Pemahaman Islam prasyarat utama jadi peguam Syari’e


Oleh Mohd Fadly Samsudin
MENGIKUT peruntukan Kaedah-Kaedah Peguam Syarie Wilayah Persekutuan 1993 hanya mereka yang beragama Islam saja layak memohon sebagai peguam syarie.

MENCARI KEADILAN…undang-undang mahkamah syariah hanya membabitkan orang Islam dan pihak yang mewakili juga orang Islam. Malah, syarat itu dilaksanakan di negeri lain seperti Kedah, Kelantan, Melaka, Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Perak. Berbeza dengan Johor yang mensyaratkan pemohon mestilah bermazhab ahli Sunnah Wal Jamaah. Hanya Perlis, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak saja yang tidak mensyaratkan Islam secara khusus namun pemohon mestilah berkemahiran dalam hukum syarak serta lulus ujian atau temuduga sebagai peguam syarie Hakikatnya, mahkamah syariah menjadi hak eksklusif umat Islam. Tidak perlu dipertikaikan lagi kesahihan mengenainya kerana peruntukan itu begitu jelas. Undang-undang yang diguna pakai di mahkamah syariah membabitkan orang Islam saja dan pihak yang mewakili juga adalah orang Islam sendiri.

Rasanya ramai di kalangan umat Islam di Malaysia tidak bersetuju jika seorang peguam bukan Islam memohon untuk menjalankan amalan guaman dalam mengendalikan kes syariah. Peguam beragama Islam sendiri jika mereka tidak memiliki kelayakan pasti tidak layak diterima dan ditauliah sebagai peguam syarie.

Pentauliahan adalah penting sebelum mana-mana individu itu boleh mengendalikan kes dalam kamar mahkamah syariah.

Ulama menetapkan wakil mesti ahli dalam bidang atau urusan diwakilkan. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apabila sesuatu urusan diserahkan kepada bukan ahli, maka tunggulah kehancurannya.” Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami menurunkan Kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya kamu mengadili antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu, dan janganlah kamu menjadi penentang (orang yang tidak bersalah), kerana (membela) orang-orang yang khianat…” (Surah An-Nisa ayat 105) Tugas dan fungsi peguam syarie adalah membantu mahkamah, anak guam serta hakim dalam satu perbicaraan. Maka, setiap pendakwaan memerlukan kepada hujah yang berwibawa sebelum hakim memutuskan sesuatu perbicaraan.

Jika ditinjau dari sudut hukum syarak bagaimanakah seorang bukan Islam boleh mengendalikan kes syariah sedangkan mereka tidak berpegang kepada teras sistem perundangan mahkamah syariah iaitu al-Quran dan hadis? Adakah mereka boleh mentafsir perundangan Islam dan hukum melalui al-Quran dan hadis Rasulullah? Maka terbukti asas yang dipegang dalam mengendalikan kes syariah memerlukan kepada kaedah hukum syarak. Dengan kelayakan sekalipun jika mereka tidak dibekalkan dengan ilmu yang cukup belum pasti lagi mereka dapat berhujah dengan baik. Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang beriman, hendaklah kamu berdiri kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah kerana kebencianmu kepada sesuatu kaum, sehingga kamu tidak berlaku adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa dan takutlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Maidah ayat 8) Bagi menjadi peguam syarie di Malaysia, ia perlu kepada pentauliahan yang dilakukan daripada badan lain. Memetik kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), prinsip dan amalan peguam syarie di Mahkamah Syariah adalah berasaskan prinsip Wakalah bi al-Khusumah.

Ia menerangkan wakil adalah orang yang menerima urusan atau perkara yang diwakilkan dan menjadi tanggungjawabnya menyelesaikan segala urusan yang diwakilkan ke atasnya. Al-Wakil adalah salah satu daripada nama Allah yang bererti pelindung. Ulama mensyaratkan seseorang wakil mestilah seorang yang ahli dalam bidang atau urusan yang diwakilkan. Amalan guaman syariah di mahkamah syariah berteraskan sumber daripada Al-Quran dan hadis dan mana mungkin seorang bukan Islam ‘menuntut’ menjadi peguam syarie. Malah, enakmen pentadbiran mahkamah syariah yang diguna pakai oleh semua negeri sekarang tidak membenarkan peguam bukan Islam mengendalikan kes yang membabitkan undang-undang syariah.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Mohamad Isa Ralip, berkata mahkamah syariah adalah hak eksklusif untuk orang Islam.

“Jika seorang itu tidak memahami Islam dengan baik bagaimana mereka hendak membicarakan hal berkaitan harta sepencarian, perceraian dan tuntutan anak di mahkamah syariah. Ini adalah peraturan yang dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang yang diluluskan Parlimen. “Meskipun mereka ada kelayakan akademik, keutamaan perlu dinilai dari aspek pemahaman mereka terhadap Islam,” katanya.

Beliau berkata setiap negeri perlu bertindak menyeragamkan dengan meletakkan syarat Islam sebagai kelayakan untuk menjadi peguam syarie.

“Penyeragaman dan penyelarasan peruntukan ini perlu dilaksanakan segera. Selain itu, hak dan bidang kuasa mahkamah tertentu perlu dihormati agar tidak berlaku sebarang polemik yang tidak diingini. “Penyeragaman juga bertujuan membezakan bidang kuasa di antara mahkamah syariah dan mahkamah sivil,” katanya. Mohamad Isa berkata peranan yang dimainkan peguam syarie adalah untuk membantu hakim syarie, mahkamah dan anak guam dalam pendakwaan dan keterangan di mahkamah.
“Sudah tentu, setiap hujah, keterangan, bukti yang dikeluarkan adalah untuk membantu mencapai keadilan.

“Menyerahkan tugas peguam syarie kepada bukan Islam boleh mencemarkan kesucian Islam sehingga menyebabkan berlakunya salah tafsiran terhadap hukum syarak,” katanya.

Beliau berkata dalam suasana hidup di Malaysia sekarang setiap individu perlu menghormati hak antara satu dan lainnya.

“Kita khuatir keadaan ini akan mencemarkan kesucian Islam. Ia turut boleh menyebabkan ada golongan yang tersalah tafsir berkenaan hukum syarak sehingga boleh mengelirukan masyarakat. “Peguam perlu berhujah dengan dalil dari sumber al-Quran dan sunnah, ijmak, qiyas, amalan sahabat serta pandangan ulama besar,” katanya.
Selain itu, bukannya pertikaian yang mahu dilihat terus berlaku, tetapi tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul pengamal undang-undang Islam dalam menegakkan keadilan perlu dilaksanakan dengan sempurna. Allah berfirman yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Maidah ayat 8) Jika ditetapkan peguam syarie di setiap negeri mesti dari kalangan mereka yang beragama Islam maka hal terbabit perlu dipatuhi dan dihormati semua pihak .

Mohamad Isa berkata membenarkan orang bukan Islam menjadi peguam syarie bermakna membenarkan mereka berhujah dengan ayat al-Quran dan hadis.

“Semua rujukan, dalil serta nas terdapat di dalam kitab muktabar adalah menggunakan bahasa Arab. “Selain itu, dibimbangi perkara seumpama ini akan membuka ruang kepada golongan yang mahu keluar agama dan menghina Islam,” katanya.

Sementara itu, PGSM menggesa agar mufti negeri melalui Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa rasmi di peringkat negeri dan kebangsaan supaya meletakkan syarat Islam dalam menentukan kaedah serta peraturan peguam syarie.

About these ads

One response to this post.

  1. Posted by shahrul husna humaira on 15 Mac 2012 at 5:31 pm

    apakah bidang yang perlu diceburi ketika di tingkatan 4 untuk menjadi peguam syariah dan pengajian tinggi manakah yang perlu diikuti ?

    Balas

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 2,825 other followers

%d bloggers like this: