Syarat pakaian solat bersih, tutup aurat


Oleh Muhammad Asyraf

Penggunaan telekung, berkain pelikat, baju Melayu kebiasaan bagi masyarakat Nusantara

ISLAM mudah dan tidak menyulitkan umatnya. Malah ia meraikan semua bangsa dan warna kulit. Budaya sesuatu bangsa itu terbentuk hasil daripada pandang nilai yang sama. Kehidupan kini jauh berbeza. Perubahan zaman dengan kehidupan lebih pantas dan luas membuatkan beberapa isu budaya perlu diubah. Masyarakat terutama wanita dilihat lebih banyak berurusan dengan situasi kerja dan urusan harian membuatkan beberapa kesukaran terjadi akibat terikat dengan budaya lampau.

Pemakaian telekung adalah struktur keagamaan yang dibentuk dalam komuniti masyarakat Islam di Nusantara. Ia amat baik jika dilihat dari aspek kesempurnaan ibadat. Ulama Melayu amat teliti dalam memastikan kesempurnaan ibadat umat ketika itu. Pemilihan telekung yang longgar, lebar dan mudah disarung menjadikannya sesuai untuk semua peringkat umur dan bentuk badan. Ini bersesuaian dengan perintah Allah SWT dalam al-Quran yang menghendaki kita memakai pakaian yang baik ketika mendirikan solat seperti dalam surah al-A’raaf ayat 31 bermaksud : “Hai anak Adam, pakailah perhiasan kamu (pakaian) yang indah di setiap kali kamu (memasuki) masjid, makan dan minumlah dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.”

Menurut Syeikh Khatib al-Syarbini dalam kitabnya Mughni Muhtaj menguatkan pendapat daripada Ibn Abbas RA mengatakan, maksud memakai pakaian indah setiap kali memasuki masjid adalah merujuk kepada pakaian ketika solat. Ibnu Hazm pula memahami maksud ‘perhiasan’ di sini adalah menutup aurat.

Imam Ibn Kathir, memetik riwayat Imam Muslim mengatakan ayat ini adalah bantahan atas tindakan orang musyrik yang sengaja mengerjakan tawaf di Baitullah dalam keadaan telanjang. Ia juga memberi pengertian lain iaitu disunatkan menghias diri ketika menunaikan solat lebih-lebih lagi pada Jumaat dan Hari Raya. Juga disunatkan memakai wangi-wangian kerana ia termasuk daripada perhiasan.

Malah kita boleh mengenakan pakaian berjenama asalkan tidak mendatangkan rasa takabbur. Sseperti diberitahu Qatadah yang meriwayatkan daripada Muhammad Ibnu Sirin bahawa sahabat Nabi SAW Tamim ad-Dari pernah membeli rida’ (selendang atau serban) dengan harga seribu, lalu ia mengerjakan solat dengan mengenakannya.

Ulama Melayu amat bijak membentuk budaya berpakaian yang baik kepada umat Islam di Nusantara. Mereka memilih putih sebagai warna rasmi telekung. Ini bersesuaian dengan sunnah yang disukai Baginda Nabi SAW dalam memilih warna pakaian terbaik. Seperti diriwayatkan daripada Imam Ahmad dari Ibnu Abbas dalam hadis marfu’, Rasulullah SAW bersabda: “Pakailah pakaian berwarna putih. Kerana sesungguhnya ia sebaik-baik pakaian. Dan kafanilah orang yang mati di kalangan kamu dengannya.”

Pembentukan budaya pemakaian telekung membuatkan umat Islam di Nusantara agak janggal memilih pakaian berlawanan dengan adat budaya yang dibentuk sejak sekian lama. Budaya yang baik sedikit sebanyak mula mendatangkan kesan negatif kepada wanita Islam masa kini yang bergerak aktif dalam kehidupan seharian. Ini kerana pemahaman budaya itu disalahertikan wanita kini tanpa melihat aspek Islam sebenar.

Disebabkan itu muncul pelbagai alasan tidak munasabah apabila tiba waktu solat. Ada wanita mengabaikan solat apabila berada di luar rumah contohnya di pusat beli belah, tempat kerja dan sebagainya dengan alasan tidak membawa telekung. Ada juga memberi alasan telekung disediakan di masjid atau surau kotor dan berbau.

Sedangkan pemakaian telekung bukan syarat sah solat seseorang wanita. Bagaimana wanita yang berada di luar dari Nusantara? Mereka tidak pernah mengenal telekung. Disebabkan itu, ramai wanita Nusantara pelik dengan pakaian wanita Muslimah di Barat, China, India mahupun Timur Tengah.

Sebenarnya syarat dalam pakaian solat adalah cukup dengan menutup aurat dan bersih daripada sebarang najis. Bukanlah telekung berwarna putih itu menjadi syarat sahnya solat kita.

Andainya seorang wanita memakai baju kurung atau pakaian yang menepati syarat aurat, walaupun ia berwarna-warni, solatnya tetap sah. Menurut Jumhur Ulama, diwajibkan wanita dalam solat adalah memakai baju dan tudung kepala. Maka Ibnu Munzir berpendapat: “Jika kain dipakai cukup luas lalu ia menutupi kepalanya dengan kelebihan kain itu, maka ia dibolehkan.”

Aurat wanita ketika solat sama seperti aurat wanita di luar solat. Seperti batasan aurat wanita yang diguna pakai masyarakat di Malaysia dengan merujuk kepada pandangan Mazhab Syafie iaitu seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Berasaskan pandangan ini, tidak semestinya telekung saja boleh dijadikan pakaian solat. Baju kurung, jubah dan blaus juga boleh dijadikan pakaian solat walaupun ia bukan berwarna putih.

Bagi lelaki, kebersihan, kerapian dan wangian menjadikan solat mereka lebih baik pada zahirnya di sisi Allah SWT. Ini kerana situasi menghadapi Pencipta Maha Agung itu memerlukan ketrampilan berbanding berhadapan manusia.

Berpakaian elok tidak semestinya mewajibkan berkain pelekat, berjubah atau baju Melayu. Ada juga yang meninggalkan solat kerana beranggapan pakaiannya kotor dengan peluh, minyak kereta kerana bekerja sebagai mekanik atau kotor dengan lumpur kerana baru pulang dari kebun.

Sedangkan, syarat sah solat ialah pakaian hendaklah bebas najis. Kotor tidak bermaksud ia najis. Seorang dalam keadaan berpeluh selepas bersukan boleh bersolat tanpa menukar pakaian.

Dalam kitab Fathul Bari, karangan Imam Ibnu Hajar al-Asqalani mengambil riwayat daripada Ibnu Hibban mengatakan Muawiyah Abu Sufyan bahawasanya ia bertanya kepada saudara perempuannya (Ummu Habibah): “Apakah Rasulullah pernah solat memakai pakaian yang digunakan ketika berhubungan dengan isterinya?” Ummu Habibah menjawab, “Ya, apabila Baginda tidak melihat sebarang kotoran di pakaian itu.”

Hadis ini menerangkan, selagi pakaian itu tidak jelas najis yang boleh merosakkan solat, maka sah solat. Malah remaja lelaki yang memakai seluar jeans dan berbaju pelbagai warna boleh bersolat tanpa janggal. Islam tidak menyusahkan umatnya melakukan solat. Allah lebih mengetahui keadaan hamba-Nya. Islam tidak hanya meraikan kelompok manusia yang sentiasa berada dalam kelapangan. Maka solatlah walau di mana anda berada.

About these ads

One response to this post.

  1. Posted by hamba Allah on 11 Disember 2012 at 10:36 pm

    Assalamu’alaikum.. ana nak tanya, boleh ke pakai seluar panjang yang tak berlapis kain labuh di luar nya utk solat? yg pasti seluat tu longgar & tutup aurat..

    Balas

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 2,354 other followers

%d bloggers like this: