Kuasa Wali dalam perkahwinan


Oleh – Roshlawaty Raieh

Allah SWT menjadikan manusia dengan fitrahnya ingin hidup berpasang-pasangan, berkasih-sayang, bahagia dan dapat memenuhi tuntutan syahwatnya melalui cara yang halal. Fitrah tersebut dapat dilaksanakan melalui ikatan perkahwinan yang sah.

Perkahwinan merupakan suatu ibadat dan amanah Allah yang dilaksanakan demi menambah zuriat di muka bumi ini. Mereka yang berkahwin sudah pasti dapat mengatur suatu kehidupan lebih baik, sempurna, bahagia dan penuh tanggungjawab.

Menyempurnakan perkahwinan bukanlah semudah yang disangka kerana perkahwinan Islam memerlukan lima rukun iaitu calon suami, calon isteri, wali, dua orang saksi dan sighah ijab qabul.

Jika berlaku kekurangan salah satu rukun itu maka perkahwinan itu tidak sah dan antara rukun yang sering timbul dan menjadi bahan perbualan dalam masyarakat kita ialah ketidakhadiran wali.

Kehadiran wali amat penting dalam sesebuah perkahwinan dan terdapat beberapa dalil menunjukkan peri pentingnya wali, antaranya, Firman Allah SWT:

“Janganlah kamu menghalang mereka berkahwin kembali dengan bekas suami mereka apabila telah terdapat kerelaan antara mereka dengan cara yang makruf.”(Al-Baqarah: 232)

Peranan wali

Masyarakat kita masih kurang memahami maksud dan peranan wali dalam Islam sedangkan kedudukannya amatlah penting dan menjadi tunggak kepada sesebuah perkahwinan dan keutuhan institusi rumah tangga.

Hal ini berpunca daripada lemahnya sikap tanggungjawab dan amanah dalam kalangan umat Islam sehingga peranan wali itu diabaikan oleh mereka yang dibahunya terbeban dengan tanggungjawab kewalian.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud : “Apabila disia-siakan amanah itu maka nantikanlah saat kehancuran.” (hadis riwayat Bukhari).

Oleh sebab pentingnya wali dalam menyempurnakan sesebuah perkahwinan, maka bukan semua boleh menjadi wali. Ini kerana beberapa syarat sah diperlukan menjadi wali iaitu Islam, baligh (sekurang-kurangnya sudah berumur 15 tahun), berakal – orang gila, mabuk dan orang yang sangat bodoh tidak sah menjadi wali. Seterusnya, wali mestilah lelaki, adil dan merdeka.

Bagi wanita yang tiada mempunyai wali disebabkan walinya itu hilang, sakit yang membawa gila atau gugur syarat-syarat kewalian seperti bukan Islam, belum baligh dan tidak berakal, maka Sultan atau wakilnya itulah yang menjadi wali kepada mereka. Sabda Nabi SAW bermaksud : “Maka Sultanlah yang menjadi wali bagi sesiapa tidak mempunyai wali.” (Hadis riwayat Ahmad,Tirmizi dan Abu Daud).

Menjejaki wali

Pendakwah bebas, Emran Ahmad berkata, wanita yang memeluk Islam (mualaf) atau merupakan anak angkat yang tidak mengetahui di manakah bapa kandungnya berada, dia boleh mengambil jalan mudah dengan mendapatkan wali hakim atau raja.

“Sekiranya memperoleh wali terdekat seperti abang kandung yang Muslim atau saudara-mara sebelah lelaki yang Muslim seperti pakcik dan seumpamanya, itu sudah mencukupi,” katanya.

Beliau yang juga seorang penulis buku agama berkata, pihak wali tidak berhak menghalang perkahwinan sekiranya seorang wanita sudah bertemu calon pilihan hatinya.

Ini kerana kuasa wali yang ada di tangan mereka hanyalah berbentuk amanah dan tanggungjawab untuk menyokong dan memberikan manfaat atau berbentuk mengelak mudarat yang boleh menimpa wanita. Ia tidak boleh disalah guna untuk menghalang perkahwinan anak-anak perempuan atas alasan berbentuk kepentingan diri wali.

Perkahwinan terhalang

Kebelakangan ini, kerap kali berlaku perkahwinan terhalang atau gagal disempurnakan disebabkan keengganan wali menikahkan pasangan berkenaan. Keengganan itu mungkin disebabkan calon lelaki seorang duda, terlalu muda atau tua, berasal dari negeri tertentu dan mungkin kerana wali mempunyai calon lain.

Dalam situasi perkahwinan terhalang ini, Emran berkata, anak-anak perempuan telah dinafikan hak mereka dan wali bersikap memaksa dan berkeras dengan keputusan serta menjadikan alasan keputusan itu dibuat demi menjaga kepentingan anak perempuan sedangkan hakikat sebenar, mereka malu dengan jiran.

“Atau mungkin juga disebabkan sudah berjanji dengan orang lain untuk menikahkan anak gadis mereka atau disebabkan calon pilihan anaknya itu tidak sesuai dan tidak disukai oleh mereka,” kata Emran.

Dalam masa sama, wujud sesetengah wali yang menghalang anak-anak perempuannya daripada berkahwin semata-mata mahu mereka bekerja dan memberikan hasil gaji kepada pihak wali agar membantu kehidupan wali.

Syeikh Muhammad Soleh Al-Utsaimin menyatakan dalam fatwanya pada Kitab Al-Fatawa Asy-Syar’iyyah Fi Al-Masa’il Al-Ashriyyah Min Fatawa Ulama Al-Balad Al-Haram; berdosa dan haram hukumnya kepada ibu bapa yang enggan menikahkan anak gadisnya kerana mahu mendapatkan manfaat daripada hasil gaji anak-anaknya itu.

Wali berada jauh

Bagi kes terpencil seperti wanita yang belajar di luar negara dan mahu bernikah, maka wali perempuan itu seperti bapa boleh mewakilkan hak kewaliannya kepada sesiapa sahaja yang berada di tempat perempuan itu belajar.               

Caranya ialah boleh dilakukan perwakilan itu melalui surat atau pesanan yang disaksikan oleh dua orang atau untuk lebih memudahkan pernikahan itu, ia boleh berlangsung di tempat wali itu berada contohnya pihak bapa berada di Malaysia maka akad nikah dilakukan di Malaysia, sedangkan pengantin lelaki dan wanita berada di luar negara.

Hal ini disebabkan perwakilan dalam Islam adalah sah dan diterima sebagai salah satu perkara dalam hukum syarak termasuk wakil haji, umrah dan juga nikah. Jadi pengantin lelaki boleh mewakilkan seseorang yang amanah dan baik akhlaknya untuk menjadi pengganti dan wakil yang mengakad nikah bagi pihaknya di Malaysia.

Pernikahan sepatutnya dipermudah, tidak diperketatkan kerana kebimbangan bahawa ia tidak sah dan sebagainya sedangkan hal ini bercanggah dengan maslahah (kepentingan syarak) yang menyebut hendaklah diusahakan untuk mensahihkan semampu mungkin urusan umat Islam demi memelihara mereka dari terjatuh kepada perkara haram dan mendatangkan hukuman syarak.

Jangan abai tanggungjawab

Seorang wali tidak harus mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan kerana perkara sebegini mendorong kemusnahan kepercayaan terhadap institusi wali.

“Pengabaian tanggungjawab sangat besar impaknya. Mana-mana wali yang telah diberi amanah, wajib melaksanakannya sebaik mungkin,” katanya.

Emran menasihatkan setiap pasangan yang bermasalah dengan pihak wali mereka, hendaklah mendapatkan penegasan dan penjelasan berhubung keengganan tersebut.

“Sebolehnya diusahakan pernikahan terjadi dengan redha dan mencapai kesepakatan semua pihak agar beroleh rahmat dan mendatangkan kesenangan,” katanya.

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 2,825 other followers

%d bloggers like this: