Hukum berdoa untuk orang bukan Islam


Oleh Muhammad Asyraf

Ulama sepakat haramkan mohon rahmat, keampunan untuk orang kafir

TIMBUL pertanyaan berkenaan ucapan penghormatan yang diberikan orang Islam kepada bukan Islam yang meninggal dunia. Ada sebahagian orang Islam yang menuturkan ucapan seperti ‘rest in peace’ yang bermaksud ‘semoga rehat dengan tenang di sana.’

Ucapan ini dilihat seolah mendoakan ketenangan si mati yang bukan beragama Islam di alam akhirat. Apabila sebahagian cendekiawan Islam melarang ucapan sedemikian, maka terdetik di hati apakah tidak ada toleransi dalam Islam terhadap hubungan masyarakat berbilang agama sedangkan agama Islam menyuruh berbuat kebaikan.

Islam menggariskan hukum mendoakan orang bukan Islam dengan melihat situasi. Doa itu dilihat dari sudut isi kandungannya, adakah ia mendoakan supaya diberi hidayah, kesejahteraan atau keampunan dan rahmat terhadap mereka

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu) dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang yang zalim.” (Surah al-Mumtahanah, ayat 7-8)

Rata-rata kita masih keliru antara mendoakan, ucapan takziah, memuji dan menghormati. Umumnya memuji dan menghormati orang bukan Islam yang mempunyai perilaku baik dibenarkan. Hukum berbangkit ialah berkenaan ucapan doa dilafazkan kepada bukan Islam.

Islam menggariskan hukum mendoakan orang bukan Islam dengan melihat situasi. Kedua, doa itu dilihat dari sudut isi kandungannya, adakah ia mendoakan supaya diberi hidayah, kesejahteraan atau keampunan dan rahmat terhadap mereka.

Ulama sepakat membenarkan kita mendoakan orang bukan Islam yang masih hidup supaya diberikan hidayah. Ada beberapa riwayat daripada Nabi SAW yang membenarkan umat Islam mendoakan diberi hidayah kepada bukan Islam.

Rasulullah SAW pernah berdoa: “Ya Allah! Engkau kuatkan Islam dengan salah seorang dari dua lelaki yang Engkau lebih sayang; Abu Jahal atau ‘Umar bin Al-Khattab.” (Hadis riwayat Tirmizi). Akhirnya berkat doa Nabi SAW, Umar bin Al-Khattab masuk Islam.

Begitu juga hadis diriwayatkan Abu Hurairah: “Thufail bin ‘Amr datang kepada Rasulullah SAW seraya berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kabilah Daus telah menderhaka dan enggan (menerima Islam). Mohonlah (berdoalah) kepada Allah supaya ditimpakan keburukan ke atas mereka.”

Mereka menyangka Baginda akan berdoa memohon sesuatu keburukan ke atas kabilah Daus sebaliknya Baginda bersabda: “Ya Allah! Berikanlah hidayah kepada kabilah Daus dan datangkanlah mereka sebagai orang Islam.” (Hadis riwayat Bukhari)

Al-Hafidz Ibn Hajar menyatakan doa nabi itu satu taqrir jelas berkenaan keharusannya. Ada ketika Nabi SAW mendoakan kehancuran dan laknat buat bukan Islam khususnya di masa kuatnya kejahatan mereka terhadap umat Islam. Manakala ketika aman, Nabi SAW mendoakan hidayah buat mereka.

Namun, ulama berbeza pandangan dalam hukum mendoakan bukan Islam yang masih hidup dengan doa berbentuk rahmat dan keampunan kerana ada hadis yang menjadi dalil larangan memohon rahmat kepada mereka. Begitu juga ada hadis yang membenarkannya.

Antara dalil mengharamkannya ialah ketika peristiwa orang Yahudi sengaja bersin di hadapan Nabi SAW serta berharap Nabi SAW akan berkata sebagai balasan: “Moga Allah merahmatimu kamu. Sebaliknya Nabi menyebut: Semoga Allah memberi hidayah kepadamu dan memperelokkan pemikiranmu.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Cara Nabi SAW memberi maklum balas itu membawa erti tidak harus untuk kita mendoakan mereka supaya dikurniakan rahmat. Sehinggakan sebahagian ulama menegaskan lafaz rahmat adalah khas untuk sesama Muslim saja.

Tetapi pada masa sama, beberapa dalil lagi menyatakan Nabi SAW turut mendoakan keampunan kepada bukan Islam dalam kes tertentu.

Seperti riwayat dari Abdullah bin Mas’ud: “Aku seakan masih melihat Rasulullah SAW menceritakan mengenai seorang dalam kalangan Nabi yang kaumnya memukulnya sehingga berdarah, sedangkan dia hanya menyapu darah di mukanya dan berdoa: Ya Allah! Ampunkanlah kaumku kerana mereka itu tidak tahu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Bagaimana pula mendoakan orang bukan Islam yang sudah meninggal dunia. Ulama sepakat mengharamkan mendoakan keampunan, kesejahteraan dan rahmat kepada mereka. Pengharaman ini tidak kira sama ada dia terdiri daripada keluarga sendiri atau sebaliknya.

Dalilnya adalah apabila Rasulullah SAW meminta izin kepada Allah SWT untuk mengampunkan ibunya, permintaan itu ditolak Allah SWT. Begitu juga ketetapan al-Quran ketika Rasulullah SAW meminta Allah SWT mengampunkan dosa Abu Talib.

Allah berfirman yang bermaksud: “Tiadalah sepatutnya bagi Nabi dan orang yang beriman meminta ampun bagi orang musyrik, walaupun orang musyrik itu adalah kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka, bahawa orang musyrik itu adalah penghuni neraka jahanam. Dan permintaan ampun dari Ibrahim untuk bapanya tidak lain hanyalah kerana suatu janji yang telah diikrarkannya kepada bapanya itu. Maka, tatkala jelas bagi Ibrahim bahawa bapanya itu adalah musuh Allah, maka Ibrahim berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang yang sangat lembut hatinya lagi penyantun.” (Surah At-Taubah, ayat 113-114)

Imam Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’ berkata, ulama sepakat mendoakan orang bukan Islam dengan keampunan Allah, mendapat syurga dan apa saja berkaitan akhirat adalah diharamkan. Begitu juga mereka yang disyaki keislamannya, kata Imam Ibn Hajar al-Haithami.

Islam bukan agama menyuruh membenci penganut agama lain malah Islam sentiasa menganjurkan kita mendoakan orang bukan Islam supaya bersama menikmati hidayah milik Allah SWT. Itulah nilai kasih sayang sebenar dengan membebaskan mereka dari azab neraka jahanam.

Kita boleh melakukan perbuatan direstui syarak dengan memuji perilaku baik si mati sewaktu hidupnya, menziarahi waris dan memberi ucapan kesabaran serta meringankan beban waris. Ia lebih bernilai dalam mengeratkan hubungan sosial berbilang agama.

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,027 other followers

%d bloggers like this: