kamu tidak melakukannya nescaya Aku membuatkan drimu sentiasa dalam keresahan dan Aku tidak menutup kefakiranmu

Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah ,

Firman Allah S.W.T dalam ayat 27 surah al-Isra’ :

إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا

Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.

            Islam juga mengajar kepada kita tentang betapa buruknya amalan membazir walau pun harta itu milik kita apatah lagi membazir harta rakyat dan orang ramai maka ia suatu perbuatan keji dan hina. Pernah nabi Muhammad s.a.w ketika melintasi sebuah rumah seorang Ansor yang mempunyai kubah lalu bila nabi berselisih dengan pemiliknya maka nabi berpaling ke arah lain dengan wajah yang masam. Apabila sahabat Ansor ini mengetahui antara punca nabi marah kepadanya kerana dia membina kubah iaitu suatu yang bukan keperluan sebaliknya sebagai tanda bermegah-megah lalu dia dengan segera menghancurkannya. Kisah ini mengajar kita supaya tidak membuat binaan secara berlebihan luar daripada keperluan walaupun dengan harta kita apatah lagi dengan berhutang. Jadikanlah diri kita sebagai hamba akhirat dengan menjadikan dunia sebagai tempat menyemai amalan soleh untuk kita tuai pahalanya di akhirat nanti. Jangan jadikan kita hamba dunia sehingga kita bakal diseksa dalam lubang kubur dan merana dengan seksaan yang dahsyat di akhirat kelak. Kita wajib menjadi hamba yang bertaqwa antaranya redha kepada Allah walau menerima nikmat yang sedikit serta tidak mengeluh apabila ditimpa musibah. Jangan jadi hamba dunia yang bukan sahaja tidak bersyukur kepada Allah bila diberi nikmat malah menggunakannya untuk melakukan perderhakaan terhadap Allah dan sentiasa keluh kesah bila ditarik nikmat oleh Allah.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : ” تَعِسَ عَبْدُ الدِّينَارِ وَالدِّرْهَمِ ، وَالْقَطِيفَةِ ، وَالْخَمِيصَةِ إِنْ أُعْطِيَ رَضِيَ وَإِنْ لَمْ يُعْطَ ، لَمْ يَرْضَ ” – رواه البخاري

Maksudnya : Binasalah hamba kepada dinar dan dirham dan hamba kepada kain tebal yang berbulu dan kain bercorak (ghairah dengan kemewahan dan kesenangan) sekiranya diberikan kepadanya maka dia redha sebaliknya jika tidak diberikannya maka dia tidak redha

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 65 surah Yaasin :

الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَىٰ أَفْوَاهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَا أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Maksudnya : Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (dosa masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.

            Kegagalan dalam memahami dan menghayati suruhan dan tegahan Allah kehidupan menyebabkan pelbagai masalah sosial, jenayah dan juga penyelewengan berlaku termasuk dalam menguruskan harta rakyat. Laporan Audit Negara 2010 antara bukti bagaimana penyelewengan dan pembaziran ratusan juta wang rakyat akibat hilangnya penghayatan terhadap kehidupan beragama. Laporan tersebut juga secara jelas membezakan pengurusan kewangan antara 2 buah kerajaan iaitu satu kerajaan lebih suka menambah hutang, membazir dan menyeleweng manakala satu kerajaan lagi menumpu untuk membayar hutang lapok dan memikirkan kebajikan rakyat dengan kekangan kewangan yang terhad. Apabila sesebuah kerajaan merasakan dirinya lebih tinggi dan tidak merasai bahwa mereka sebenarnya berada di bawah kerajaan Allah yang Maha Besar maka penyelewengan yang dilakukan tidak dirasa bersalah malah sanggup merompak harta rakyat dengan pelbagai alasan termasuk rompakan besar terhadap royalti minyak milik rakyat Kelantan yang menjangkau RM 6 bilion. Penyelewengan dan pembaziran yang berlaku terus bertambah dari tahun ke tahun tanpa tindakan diambil disamping negara juga berdepan dengan hutang yang bertambah iaitu dengan purata setiap rakyat Malaysia termasuk yang masih dalam kandungan menanggung hutang negara lebih sepuluh juta seorang. Apa yang lebih malang apabia semua hutang itu berasaskan sistem riba yang pastinya bunganya jauh lebih besar daripada pokok. Kita telah menyaksikan dalam masa terdekat bagaimana banyak kerajaan dunia seperi Greece dan terbaru Itali telah muflis akibat hutang. Menteri juga yang dahulunya mempertahankan kenyataannya bahawa negara akan muflis sekiranya subsidi kepada rakyat diteruskan akhirnya menjilat muntahnya semula dengan mengatakan bahawa negara tidak muflis akibat subsidi sebaliknya akan bankrap akibat hutang dan penyelewengan. Betapa malangnya jika rakyat terus dibuai mimpi indah dengan mainan dan penipuan melalui tv, radio, akhbar sehingga tidak menyedari negara hampir digadai, negara hampir dilelong akibat hutang dan penyelewengan disebabkan menyerahkan amanah kepada bukan yang layak. Benarlah kata pujangga

شِرَارُ المُلُوْكِ   ِ  بِشِرَارِ الرَّعِيَّةِ 

Maksudnya : Jahatnya pemimpin kerana ramai rakyatnya yang jahat yang memilihnya 

        Usah salahkan orang lain sekiranya harta Negara kita dirompak akibat kita sendiri yang memilih orang yang tidak amanah, Jangan menuding jari kepada orang lain sekiranya urusan Negara dikhianati akibat kita sendiri yang mencari penyakit dengan memilih orang pecah amanah untuk menguruskannya.

Firman Allah dalam ayat 113 surah Hud :

وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ اللَّـهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ

Maksudnya : Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

One response to this post.

  1. Posted by Abdul Kadir Bin CheOn on 9 Mac 2012 at 9:56 pm

    Shukran jazilan.amal yang sgt berguna…

    Balas

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 32 other followers