Hukum menonton filem lucah dan onani


Lampias syahwat sesuka hati berdosa, jejas kesihatan

SAYA penuntut di kolej swasta dan suka sangat menonton filem lucah, tapi sekarang tidak lagi. Namun saya masih teringat aksi dalam filem terbabit sehingga apabila syahwat bergelora, saya akan melepaskannya dengan melakukan onani. Bagaimana cara saya dapat menghindari perbuatan ini dan adakah melakukan onani dikira berdosa

PENUNTUT INSAF,

Kuala Lumpur.

ALHAMDULILLAH wassolatu wassalam ala rasulillah wabad. Allah SWT memberikan amanah yang tidak terhingga kepada kita, antaranya adalah hati, pendengaran dan penglihatan. Anugerah penglihatan hendaklah dijaga dengan baik. Kita tentu berharap agar pelbagai anugerah dikurniakan Allah SWT dapat membawa kita kepada ketaatan dan ketakwaan kepada-Nya, bukan sebaliknya.

Menonton filem lucah hukumnya jelas haram. Allah SWT memerintahkan orang beriman memelihara pandangan daripada perkara diharamkan. Allah SWT berfirman dalam ayat 30 dan 31 surah an-Nur. Pertama: Katakanlah pada orang lelaki yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya… Kedua (iaitu ayat seterusnya): Katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya…

Janganlah kita melihat aurat orang lain. Melihat muka pun kita diperintahkan untuk menunduk pandangan. Perbuatan ini selain maksiat, juga boleh membawa kepada maksiat lebih besar lagi. Dalam sebuah hadis diriwayatkan al-Hakim dalam Mustadrak bermaksud: Pandangan itu adalah salah satu anak panah iblis yang beracun. Sesiapa yang meninggalkannya kerana takut kepada Allah, Allah akan mengurniakan kepadanya keimanan. Ia akan menikmati manisnya iman dalam hati.

Menonton filem lucah termasuk perkara yang dapat merosakkan jiwa. Bagi remaja, fikiran akan terus bertaut dengan apa yang dilihat dalam filem. Jika belum berkahwin, apa yang ditonton itu akan mendorong melepaskan syahwat kepada perkara diharamkan Allah SWT. Boleh jadi dia akan menahan, namun ia boleh menjadikan jiwa tertekan oleh keinginannya yang membuak-buak. Dalam keadaan ini, seseorang amat mudah melakukan sesuatu diharamkan Allah SWT.

Selain itu, orang yang selalu menyaksikan perkara seperti itu akan mematikan rasa. Pepatah Arab ada menyebut, iaitu saling bersentuhan mengakibatkan hilang deria rasa. Samalah juga dengan menonton filem lucah. Ini akan merosakkan keinginan syahwat walaupun bukan dalam masa terdekat.

Jauhilah daripada kawan-kawan yang mengajak pada perbuatan mungkar ini. Banyakkan berzikir dan solat berjemaah di masjid. Mengisi masa dengan belajar, bersukan, rekreasi dan bekerja juga antara cara yang baik untuk menghindari perbuatan mungkar.

Mengeluarkan sperma dengan sengaja atau onani adalah dilarang. Ini adalah pandangan seperti Mazhab Maliki dan Syafii. Hujahnya iaitu Allah SWT memerintahkan untuk memelihara kemaluan dalam seluruh keadaan kecuali terhadap isteri dan hamba.

Jika seseorang melepaskan syahwatnya selain daripada isterinya dan hamba, maka ia termasuk dalam golongan yang melampaui batas dan melanggar apa yang ditetapkan Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah al-Mukminun ayat 5 hingga 7 yang bermaksud: Dan orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tidaklah tercela. Siapa yang mencari sebalik itu, mereka itulah orang yang melampaui batas. (Rujuk Fiqhus Sunnah jilid 2).

Selain itu, perbuatan ini juga mempunyai kesan tidak baik bagi kesihatan serta pembesaran fizikal dan mental remaja. Lebih-lebih lagi jika perbuatan ini menjadi kebiasaan sehingga sukar ditinggalkan. Demikianlah, wallahualam.

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 2,494 other followers

%d bloggers like this: