Ihsan dan adab dalam menyembelih


Oleh : Abu Numair Nawawi Subandi
Lembu

Pada 10 hingga 13 Dzulhijjah ini tentu ramai yang berhajat untuk melaksanakan ibadah korban. Dan bagi yang berkemampuan, sudah tentu akan berusaha untuk melaksanakan penyembelihan dengan tangannya sendiri kerana ia termasuk ke dalam sebahagian dari sunnah-sunnah Rasulullah SAW.

Cuma sayangnya pada hari ini ramai dalam kalangan umat Islam sendiri yang tidak mampu untuk melaksanakan penyembelihan dengan tangan sendiri atas beberapa alasan yang remeh seperti tidak memiliki ilmu, takut, tidak biasa, tidak yakin (was-was), serta bimbang sekiranya tidak sah.

Jadi tulisan ini penulis kongsi sebagai motivasi dan panduan ringkas tentang adab-adab dalam melaksanakan penyembelihan haiwan secara umum.
Sikap Ihsan

Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya ALLAH SWT telah mewajibkan supaya sentiasa bersikap ihsan (baik) terhadap segala sesuatu. Apabila kamu hendak membunuh, maka bunuhlah dengan cara yang paling baik. Apabila kamu hendak menyembelih haiwan, maka sembelihlah dengan cara yang paling baik iaitu dengan menajamkan alat sembelihan dan hendaklah meletakkan haiwan dalam keadaan yang selesa.” (Hadis Riwayat Muslim)

Di antara sikap ihsan yang disunnahkan ketika melaksanakan penyembelihan haiwan adalah dengan menggunakan alat sembelihan yang tajam seperti pisau atau seumpamanya selain dari kuku, tulang, gading dan gigi. Untuk menajamkan alat sembelihan ini, Nabi melarang menajamkannya (atau mengasahnya) di hadapan haiwan yang akan disembelih.

Selain itu, termasuk sikap ihsan terhadap haiwan adalah tidak menyembelih haiwan di hadapan haiwan-haiwan lain yang akan disembelih, tidak membawa haiwan ke tempat sembelihan dengan cara yang kasar, dan memilih cara yang paling mudah dan yang paling kurang menimbulkan rasa sakit. (Syarah Shahih Muslim, 13/106)

Selain itu, dalam banyak hadis-hadis yang lain, Rasulullah SAW turut melarang memukul muka haiwan, melarang mencaci haiwan, berlaku kasar, menyakitinya, serta melarang melaknat atau mengejek haiwan.

Dari sini menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang sangat menganjurkan sikap ihsan bukan sahaja kepada sesama manusia, tetapi juga terhadap para haiwan. Bukan sahaja ketika haiwan tersebut hidup, tetapi juga ketika hendak menyembelihnya.

Dalam Islam, haiwan yang boleh disembelih adalah dari jenis haiwan darat yang mengalirkan darahnya dan halal dimakan. Ini adalah seperti unta, lembu, kambing, kijang, ayam, itik, dan angsa.
“Sebahagian ulama menyatakan bahawa hikmah pada syarat sembelihan (adz-Dzabh) dan mengalirkan darah (an-nahr) adalah bagi membezakan di antara kehalalan daging dan lemak dari yang keharamannya. Perlu diperhatikan bahawa bangkai diharamkan (antaranya) kerana ia tidak mengalirkan (mengeluarkan) darah di dalam tubuhnya.” (Syarah Shahih Muslim, 13/123)

Adapun haiwan darat dari jenis yang mengalir darahnya yang tidak halal dimakan berdasarkan dalil-dalil yang telah ditentukan, maka ia adalah haram walaupun setelah disembelih, dan matinya tetap dihukumkan sebagai bangkai (yang haram dimakan).

Manakala haiwan yang tidak memiliki darah yang mengalir atau tidak boleh disembelih (kerana tidak memiliki leher), jika ia mati maka matinya dianggap sebagai bangkai. Kecuali bangkai setiap jenis haiwan air dan bangkai belalang, ia halal dimakan walaupun tanpa melalui proses sembelihan.

Sabda Rasulullah SAW, “Dihalalkan bagi kita dua bangkai dan dua jenis darah. Dua bangkai tersebut adalah bangkai ikan dan belalang, manakala dua darah tersebut adalah hati dan limpa.” (Hadis Riwayat Ahmad. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Juga sebagaimana sabda beliau yang lain, “Laut itu suci airnya dan halal bangkainya.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi. Dinilai sahih oleh at-Tirmidzi).

Menghadapkan haiwan sembelihan ke arah kiblat

Disunnahkan agar haiwan dihadapkan ke arah kiblat ketika menyembelihnya sebagaimana amalan Rasulullah SAW. Nafi’ (maula Ibnu ‘Umar) mengatakan, “Bahawasanya Ibnu ‘Umar tidak suka makan daging haiwan yang tidak menghadap kiblat ketika disembelih.” (Mushannaf ‘Abdurrazzaq, 4/489, no. 8585)

Rasulullah SAW pernah memerintahkan supaya dibawakan dua ekor kibas dan pisau yang tajam kepadanya bagi tujuan sembelihan korban. Ini sebagaimana hadis ‘Aisyah r.a.

Sabda Rasulullah, “Asahlah pisau ini dengan batu (pengasah).” ‘Aisyah pun melakukan apa yang di perintahkan beliau. Setelah diasah, beliau mengambilnya dan mengambil kibas tersebut lalu membaringkannya dan menyembelihnya…” (Hadis Riwayat Muslim).

“Ini adalah dalil yang menjelaskan anjuran merebahkan haiwan yang hendak disembelih (dari jenis kambing), dan ia tidak disembelih dalam keadaan berdiri atau duduk. Kerana keadaan tersebut lebih mudah baginya dan ini adalah ijma’ (kesepakatan) umat Islam. Ia dilakukan dengan merebahkan haiwan di atas sisi kirinya di mana ia lebih memudahkan orang yang menyembelih sambil memegang pisau di tangan kanan dan memegang kepala haiwan dengan tangan kirinya.” (Subulus Sulam, 4/162 – Maktabah at-Taufiqiyah).

Manakala bagi unta, ianya disembelih dalam keadaan berdiri di atas tiga kakinya dan kakinya yang kiri bahagian hadapan diikat dengan tali. Ia dilakukan dengan cara menusuk (an-nahr) di bahagian lehernya. (Shahih Fiqhus Sunnah, 2/364 – Maktabah at-Taufiqiyah).

Adapun berkenaan syarat sembelihan atau bahagian yang perlu diputuskan atau dipotong, “Imam asy-Syafi’i, para sahabatnya, dan orang-orang yang bersetuju dengannya mengatakan, “Tidak sah suatu sembelihan melainkan setelah terpotong pada halkum (salur pernafasan) dan mari’ (salur makanan) secara sempurna. Dan disunnahkan memotong dua urat darahnya yang lain (yang terdapat di sekitar leher), tetapi ini tidaklah termasuk syarat. Dan ini juga adalah pendapat yang kuat dari Imam Ahmad berdasarkan dua riwayat.” (Syarah Shahih Muslim, 13/124).

Tetapi hendaklah berhati-hati agar tidak sampai memutuskan atau memisahkan kepala dari tubuhnya ketika sembelihan dilakukan kerana ia termasuk perbuatan yang dibenci. Dalam satu riwayat, Nafi’ menyatakan, “Sesungguhnya Ibnu ‘Umar enggan memakan daging kambing yang disembelih sehingga lehernya terputus.” (Mushannaf ‘Abdurrazzaq, 4/490, no. 8591).
Menyebut nama ALLAH

ALLAH SWT berfirman (maksudnya), “Dan janganlah kamu memakan haiwan-haiwan yang tidak disebut nama ALLAH ketika menyembelihnya, sesungguhnya perbuatan tersebut adalah suatu kefasikan.” (Surah al-An’am, 6: 121).

Ayat ini adalah dalil bahawa sembelihan tidak halal sekiranya tidak disebut nama ALLAH ketika menyembelihnya walaupun yang menyembelihnya adalah seorang Muslim. (Tafsir Ibnu Katsir, 3/324).
Kata Ibnu ‘Abbas, “(Tetapi sekiranya dia terlupa), maka tidak mengapa.” (Fathul Bari, 9/624).

Manakala ketika menyembelih haiwan korban, disunnahkan membaca basmalah dan takbir sambil berdoa memohon agar korbannya diterima ALLAH.
Pastikan mati

Haiwan yang disembelih hendaklah dipastikan telah benar-benar mati terlebih dahulu sebelum dilakukan proses seterusnya. Dan kematiannya hendaklah dilakukan dengan semata-mata sembelihan tanpa sebarang tekanan atau paksaan dari faktor luar.

Kerana Rasulullah SAW bersabda, “Apa-apa bahagian yang dipotong dari haiwan yang masih hidup, maka potongan tersebut adalah bangkai.” (Hadis Riwayat Ahmad. Dinilai hasan oleh Syu’aib al-Arnauth).

Demikianlah secara ringkas di antara sikap ihsan dan adab-adab dalam melaksanakan penyembelihan haiwan

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 2,494 other followers

%d bloggers like this: