HUDUD sesuai dilaksanakan di Malaysia


Hudud hanya untuk orang Islam

Hudud bermakna had atau batas dan juga ordinan. Ia sering disebut hudud ALLAH SWT di dalam al-Quran yang berkait rapat dengan peraturan atau hukum. Pada zaman Rasulullah SAW, ia dilaksanakan sebagai sebahagian kecil dalam syariah.

Kebelakangan ini, hudud kian diperkatakan kalangan masyarakat sehingga menimbulkan polemik dan pertelagahan antara parti politik yang kurang bersetuju dan sebaliknya. Perkara ini turut menggusarkan rakyat sekiranya dilaksanakan kelak kerana pemahaman mengenai hukuman dalam hudud boleh dikategorikan berat berikutan pesalah boleh direjam sampai mati mahupun di potong tangan sekiranya melakukan kesalahan yang telah ditetapkan.

:Bagaimanapun, bukan semua negara Islam mampu mengaplikasikannya hukum hudud ini kerana dikhuatiri mencetuskan kontroversi terutama kepada yang bukan Islam. Bagi menjelaskan persoalan yang diperkatakan, ikuti wawancara wartawan NOOR AZURA SAHRIL dan INTAN ATHIRAH REBUWANG bersama jurufoto AZMI ARYANTO menemubual Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Mohamad Isa Ralip bagi mendapatkan penjelasan mengenai hudud dan menerangkan kekeliruan yang membelenggu kita hari ini.

Mengapa masyarakat tidak dapat menerima hukum hudud?

ISA :Ini kerana masyarakat tidak faham kerana kekurangan maklumat mengenai hudud yang menyebabkan timbul pelbagai persepsi. Saya difahamkan sebahagian besar masyarakat Islam bersetuju dengan hudud kerana ia hukum yang ditetapkan ALLAH yakni sebagai umat Islam tidak boleh menolaknya. Masyarakat perlu jelas bahawa terdapat hukuman dalam hudud boleh digugurkan sekiranya tertuduh bertaubat seperti di dalam kes murtad. Bagaimanapun, bagi kes seperti zina, pembuktiannya adalah ketat serta memerlukan empat orang saksi yang melihat perlakuan tersebut dengan syarat tertentu sebelum hukuman tersebut dapat disabitkan.

Masyarakat terutamanya masyarakat Islam perlu melihat hudud ini dari aspek positif sebagai penyelesaian menyeluruh terhadap masalah sosial meruncing masa kini seperti isu anak luar nikah, buang bayi, jenayah samun, ragut serta masalah murtad dan lain-lain.

Adakah hukum hudud hanya untuk masyarakat Islam sahaja atau secara keseluruhan?

ISA :Hukum hudud hanya untuk masyarakat Islam sahaja. Jadi tidak timbul isu sama ada negara yang memiliki masyarakat majmuk terhalang untuk melaksanakan hukum ini. Ini kerana bagi yang bukan beragama Islam, undang-undang sivil yang sedia ada boleh dikenakan terhadap mereka.

Bagaimanapun, hukum hudud hanya terhad kepada enam jenis kesalahan ini sahaja iaitu zina, menuduh orang berzina, meminum minuman yang memabukkan, mencuri, merompak dan murtad. Justeru bagi orang Islam yang melakukan kesalahan lain selain daripada enam tersebut boleh dikenakan tindakan ke atas undang-undang sivil yang sedia ada seperti kesalahan dari segi rasuah, membunuh dan lain-lain. Sekiranya pindaan dilaksanakan sekalipun, ia tidak akan membabitkan masyarakat bukan Islam. Tidak benar dakwaan bahawa sekiranya pindaan dilakukan, satu pindaan jenayah secara total akan dilaksanakan dengan membabitkan orang bukan Islam sehingga menakutkan masyarakat secara amnya. Masyarakat bukan Islam tidak perlu gusar kerana mereka tiada kaitan terhadap hukum hudud. Hukum hudud boleh dilaksanakan dengan mengkhususkan kepada enam perkara tersebut sahaja kepada masyarakat Islam, bagi kesalahan lain boleh dikenakan tindakan melalui undang-undang sedia ada.

Apa yang menyebabkan hukum hudud sukar untuk dilaksanakan di negara ini.

ISA: Ia tidak dilaksanakan kerana kekangan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1984 sedia ada yang hanya memperuntukkan denda, penjara dan sebatan kepada pelaku kesalahan jenayah. Perlembagaan Persekutuan tidak sekat bidang kuasa syariah dan perundangan negeri tetapi yang menyekat badan perundangan negeri, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah), (hukuman berdasarkan akta itu) memperuntukkan denda RM5,000, tiga tahun penjara dan enam sebatan. Ia boleh dilaksanakan di negara ini jika kerajaan bersedia menggubal Akta Mahkamah Syariah. Jika Kelantan mahu laksana hudud mereka boleh lakukan, tetapi melaksanakan hukum itu perlu pindaan Akta Mahkamah Syariah terlebih dahulu. Perlembagaan Persekutuan tidak perlu dipinda kerana mana-mana negeri boleh melaksanakan hukum hudud, tetapi perlu diusulkan terlebih dahulu di Parlimen untuk meminda Akta Mahkamah Syariah di bawah Bidang Kuasa Jenayah 1984. Kuasa masih di atas Kerajaan Persekutuan, jika pindaan itu tidak diluluskan hukum itu masih belum boleh dilaksanakan.

Undang-undang Kerajaan Negeri bertentangan dengan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. Ini kerana bidang kuasa yang sedia ada hukumannya terhad dan jika Kerajaan Negeri mahu melakukan hukum hudud perlu memperluaskan lagi mengikut hukum tersebut dengan diperincikan seperti mana dituntut.

Adakah hudud sesuai dilaksanakan di negara kita?

ISA :Saya berpandangan hukuman ini perlu dilaksanakan kerana ia sesuai kepada masyarakat. Ini kerana sebagai umat Islam, kita perlu berusaha untuk melaksanakan hukum yang telah ditetapkan ALLAH. Justeru, sebarang sekatan atau halang perlu diselesaikan dalam memastikan ia dapat dilaksanakan. Hukum sekiranya tidak dilaksanakan adalah berdosa dan menjadi tanggungjawab pemerintah untuk melaksanakannya. Bagaimanapun, penjelasan perlu dilakukan secara menyeluruh terhadap masyarakat supaya mereka dapat memahami erti hukum hudud sebenarnya bagi mengelakkan sebarang pertikaian yang berbangkit kelak.

Bagaimana dengan qisas dan ta’zir?

ISA: Hukum yang wajib dilaksanakan adalah hudud kerana ia hukum yang ditetapkan ALLAH untuk masyarakat Islam dalam al-Quran. Undang-undang sivil boleh dikategorikan sebagai ta’zir kerana ia adalah hukuman yang dibuat oleh pemerintah untuk mendidik rakyat. Apa sahaja hukuman selain hudud adalah ta’zir, contohnya seperti hukuman ke atas pesalah rasuah. Justeru, selain daripada enam hudud tersebut adalah dalam kategori ta’zir yang mana kuasa pemerintah untuk melaksanakan hukuman kepada pesalah bagi mendidik rakyat.

Dalam hudud, adakah rakaman video boleh diterima sebagai bukti untuk tuduhan zina?

ISA :Apa sekalipun, perlu ada empat saksi kerana video kamera mahupun gambar boleh disalah tafsir dan mampu diubahsuai berdasarkan kemampuan teknologi yang semakin ber-kembang kini. Ini kerana, dalam hudud sekiranya bukti tersebut menimbulkan keraguan hukum tersebut gugur serta-merta. Pembuktian dalam hudud amat ketat dan kerana itu untuk mendakwa seseorang itu agak sukar. Ia hukum dalam Islam dan tidak boleh dipertikaikan.

Bagaimanapun sekiranya semasa ditangkap adalah seorang bukan Islam dan seorang Islam yang akan menimbulkan ketidakadilan antara dua pihak sekiranya yang Islam dikenakan hukuman hudud.

ISA :Sebagai orang Islam kita kena menerima hukuman tersebut kerana perkara tersebut telah termaktub di dalam al-Quran yang menjadi panduan hidup. Hukuman itu ada kaitan dengan akidah kerana apabila seseorang itu Islam, perlu sedia maklum dengan hukum yang telah ditetapkan agama. Bagi yang bukan Islam, mereka tidak berpaksi kepada tauhid dan akidah. Justeru, tidak timbul ketidakadilan kerana bagi yang bukan Islam mereka boleh dikenakan tindakan berdasarkan undang-undang sivil.

Apa kebaikan hudud berbanding undang-undang sedia ada?

ISA: Ia adalah undang-undang Islam yang telah ditetapkan ALLAH dalam al-Quran dan sebagai umat Islam kita tidak boleh menolak. Sekiranya dilaksanakan, ia dapat melindungi masyarakat mencegah sebelum jenayah berlaku. Selain itu, meningkatkan kesedaran orang ramai tentang hukuman yang berat sekali gus mendidik masyarakat supaya tidak melakukan perkara yang menyalahi undang-undang. Hudud turut memberi kesan kepada penjenayah dan menghalangnya mengulangi perbuatan yang sama contohnya seperti mencuri apabila tangannya dipotong. Ia juga membersihkan dosa penjenayah dan menyelamatkannya daripada azab akhirat kerana hukuman tersebut telah dilaksanakan semasa kehidupan di dunia.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 2,825 other followers

%d bloggers like this: