Toriq Toyyibah


Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD
Para qari perlu memilih sama ada membaca mengikut Toriq Syatibiy atau Toriq Jazari kerana ada perbezaan dalam hukum mad muttasil dan mad jaiz munfassil.

ISTILAH yang selalu bermain dibibir pembaca al-Quran adalah Toriq Syatibiy dan Toriq Jazari atau disebut juga Toriq Toyyibah. Toriq dalam sudut bahasa bermaksud jalan.

Dalam ilmu tajwid atau qiraat, istilah Toriq biasanya diterang maksudnya selepas huraian makna Imam dan Rawi.

Bacaan yang dinasabkan kepada Imam di kalangan Sepuluh Imam Qiraat dipanggil qiraat. Bacaan yang dinasabkan kepada perawi yang mengambil bacaan tersebut daripada Imam dipanggil riwayat dan setiap yang dinasabkan kepada yang mengambil dari perawi walaupun di zaman mutakhir dinamakan toriq.

Sebagai contoh al-Quran yang ada pada hari ini ialah mengandungi Riwayat Hafs mengikut Qiraat Imam Asim melalui Toriq Syatibiy.

Antara cara bacaan Toriq Syatibiy adalah bacaan empat harakat atau disebut tawasut pada hukum mad wajib muttasil seperti dan juga mad jaiz munfasil seperti

Bagi mereka yang mendalami secara serius ilmu tajwid mereka selalu berjumpa istilah Toriq Toyyibah atau Toriq Jazari.

Antara kaedah bacaan toriq jazari ialah membaca dua harakat atau disebut Qasar pada hokum mad jaiz munfasil.

Dinamakan Toriq Toyyibah adalah bersumberkan kitab karangan oleh Imam Ibn al-Jazari (meninggal 833 hijrah) yang bertajuk Toyyibat al-Nasyr. Matn Toyyibah ini disusun dalam bentuk syair berjumlah 1,015 rangkap. Merangkumi usul Sepuluh Qiraat bersama Farsy untuk 30 juzuk al-Quran.

Kealiman Ibn al-Jazari dalam ilmu qiraat yang begitu tinggi menjadi rujukan ulama sezamannya, menguasai sanad al-Quran daripada guru al-Quran tersohor di Damsyik, Madinah dan juga Mesir.

Beliau menghasilkan banyak penulisan yang bersifat kreatif dan tidak hanya mengikut atau menukil tulisan ulama terdahulu.

Beliau mengkaji sanad Qiraat, adakah menepati bahasa Arab dan menepati nas sebagaimana Mushaf Uthmany.

Lantas beliau mendapat natijah bahawa Qiraat Abu Jaafar, Ya’kub dan Khalaf al-Asyir berada dalam kumpulan Qiraat yang mutawatirah sama dengan Tujuh Qiraat yang dipilih Ibn Mujahid (meninggal 324 hijrah).

Ulama menamakan Tujuh Qiraat yang terkandung dalam Mayn Syatibiy bersama Tiga Qiraat yang terkandung dalam Matn Durrah al-Mudhiah sebagai Asyarah Sughra.

Sementara Matn Toyyibah yang menghimpun sekali gus Sepuluh Qiraat dinamakan Asyarah Kubra.

Matn Toyyibah sebenarnya ringkasan dalam bentuk syair yang dikarang oleh Imam Ibn al-Jazari bersumber dari kitabnya al-Nasyr fi al-Qiraat al-Asyr.

Kitab al-Nasyr ini merupakan satu kitab yang lengkap dalam perbahasan ilmu qiraat merangkumi imam-imam qiraat, perawi dan toriq.

Jumlah toriq yang dikumpulkan dalam al-Nasyr secara tahqiq berjumlah 80 toriq. Daripada 80 toriq ia bercambah dan berkembang kepada 980 toriq.

Ibn al-Jazari pernah menyatakan barang siapa menyangka ilmu qiraat sudah lupus, katakanlah kepadanya al-Nasyr menghidupkanya kembali.

Kenyataan ini menunjukkan perbahasanya meliputi seluruh bab dalam ilmu qiraat dan mampu menghidupkan kembali ilmu qiraat yang lupus dan yang tidak diamalkan lagi.

Namun begitu, bagi yang ingin membaca riwayat Hafs dari Toriq Toyyibah perlu kepada talaqqi dan musyafahah dengan guru.

Ini kerana terdapat beberapa hukum yang wajib diraikan jika membaca mad jaiz munfasil dengan kadar dua harakat.

Selain itu, Sheikh Abdul Fattah al-Mirsafi menyatakan Toriq Toyyibah diamalkan bagi mereka yang mahir dalam ilmu tajwid kerana beberapa hukum yang perlu dilakukan.

Kepada orang awam disarankan kepada mereka membaca al-Quran mengikut Toriq Syatibiy.

Apabila ditanya kepada bekas Mufti Kelantan, allahyarham Tuan Guru Muhammad Nor yang terkenal alim dalam ilmu qiraat tentang bacaan dua harakat untuk mad jaiz, beliau menjawab: “Setiap mad jaiz yang ada dalam al-Quran ditandakan dengan alamat mad yang membawa maksud membacanya dengan empat harakat”.

Justeru al-Quran memang dicetak mengikut Toriq Syatibiy yang perlu membaca mad jaiz dengan empat harakat.

Jawapan yang ringkas dan tepat ini amat sesuai diaplikasikan oleh umat Islam. Namun bagi mereka yang mempunyai maklumat berkaitan Toriq Toyyibah dan mendalami hukum yang wajib dipelihara ketika membacanya daripada kitab tajwid serta mendapat tunjuk ajar daripada guru yang mahir maka diizinkan kepadanya mengamalkan Toriq Toyyibah.

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 2,494 other followers

%d bloggers like this: