Beza arak dan alkohol


Umumnya umat Islam melihat setiap yang mengandungi alkohol itu adalah haram. Apakah beza arak dengan alkohol?

DZULKIFLY: Tanggapan sedemikian tidak tepat. Memang sebagai umat Islam, kita wajib mencari yang halal. Dalam hal ini sudah pastilah bebas daripada arak dan alkohol atau juga secara umumnya dikenali sebagai etanol.

Salah tanggapan ini antara lain akibat kesilapan dalam menterjemahkan khamar daripada asal perkataan Arab kepada bahasa Inggeris sebagai alkohol. Sedangkan maksud sebenar khamar adalah arak.

Tokoh Islam kontemporari, Prof. Dr. Yusof al-Qaradawi misalnya pernah mengeluarkan pandangan bahawa penggunaan kandungan alkohol sebanyak 0.5 peratus adalah dibenarkan. Alkohol yang dimaksudkan adalah etanol yang mungkin digunakan sebagai pelarut atau pembawa kepada bahan seperti perisa atau pewarna makanan. Istilah alkohol yang dimaksudkan di sini bukanlah arak. Kerana jika arak ditambah, walaupun pada kadar yang sedikit, tidak memenuhi keperluan halal.

Alkohol, secara umumnya pula merujuk kepada etanol tulen dan etanol nyahasli pada sebarang kepekatan (proof).

Secara kimia, alkohol merujuk kepada sebarang sebatian kimia yang mengandungi kumpulan hidroksil (-OH).

Sebagai contoh, iso-propil alkohol, metil alkohol (metanol), butil alkohol (butanol), propil alkohol (propanol), sorbitol dan inositol.

Sorbitol misalnya, walaupun ianya tergolong dalam kumpulan alkohol adalah pemanis dan tidak mempunyai sifat yang memabukkan.

Bagaimanapun, seperkara yang perlu dijelaskan adalah tidak semua etanol terhasil daripada proses pembuatan arak. Ini kerana terdapat juga etanol yang terhasil daripada proses penapaian tumbuhan yang bukan bertujuan untuk menghasilkan arak, seperti alkohol industri.

Etanol juga boleh terjana secara sintesis kimia iaitu daripada sumber petroleum, melalui hidrasi etilena.

Etanol adalah salah satu sebatian yang terkandung dalam arak dan sebatian inilah yang sebenarnya akan menyebabkan peminumnya menjadi mabuk. Selain dariapada itu, arak juga mengandungi sebatian lain seperti ester, asid, aldehid, keton dan sebagainya yang membentuk sifat-sifat rasa arak itu.

Daripada segi industri pula, ada etanol yang hasilkan untuk berfungsi sebagai pelarut untuk pelbagai bahan industri dan digunakan dalam perisa, pewarna, cat, kosmetik dan ubatan yang tiada kaitannya dengan penghasilan arak.

Perbezaan utama antara arak dan etanol industri ini adalah dari segi tujuan ia dihasilkan. Arak dihasilkan dan boleh menyebab kemabukan manakala etanol industri adalah sebagai pelarut untuk pelbagai bahan industri.

Kalau begitu, penggunaan alkohol sebagai bahan cita rasa adalah dibenarkan?

DZULKIFLY: Dalam hal ini Muzakarah ke-22 Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 24 Nov. 1988 telah mengeluarkan kenyataan bahawa kordial yang mengandungi bahan perasa alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan untuk tujuan minuman sekiranya:

l Alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak

l Kuantiti alkohol dalam perasa itu sedikit iaitu tidak memabukkan.

Istilah al-kuhl itu sendiri adalah perkataan Arab yang diperkenalkan oleh saintis Islam zaman dahulu. Bahan ini tidak semestinya ada kena mengena dengan pengeluaran arak.

Demikian juga dengan etanol, walaupun ada yang digunakan untuk menghasilkan minuman beralkohol tetapi ia juga boleh dimanfaatkan untuk kegunaan lain.

Antaranya sebagai dalam pencuci, bahan kimia untuk uji kaji makmal, bahan bakar, pelarut untuk pengekstrakan bahan warna, pelarut untuk pengekstrakan produk perubatan dan pelarut untuk pewangi.

Malah, etanol juga turut disapu pada lengan kita sebelum diberi suntikan oleh doktor untuk membersih dan mengelak jangkitan.

Mengikut Peraturan Makanan (1985) di bawah Akta Makanan (1983), bahan minuman yang mengandungi lebih dua peratus kandungan alkohol hendaklah dipamerkan dengan perkataan ‘Arak Mengandungi % Alkohol’ pada botolnya.

Apa pula kegunaan alkohol nyah-asli?

DZULKIFLY: Alkohol nyah-asli bermaksud penambahan bahan tambah seperti metanol, pyridine, denotorium kepada etanol tulen yang dihasilkan secara sintesis kimia petroleum atau fermentasi bahan pertanian.

Dengan menggunakan bahan tambah ini menjadikannya beracun, atau menjadi pahit dan tidak boleh dimakan. Ini dapat menutup ruang atau kesempatan di mana bahan yang ditambah dengan etanol tersebut boleh digunakan sebagai arak.

Bahan tambah lain yang digunakan untuk industri seperti iso-propanol, gasolin, metil-etil keton, klorofom, metil-isobutil keton dan denatonium benzoate.

Apa pula kesan pengambilan alkohol kepada tubuh badan kita?

DZULKIFLY: Berdasarkan kajian yang dilakukan dalam bidang perubatan, alkohol (etanol) akan mula memberi kesan kepada tubuh apabila kandungan alkohol dalam darah (Blood Alcohol Content atau BAC) berada pada tahap 0.06 hingga 0.09 g/100 ml (lihat rajah Tahap Ketosikan Pengambilan Alkohol Kepada Manusia)

Dalam mengkaji etanol dalam tubuh manusia, kita boleh merujuk kepada model matematik metabolisme yang diperkenalkan oleh Dr. Erik Matteo Prochet Widmark (1889 – 1945), seorang ahli fisiologi Sweden. Berdasarkan bukunya, Principles and Applications of Medico-legal Alcohol Determination (1932).

Hasil kerja Widmark sangat terkenal hinggakan pada tahun 1965, University of Indiana menubuhkan Anugerah Widmark bagi menyanjung kerja beliau.

Perjalanan etanol dalam badan pula adalah seperti berikut. Etanol tidak perlu dihadam kerana ia cepat diserap oleh badan.

Lebih kurang 20% diserap terus melalui dinding perut yang kosong dan boleh sampai ke otak dalam masa satu minit.

Kemudian diserap secara pantas pada bahagian atas usus kecil, dan dari situ dibawa oleh darah ke hati dan akhirnya ke buah pinggang.

Hanya sel-sel hati mengeluarkan enzim dehydrogenase pada jumlah yang mencukupi untuk penguraian alkohol. Secara tabiinya, wanita menghasilkan jumlah dehydrogenase yang kurang berbanding lelaki.

Sebab itu, secara teorinya kaum wanita akan lebih cepat mabuk berbanding lelaki.

Baru-baru ini, isu pengharaman penggunaan cuka wain disentuh. Ada juga pihak yang meminta keputusan itu dikaji semula. Apa pandangan saudara:

DZULKIFLY: Pengharaman cuka wain itu adalah selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam kali ke-76 pada 4-6 April 2006.

Keputusan Muzakarah adalah: Haram menggunakan cuka wain yang diproses dan dicampur dengan bahan-bahan luar. Walaubagaimanapun, sekiranya perubahan daripada cuka wain kepada cuka berlaku dengan sendirinya, maka ia adalah halal.

Cuka wain ini banyak digunakan dalam penyediaan pencuci mulut, bahan perap daging, salad dressing, mustard, jeruk dan sos.

Bagaimanapun, saya suka mencadangkan agar kita melihat kepada tiga aspek sebelum membuat keputusan dalam hal ini.

Pertama, memahami asas kepada pengharaman itu. Salah satu daripadanya berdasarkan kepada istilah wain iaitu mengharamkan sesuatu itu disebabkan konotasi pada namanya.

Contohnya, kalau wain ia mesti haram. Begitu juga kalau istilah bak kut teh (sup babi) membawa kepada konotasi bahan yang haram.

Dalam Standard Makanan Halal (MS1500) (Semakan Kedua) yang dikuatkuasakan mulai November 2009, mana-mana produk yang mempunyai istilah yang membawa kepada konotasi bahan yang haram tidak akan diberi pensijilan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Kedua, kita perlu menjelaskan apakah maksud campur tangan bahan luar sehingga menyebabkan cuka wain itu haram. Ia supaya berlaku adil kepada realiti dan pihak industri.

Sebabnya, dalam industri sekarang, memang secara sengaja dimasukkan bakteria asid asetik supaya hasilnya dimana alkohol secara pastinya akan bertukar menjadi cuka.

Mereka ini tidak boleh mengambil risiko. Misalnya menyediakan 10 tong untuk dijadikan cuka wain atau cuka asli, jika kita membiarkan proses tersebut berlaku secara tabie tanpa dikawal atau diinokulasi secara sengaja, tidak dapat dipastikan sama ada proses fermentasi tersebut akan menghasilkan cuka atau ia akan akan rosak akibat daripada pencemaran bakteria lain.

Ketiga, peratusan kandungan alkohol di dalam cuka tersebut. Kajian yang kami lakukan di atas sampel-sampel yang diambil daripada pasaran setakat ini mendapati kandungan paling tinggi alkohol dalam cuka adalah 0.18 peratus.

Ini menjelaskan bahawa kandungan alkohol sedemikian adalah rendah dan kemungkinan besar tidak boleh memabukkan.

About these ads

3 responses to this post.

  1. Posted by sofiah on 26 Januari 2011 at 10:18 am

    soalan saya adakah cuka apple jenama BRAGG yg banyak dijual di farmasi halal dimakan..???

    Balas

  2. ape mksud wain…??

    Balas

  3. Posted by meera on 1 Jun 2011 at 4:29 pm

    adakah cuka mkn yg djual d pasaran skarang blh dimkn?

    Balas

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,030 other followers

%d bloggers like this: