Pelbagaikan cara sambutan Maulidurrasul agar capai matlamat


Sebagaimana kita tahu dan faham, sambutan Maulidur Rasul sepatutnya bertujuan memperingati kelahiran baginda Nabi Muhammad SAW atau yang lebih penting adalah perlantikan baginda menjadi Rasulullah.
Setakat mengenang tarikh kelahiran semata-mata tanpa mengenengahkan inti risalah, mesej dan perjuangan yang dibawa oleh baginda adalah satu kesilapan dalam pendekatan serta memahami keutamaan.

Justeru, bagi mereka yang TEGAS berpegang kepada KEHARUSAN menyambut Maulidur Rasul atas alasan yang mereka yakini, aktiviti paling wajar ketika itu tentunya adalah semua jenis majlis yang mengenengahkan inti perjuangan baginda.
Contohnya, mengajak kepada tauhid Allah SWT dan menjauhi syirik, meyakini akhirat dan hidup di atas dunia bersesuaian dengan keyakinan itu, mematuhi hukum-hakam dalam bidang hubungan manusia dengan manusia sama ada sudut akhlak, nikah kahwin, muamalat kewangan serta hukuman jenayah.
Ruang ini yang perlu dimaksimumkan ketika menyambut Maulidur Rasul. Itulah tanda kita benar-benar memperingati baginda. Itulah sebuah penghargaan dan syiar yang benar-benar tepat mengenai sasaran sebuah sambutan terhadap baginda.
Kerana itu juga adalah inti dan kandungan perjuangan Rasulullah SAW yang mulia selama 23 tahun kehidupannya sebagai Rasul dan Nabi terakhir bagi seluruh bangsa manusia.
Jika demikian, bagaimana cara untuk mengenengahkan semua itu kepada masyarakat? Sambutan Maulidur Rasul mesti mensasarkan objektif mengajar mereka yang belum tahu, mengingatkan mereka yang lupa, mengukuh pegangan mereka yang sudah dan masih ingat serta memperbetul mereka yang tersasar daripada kehidupan yang ditunjuk oleh Rasul mereka.
Kita ingin menyambut Maulidur Rasul dengan mengembalikan ingatan masyarakat kepada tatacara kehidupan yang layak untuk mendapat belas Allah SWT, juga syafaat baginda di akhirat.
Persoalannya, adakah sebuah perarakan dengan pakaian seragam, mengangkat sepanduk puji-pujian sambil selawat mampu membawa kita ke arah objektif itu? Jika itulah upacara utamanya, saya kira ia benar-benar anti klimaks serta TIDAK memberi manfaat daripada sudut akhiratnya, ditambah pula di ketika wujud pertikaian pada sambutan Maulidur Rasul itu sendiri. Jika begitu, apa patut dibuat? Bagi saya, banyak perkara yang lebih utama, wajar dan tepat untuk dilakukan seperti program kuliah juga ceramah sama ada di peringkat masjid, surau, sekolah, universiti sememangnya sudah tentu menjadi pilihan utama. Kerana itu cara yang terulung dan paling klasik dalam menyampaikan sebuah mesej untuk mengingat, menegur, meneguh selain memperbetul.
Memang benar, sebahagian besar perkara di atas menjadi amalan, namun yang perlu diubah adalah kaedah itu masih tidak diketengahkan dan dijadikan klimaks sambutan Maulidur Rasul.
Sebaliknya ia hanya inisiatif kecil-kecilan pihak berkaitan, sedangkan ruang dan peluang dimiliki pihak pemerintah, sama ada negara atau negeri, menunjukkan mereka punyai ruang kuasa yang jauh lebih besar.
Justeru, gunakan kuasa itu untuk membesar skala program yang lebih patut di atas, jangan dibazirkan dengan sebuah perarakan tanpa mesej jelas. Biasanya, liputan program ceramah terlalu kecil berbanding perarakan.

Adalah lebih tepat jika kerajaan pusat menggunakan ruang televisyen untuk memasuki rumah jutaan rakyat bagi menyampaikan mesej perjuangan Rasulullah SAW. Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan swasta wajar menyumbang sedikit daripada keuntungan mereka untuk menaja program kesedaran di televisyen.
Itu yang sepatutnya berbanding menaja peraduan yang entah apa-apa dan konsert penuh maksiat.
KEPELBAGAIAN DAN KREATIVITI Jika ingin menarik minat pelbagai latar belakang, muda dan tua, berpendidikan tinggi dan rendah, saya kira kreativiti diperlukan untuk mempelbagaikan majlis penyampaian mesej dan risalah Rasulullah SAW itu.
Konsert Islam seperti konsert Maulidur Rasul berserta selingan nasihat dan ceramah ringkas mungkin munasabah walau ditentang oleh beberapa pihak yang menolak nasyid secara keseluruhan. Majlis sebegitu jauh lebih baik berbanding perarakan berserta selawat tanpa ingatan dan nasihat.
Atau boleh juga kita menunjukkan syiar Islam dan kecintaan kepada Rasulullah SAW melalui perhimpunan mega seluruh kakitangan kerajaan negeri dan jabatannya di sebuah stadium, tidak perlu berarak, yang perlu adalah duduk mendengar dan menghayati mesej penceramah berwibawa berserta selingan nasyid.
Majlis penganugerahan tokoh boleh diteruskan. Majlis peringkat kebangsaan boleh disiar secara langsung di televisyen bagi menambah jangkauan liputan kepada mereka yang lebih suka berada di rumah. Hari berkenaan juga perlu disambut dengan usaha menutup pusat hiburan dan rancangan hiburan di media yang jelas bertentangan dengan mesej daripada kebangkitan Rasulullah SAW.
Itulah tugas seorang pemimpin di semua peringkat, rumah tangga, masyarakat, negeri dan negara. Lagi besar kuasanya, lebih besar tanggungannya di sisi Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW: “Tiada seorang ketua yang memimpin orang bawahannya dari kalangan muslimin kemudian dia tidak berusaha bersungguh dalam untuk kebajikan mereka dan tidak memberi nasihat (kepada Islam), kecuali pemimpin ini tidak memasuki syurga.” (Riwayat Muslim) Atau dalam riwayat lain disebut hukumannya sebagai: “Dan apabila mereka tidak menasihatkan rakyatnya dengan nasihat kebaikan, nescaya diharamkan baginya bauan syurga (amat jauh dari syurga sehingga bauannya pun tidak diperoleh apatah lagi syurga itu sendiri).” KESIMPULAN Kesimpulannya, menurut pandangan saya, sambutan Maulidur Rasul melalui perarakan semata-mata tanpa diisi dengan pemahaman terhadap sirah nabi walau ia sudah dilaksana turun temurun di Malaysia, ia tidak mampu menunaikan hak baginda Rasulullah SAW dan Islam itu sendiri.
Ia jelas tersasar daripada objektif utama perjuangan baginda. Yang sepatutnya lebih ditumpukan dan disalurkan peruntukan besar adalah program meningkat kesedaran terhadap inti perjuangan dan mesej Islam.
Justeru, jika ada mana-mana negeri membatalkannya sekalipun lalu diganti dengan sebuah acara yang lebih menepati maksud sambutan Maulidur Rasul seperti himpunan ceramah dan sebagainya, ia adalah lebih baik.
Semoga kita semua mampu lebih beringat dan faham mesej perjuangan baginda bersempena sambutan hari lahir baginda.

About these ads

One response to this post.

  1. Posted by eyta on 1 Februari 2012 at 1:27 pm

    setuju yang amat sangat,sebab kalau asyik duk berarak..pastu penat..letih,balik-balik rumah tdur smp lupa solat. kadang-kadang ada yang bercampur pula lelaki dan wanita berkumpul selepas perarakan umpama gathering muda-mudi.

    Balas

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 2,825 other followers

%d bloggers like this: