Hukum Bersalaman dengan bukan mahram


Gejala Ikhtilath (percampuran di antara lelaki dengan wanita) semakin dianggap perkara biasa. Mereka saling bersentuhan kulit, bersalaman tangan, bertepuk-tampar, bersenda gurau, sehingga ada yang berpelukan sesama sendiri tanpa timbul sebarang rasa bersalah.

Lebih merisaukan apabila ada yang menganggap ia tidak termasuk kesalahan di sisi agama.

Di antara sebab-sebab perkara ini terus berleluasa mungkin kerana faktor lemahnya iman, budaya persekitaran yang penuh syubhat, terkesan dengan pelbagai adegan filem dan drama, dan ketidaktahuan mereka terhadap dalil-dalil berkaitan yang menjelaskan persoalan tersebut secara jelas.

Di samping adanya beberapa fatwa meragukan daripada tokoh-tokoh tertentu masa kini yang mengharuskan bersalaman di antara lelaki dan wanita ajnabiyah (bukan mahram) dalam keadaan tertentu.

Ini adalah sebagaimana yang diutarakan dan ditunjukkan antaranya oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi berpandukan beberapa tafsiran dan takwilan yang dikemukakannya.

Apa pun, fatwa beliau tersebut wajar ditinggalkan dengan mendahulukan apa yang telah jelas dan bebas dari syubhat sebagaimana ditunjukkan oleh akhlak Rasulullah SAW dan para sahabatnya sebagaimana dalil-dalil yang bakal dikemukakan.

 

 

Dalil pertama:

 

 

Rasulullah SAW bersabda, “Sekiranya kepala salah seorang daripada kamu ditusuk dengan jarum besi, itu adalah lebih baik bagi kamu daripada kamu menyentuh wanita yang tidak halal bagi kamu.” (Hadis Riwayat ath-Thabrani. Dinilai sahih oleh al-Mundziri, al-Haitsami)

Syaikh al-Albani rahimahullah berkata, “Pada hadis ini terdapat ancaman yang keras (tegas) kepada sesiapa sahaja menyentuh wanita ajnabiyah. Padanya juga terdapat dalil atas haramnya bersalaman (mushofahah) dengan wanita. Sebab itu, tidak diragukan bahawa bersalaman itu mengandungi unsur bersentuhan.

Pada masa ini, umat Islam banyak diuji dengan situasi ini, dan di antara mereka ialah kalangan ahli ilmu. Sekiranya mereka mengingkari perkara tersebut dengan hati, tentu ada sedikit kemudahan untuk menasihati mereka. Tetapi sayangnya, mereka menghalalkan perkara tersebut dengan pelbagai cara (jalan) dan takwilan (penafsiran).”

 

Dalil Kedua:

 

 

Nabi SAW bersabda, “Persoalan anak Adam berkaitan zina telah ditentukan. Tidak mustahil ia pasti melakukannya. Dua mata berzina dengan melihat, dua telinga berzina dengan mendengar, lidah berzina dengan berkata-kata, tangan berzina dengan menyentuh, kaki berzina dengan melangkah, hati berzina dengan angan-angan (kehendak), dan kemaluanlah yang akan membenarkan (merealisasikan) atau mendustakan semua itu.” (Sahih: Hadis Riwayat Muslim)

Kaedah pengambilan dalil dari hadis ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah, “… dan tangan berzina dengan menyentuh.” (Dari hadis di atas)

Imam an-Nawawi rahimahullah menjelaskan, “Makna hadis di atas ialah setiap anak Adam itu mungkin ada yang ditakdirkan untuk melakukan perbuatan zina. Di antara mereka ada yang melakukan zina dengan sebenar-benarnya, iaitu dengan memasukkan kemaluannya ke dalam kemaluan wanita secara haram. Di antara mereka ada yang zinanya secara majaz (kiasan), iaitu dengan melihat perkara-perkara haram, atau mendengar sesuatu yang mengajak kepada perzinaan dan usaha-usaha untuk melakukan zina, atau dengan sentuhan tangan, atau menyentuh wanita ajnabiyah dengan tangannya, atau menciumnya. Atau dengan melangkah kaki menuju tempat perzinaan, melihat, menyentuh, atau berkata-kata dengan cara haram bersama wanita ajnabiyah, atau berangan-angan (imaginasi atau berniat) dengan hatinya. (an-Nawawi, Syarah Shahih Muslim, 16/206)

 

 

Dalil ketiga:

 

 

Nabi SAW tidak pernah bersalaman dengan wanita yang bukan mahram baginya walaupun dalam perlaksanaan proses bai’at. Secara umumnya tuntutan proses ini berlaku dengan cara bersalaman, iaitu apabila dilakukan di antara Nabi dengan para sahabat lelaki yang lain.

Umaimah Binti Ruqaiqah menyatakan, “Aku pernah pergi menemui Rasulullah SAW bersama beberapa wanita untuk melakukan bai’at (perjanjian taat setia) kepada beliau. Maka baginda pun membai’at kami dengan apa yang terdapat dalam al-Quran, iaitu kami tidak boleh mensyirikkan Allah dengan segala sesuatu. Lalu baginda bersabda, “Iaitu berkenaan dengan apa yang kamu mampu dan sanggupi.”

Maka kami pun berkata, “Allah dan Rasul-Nya yang lebih menyayangi kami daripada diri kami sendiri.” Seterusnya kami bertanya, “Wahai Rasulullah, tidakkah kita perlu bersalaman?”

Baginda menjawab, “Sesungguhnya aku tidak bersalaman dengan wanita. Ucapanku kepada seorang wanita bersamaan dengan untuk seratus wanita.” (Sahih: Hadis Riwayat Ahmad)

Syaikh Muhammad al-Amin asy-Syanqithi rahimahullah berkata, “Bahawasanya telah tsabit daripada Nabi SAW yang sabdanya, “Sesungguhnya aku tidak pernah bersalaman dengan wanita.” Dan Allah telah berfirman, “Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu contoh tauladan yang baik.” Dengan itu, demi untuk mencontohi (mengikuti) baginda SAW, maka kita tidak bersalaman tangan dengan wanita ajnabiyah… dan sikap baginda SAW yang tidak bersalaman dengan wanita ketika melakukan bai’ah merupakan dalil yang sangat jelas bahawa seseorang lelaki tidak boleh bersalaman dengan wanita yang bukan mahramnya dan tidak dibenarkan sama sekali dari anggota badannya menyentuhnya. Ini kerana bentuk sentuhan yang paling ringan adalah dengan bersalaman. Apabila Nabi SAW sendiri enggan untuk bersalaman dengan wanita ajnabiyah ketika sangat diperlukan untuk bersalaman, iaitu ketika berbai’ah, maka ini menunjukkan bahawa bersalaman tangan dengan wanita ajnabiyah adalah tidak dibenarkan. Sesiapa pun tidak wajar untuk menyelisihi baginda. Kerana baginda yang menetapkan syariat untuk umatnya, sama ada dengan ucapan, perbuatan, ataupun pembenaran (taqrir).” (al-Amin asy-Syanqitihi, Adhwa’ul Bayan fii Idhahal Qur’an bil Qur’an, 6/256)

Imam an-Nawawi rahimahullah berkata, “Perkataan (suara) wanita ajnabiyah boleh kita dengari apabila ada keperluan, dan suaranya tidak termasuk aurat (apabila tidak berlebih-lebihan – pent.). Menyentuh kulit wanita ajnabiyah tidak dibolehkan tanpa adanya alasan darurat seperti sebab perubatan, pendarahan, bekam, mencabut gigi, dan seumpamanya, di mana apabila tiada wanita yang boleh melakukannya. Maka pada ketika itu lelaki yang bukan mahram dibenarkan melakukannya atas faktor keterpaksaan tertentu.” (Imam an-Nawawi, Syarah Shahih Muslim, 13/10)

Beliau juga berkata, “Disebabkan melihat wanita yang bukan mahram itu diharamkan (terdapat perintah menundukkan pandangan – pent.), sudah tentu menyentuh kulitnya lebih diharamkan lagi. Ini kerana menyentuh lebih mudah membangkitkan syahwat.” (Imam an-Nawawi, Raudhatut Thalibin wa ‘Umdatul Muftiin, 7/27)

Demikianlah antara dalil utama dan penegasan para ulama ahlus Sunnah wal-jama’ah dalam persoalan hukum bersentuhan kulit (termasuk bersalaman) di antara lelaki dengan wanita bukan mahram yang disengajakan, sama ada berlapik atau bersarung tangan, maka ia tetap terlarang. Tidak pernah pula dilakukan oleh Rasulullah SAW. Walau bagaimanapun, bersalaman atau bersentuhan di antara suami dengan isteri adalah dibenarkan , begitu juga perempuan yang haram kahwin lain seperti ibu, mertua, ibu saudara, adik beradik. Semoga kita selaku umat Islam diberikan kemudahan untuk memahami persoalan ini dengan baik. Sekiranya bersalaman dan bersentuhan pun termasuk perkara terlarang, fikirkanlah yang melampau dari itu! Wallahualam.

 

About these ads

One response to this post.

  1. al-mass berarti melakukan sex. Nabi dan Alquran secara eksplisit tidak pernah mengharamkan menyentuh wanita bukan mahram secara mutlak.

    Balas

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 2,941 other followers

%d bloggers like this: