Nilai haji seseorang Memelihara haji mabrur


Lambaian Kaabah tiba lagi dan pastinya ramai kalangan umat Islam sedang dan akan menunaikan rukun Islam ke-5 ini dengan sebaiknya bersama disiplin ibadah, iaitu niat haji, wuquf, tawaf, saie dan bercukur.

Bagi mereka yang terpilih menunaikan ibadat di rumah ALLAH ini semestinya tidak akan melepaskan peluang mendapatkan haji mabrur. Namun adakah kita mengetahui apakah itu haji mabrur dan cara untuk mendapatkannya, lalu terus mengekalkannya walaupun sudah pulang ke tanah air masing-masing.

Dari segi bahasa, mabrur mempunyai dua makna. Pertama, bererti baik, suci dan bersih. Kedua, bererti diterima dan mendapat keredaan ALLAH SWT. Orang yang memperoleh haji mabrur semakin kuat imannya dan meningkat amal ibadatnya.

Nilai haji seseorang

Orang yang mengerjakan haji akan mendapat pelbagai kelebihan dan ganjaran daripada ALLAH. Oleh itu, umat Islam hendaklah mengerjakan dengan ikhlas kerana ALLAH. Antara kelebihannya ialah mendapat ganjaran haji mabrur.

Penasihat Ibadah Haji (TH) – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, orang yang menunaikan ibadat haji dengan sempurna akan mendapat haji mabrur.

“Seperti sabda Rasulullah SAW, “Di antara satu umrah kepada satu umrah yang lain adalah penghapus dosa antara keduanya dan tiada balasan bagi haji mabrur melainkan syurga,” katanya kepada Rehal, baru-baru ini.

Beliau berkata, para fukaha ada menerangkan beberapa cara untuk mendapatkan haji mabrur yang selalunya diterangkan pada mukadimah ibadat haji.

“Pertama, sebelum bertolak ke tanah suci terlebih dahulu hendaklah pekerja haji itu membersihkan dirinya daripada dosa atau maksiat-maksiat dan kemungkaran dengan bertaubat nasuha.

“Kedua, wang atau perbelanjaan yang digunakan hendaklah daripada sumber pendapatan yang benar-benar bersih dan halal mengikut pandangan syarak. Bukannya wang yang didapati daripada jalan-jalan yang haram atau shubhah. Ini disebabkan ibadah yang dijalankan melalui jalan haram tidak diterima ALLAH,” katanya.

Nabi juga menegaskan dalam hadisnya, yang bermaksud: “Sesungguhnya ALLAH itu bersih maka Dia tidak menerima kecuali yang bersih juga.

Ketiga ialah, ibadah haji dan umrah itu dikerjakan dengan hati yang benar-benar takwa dan ikhlas kerana ALLAH, tidak dipengaruhi sifat-sifat riak dan takbur atau kerana mendapatkan sanjungan manusia. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Amalan–amalan itu bergantung kepada niat”.

“Hadis ini membawa maksud jika amalan itu dilakukan kerana ALLAH maka ia mendapat balasannya daripada ALLAH, tetapi jika dilakukan kerana yang lain seperti ingin mendapat sanjungan daripada masyarakat maka ia hanya mendapat pujian masyarakatnya sahaja dan tidak beroleh apa-apa pahala daripada ALLAH.

“Keempat pula, sebelum pergi ke Mekah hendaklah dia menyediakan dirinya dengan ilmu pengetahuan secukupnya mengenai cara-cara mengerjakan haji, sama ada rukun-rukunnya, wajib-wajibnya, sunat-sunat dan perkara lain yang berkaitan dengan haji,” katanya.

Menurut Zulkifli, cara kelima segala hutang kepada ALLAH seperti hutang solat, hutang puasa dan lain-lain, hendaklah dijelaskan terlebih dahulu. Begitu juga hutang atau pinjamannya kepada manusia dan janji-janji yang dibuat mestilah diselesaikan sebelum bertolak ke tanah suci.

“Keenam, memohon doa restu dan kemaafan daripada ibu bapa, sanak-saudara dan ahli keluarganya.

“Ketujuh, tidak melakukan kerja-kerja atau pantang larang tidak tentu hala semasa mengerjakan haji, tetapi hendaklah menjalaninya dengan tertib, berakhlak dan bersabar serta bertimbang rasa dengan kesusahan yang dihadapi jemaah lain.

“Semua kerja yang boleh menjejaskan pahala haji seperti bertengkar, bergaduh dan kata-mengata hendaklah dihindari,” katanya.

Memelihara haji mabrur

Kemakburan haji adalah nilai haji seseorang. Ia adalah impian seluruh umat yang menunaikan haji. Justeru ia wajib dipelihara. Tanda kemakburan haji seseorang dapat diukur dengan bertambah kualiti kehidupan beragama dan iltizam dengan amalan-amalan Islam secara berterusan selepas menunaikan fardu haji berbanding sebelumnya.

Justeru jika seseorang kembali melakukan dosa selepas menunaikan haji, seperti bersifat takbur atau tidak beramal dengan akhlak Islam, menunjukkan hajinya tidak mabrur.

Zulkifli berkata, perkara yang perlu diberi perhatian untuk mengekalkan kemakburan haji ialah sentiasa berdoa kepada ALLAH agar memelihara kemurnian akidah. Akidah perlu dipelihara iaitu dengan menghindari perbuatan berbentuk syirik, khurafat dan bidaah.

“Selain itu, memelihara solat dan solat berjemaah juga penting di samping mengamalkan solat sunat. Solat yang didirikan dengan sempurna luaran dan dalamannya akan membersihkan seseorang daripada dosa dan mencegahnya daripada mungkar.

“Jemaah juga perlu memelihara tutur kata dan pandangan agar dapat mengekalkan kemakburan haji. Tutur kata adalah cermin hati. Justeru memelihara tutur kata dan pandangan tanda baiknya akhlak seseorang,” jelasnya.

Tidak kurang penting juga katanya, untuk berusaha menjadi teladan yang baik, kerana seseorang telah bergelar haji dan hajah dipandang mulia oleh masyarakat Islam. Namun sekiranya ia bersikap sebaliknya, nama baik itu akan menjejaskan pandangan masyarakat terhadap keberkesanan ibadat haji itu sendiri.

“Jemaah haji juga perlu menghindarkan diri daripada sumber pendapatan yang shubhah dan haram. Harta yang halal menjamin keberkatan hidup. Adalah suatu yang amat jelek dan menjijikkan jika orang yang telah menunaikan rukun Islam kelima terlibat dengan harta haram.

“Selain itu, perlu bijak memilih kawan agar menghindarkan diri daripada kawan yang fasik. Adalah amat penting untuk memilih rakan yang beriman dan bertakwa untuk menjamin peningkatan takwa yang berterusan dan memelihara maruah serta agama seseorang,” ujarnya.

Di samping itu katanya, jemaah perlu istiqamah dalam melakukan sebarang perkara termasuk ibadat dan menambah ilmu agama serta meninggalkan perkara buruk yang dilarang dalam agama.

“Jika di Makkah, jemaah rajin membaca al-Quran dan mengamalkan sunah Rasul, justeru apabila pulang mereka perlu meneruskan amalan tersebut. Al-Quran hendaklah menjadi wirid yang diamalkan pada setiap hari.

“Memahami dan menghayati isi kandungan al-Quran dan sunah pula adalah usaha berterusan yang wajib dilakukan sepanjang hayat,” katanya.

Tanda haji mabrur

Ada sesetengah masyarakat yang tertanya bagaimana mahu mengetahui dirinya mendapat haji mabrur atau tidak.

Menurut Zulkifli, semua tanda itu tidak dapat diketahui sekiranya tiada perubahan pada dirinya kerana hanya ALLAH sahaja yang mengetahui siapa hambanya yang mahu diberikan kemakburan itu.

“ALLAH hanya memberikan tanda dan amalan yang perlu diamalkan ketika melakukan ibadat berkenaan sekiranya mahu mendapatkan haji mabrur.

“Oleh itu, sekiranya jemaah tersebut telah melakukan amalan-amalan haji dengan sempurna dan menyerahkan semuanya pada ALLAH, insya-Allah haji mereka akan diterima seterusnya mendapat haji mabrur,” katanya

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,033 other followers

%d bloggers like this: